Mahkamah Tinggi benarkan 3 kanak-kanak Myanmar diikat jamin
![]() |
| Polis iringi 3 kanak-kanak Myanmar di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas didakwa ugut wanita warga emas |
Tiga kanak-kanak warga Myanmar dibenarkan ikat jamin selepas Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini yang menolak permohonan tersebut susulan tuduhan menakut-nakutkan seorang warga emas secara jenayah, demikian menurut laporan FMT.
Presiden Majlis Peguam Encik Anand Raj meluahkan rasa lega atas campur tangan Mahkamah Tinggi Butterworth itu.
“Kami sedang memantau perkembangan ini,” katanya kepada portal berita berkenaan, menambah bahawa Majlis Peguam pada mulanya terkejut apabila ketiga-tiga budak lelaki berusia antara 11 dan 12 tahun itu tidak dibenarkan ikat jamin.
Tiada butiran lanjut diperoleh setakat ini. Difahamkan, Majlis Peguam akan memperincikan maklumat kes tersebut pada minggu depan.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu didakwa bersama atas tuduhan mengugut untuk mencederakan seorang wanita berusia 71 tahun menggunakan beberapa objek, termasuk mop lantai, rod besi, tiub lampu pendarfluor putih dan batu, di luar sebuah rumah di Bukit Mertajam pada 22 Oktober.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Encik Zulfadzli Hassan sebelum ini mencadangkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap tertuduh, namun permohonan jaminan itu ditolak.
Keputusan berkenaan mengundang kritikan daripada Lawyers for Liberty (LFL), yang menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memastikan ketiga-tiga kanak-kanak itu dibebaskan segera.
Penasihat LFL Puan Latheefa Koya berkata, penolakan ikat jamin itu menyalahi undang-undang memandangkan kesalahan tersebut boleh dijamin, dengan Jabatan Peguam Negara sendiri telah mencadangkan jaminan untuk mereka.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment