Belum apa-apa, Ketua Pemuda PKR sudah tunjuk bakat pembodek boss
Serta-merta isu nepotisme dianggap isu usang!
Berbeza dengan Ketua Pemuda UMNO yang lebih bebas, lantang dan berani
Perkataan 'nepotisme' tiba-tiba kembali popular ketika anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pencabar – dan menang – di gelanggang pemilihan PKR baru-baru ini.
Keberadaan Puan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR itu terus dilabel sebagai amalan nepotisme walaupun pelbagai penjelasan diberikan termasuk oleh Anwar selaku presiden dalam ucapan penggulungannya di kongres nasional parti itu.
Menyoroti perkara itu, dalam wawancara dengan Malaysiakini, Ketua Pemuda (AMK) PKR Encik Kamil Abdul Munim berpandangan isu nepotisme hanya olahan naratif nakal dan buruk oleh pihak tertentu khususnya musuh-musuh politik mereka.
"Saya fikir isu nepotisme ini adalah isu usang. Dulu puluhan tahun (dimainkan), kemudian senyap. Kemudian masuk ke pemilihan kali ini, ia ditimbulkan semula.
"Jadi ini tidak lebih daripada sekadar percubaan untuk menimbulkan persepsi yang buruk dalam kalangan rakyat di luar sana. Tetapi kalau kita faham maksud nepotisme ni sebenarnya ia berbeza daripada apa yang sedang berlaku,” katanya.
Menjawab pertanyaan dalam sesi wawancara itu kelmarin, beliau yang menang jawatan ketua AMK tanpa bertanding berkata, memang menjadi tanggungjawab untuk pemimpin PKR menjelaskan kekeliruan tersebut.
Pada masa sama dia yakin status Nurul Izzah, 44, sebagai orang nombor dua dalam PKR adalah jelas – ia merupakan kehendak ahli parti yang memilihnya pada 23 Mei lalu.
“Keberadaan Nurul Izzah itu adalah kerana mandat yang diberikan (oleh perwakilan) dan tentu sudah presiden (Anwar) sudah jelaskan juga ketika ucapan pergulungannya dalam kongres," katanya.
Kamil yang juga setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan berkata demikian ketika ditanya bagaimana parti itu boleh mengurus dan menepis dakwaan amalan nepotisme susulan kemenangan Nurul Izzah.
Dalam pemilihan minggu lalu, Nurul Izzah yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, dengan jurang undi yang besar.
Kamil, 35, berkata jika soal pertalian darah menjadi hujah asas kepada isu nepotisme dalam PKR, maka ia boleh dipertikaikan semula kerana turut wujud dalam parti-parti lain.
"Tanpa terkecuali, semua parti (ada). Justeru tak betul kalau kita dakwa bahawa dalam kes ini disebut sebagai nepotisme, sementara yang lain disenyapkan ataupun dibiarkan begitu saja.
“Jelas ini adalah satu propaganda jahat untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik kepada PKR. Saya fikir ini adalah cubaan nakal pihak-pihak tertentu khususnya musuh-musuh politik dan pembangkang,” katanya.
Senario tak jauh berbeza
Tambah Kamil lagi, dalam kes Nurul Izzah, dia diangkat melalui proses pemilihan dan secara demokrasi oleh anggota parti.
Menghuraikan situasi amalan nepotisme, Kamil menjelaskan, ia boleh dianggap berlaku – misalnya – jika perdana menteri menggunakan kedudukan untuk memberikan projek tertentu, mengagih kekayaan, atau melantik ahli keluarga atau kroni ke jawatan yang memberi manfaat besar.
Keadaan itu, dakwa Kamil, pernah berlaku sebelum ini.
"Tetapi dalam kes Nurul Izzah, dia bermula sejak awal, malah menjadi antara pelopor awal, pengasas (PKR), turun ke jalanan, berhadapan dengan penguasa dan juga pemerintah zalim pada waktu itu.
"Dia memperjuangkan keadilan, masuk pilihan raya, bertanding dan diberikan sokongan dan dukungan oleh rakyat, jadi ahli parlimen, masuk dalam pemilihan parti, dipilih dan disokong oleh anggota parti melalui cara dan juga proses demokrasi.
"Jadi tak berbangkit tentang soal nepotisme.
“Yang memilih ini bukannya presiden, bukannya timbalan presiden ataupun setiausaha agung. Yang memilih ini (Nurul Izzah) ialah rakyat dan juga anggota parti,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai pemilihan baru-baru ini, Kami menjelaskan, ia berlangsung seperti pemilihan yang berlangsung pada tahun-tahun sebelum ini dan tidak jauh berbeza senarionya.
Apa yang membezakan pemilihan kali ini, kata Kamil, ialah kedudukan PKR sebagai parti kerajaan menyebabkan tumpuan lebih besar diberikan oleh pelbagai pihak.
"Tetapi apa pun yang berlaku, selepas habis pemilihan tugas ahli ialah untuk pastikan bahawa tidak ada mana-mana kelompok ataupun segmen yang diketepikan.
“Pemilihan ini adalah satu hal yang biasa dalam mana-mana parti, cuma dalam PKR ini dilihat lebih rancak, lebih terbuka... serangan-serangannya (semasa kempen) kadang-kadang sedikit ganas.
"Saya sendiri pun tidak terkecuali daripada terkena singgungan-singgungan nakal atau kenyataan serong walaupun tidak bertanding,” katanya.
Selepas berakhir pemilihan, kata Kamil, apa yang penting ialah semua pihak menghormati suara akar umbi serta meneruskan tugas masing-masing memperkukuhkan parti bagi menghadapi PRU akan datang.
Pun begitu anak kelahiran Padang Rengas, Perak itu mengakui kewujudan kesan pemilihan yang sengit namun dia bersikap positif. Dia yakin kesan tersebut tidak begitu serius untuk ditangani.
"Setiap daripada kita mempunyai tugas dan kelebihan yang berbeza. Parti ini digerakkan oleh banyak pihak, jadi apabila kita gabung kekuatan ini barulah kita boleh perkukuhkan organisasi," katanya.
Kunjungi blog Permadu Malaysia di permadumalaysia.blogspot.com
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment