Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?
Ada andaian mengatakan tindakan sebuah NGO Melayu membuat laporan polis berkaitan isu 5G yang sedang hangat diperkatakan sebagai satu sindiran padu terhadap Raja-Raja Melayu yang aktif terlibat dalam perniagaan.
Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan pemimpin NGO itu, mereka sekadar ingin memecah kekeliruan untuk mendapatkan maklumat sebenar sambil menegaskan pendirian selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di negara ini yang tidak membenarkan Raja-Raja Melayu aktif terlibat dalam perusahaan komersial.
Semalam, Rabu 6 November 2024, media melaporkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) membuat laporan polis berkaitan laporan media bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mempunyai saham dalam U Mobile yang dilantik sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Menurut Malaysiakini pula, Presiden kumpulan pendesak Melayu itu Tuan Syed Hasan Syed Ali berkata beliau membuat laporan polis kerana “rakyat agak keliru sama ada berita ini berita benar ataupun palsu”.
"Bila dikaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan sebuah syarikat, (dilaporkan) mempunyai saham 22 peratus dalam U Mobile ini, rakyat agak keliru sama ada berita ini berita benar ataupun palsu.
"Sebab rakyat mengetahui Raja-raja Melayu tidak boleh terbabit dengan perniagaan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan),” katanya.
Dia berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam.
Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan (bawah) menyebut Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjelaskan pemilihan itu dibuat melalui proses teliti, merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial.
Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat setakat 4 November, Sultan Ibrahim ialah pemegang saham kedua terbesar U Mobile dengan 22.3 peratus kepentingan.
Pemegang saham terbesar ialah Straits Mobile Investments Pte Ltd dengan 48.3 peratus kepentingan.
Straits Mobile Investments ialah milik penuh syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings.
Susulan pengumuman SKMM Jumaat lepas, U Mobile mengumumkan akan mengurangkan pegangan saham asing kepada 20 peratus.
Video terbitan Malaysiakini bertarikh 6 November 2024.
Tak mungkin
Sementara itu, Syed Hasan berkata tidak mungkin Sultan Ibrahim terlibat dalam perniagaan kerana baginda terkenal tegas dalam soal tatakelola dan integriti.
Syed Hasan berkata dia membuat laporan polis itu supaya pihak berkuasa menyiasat daripada sumber mana media mengaitkan pemilikan saham U Mobile dengan Agong.
"Jadi, saya minta pihak polis menyiasatlah kerana ini membabitkan batang tubuh Yang di-Pertuan Agong.
“Jika (laporan media) tidak betul, ini satu penghinaan, satu fitnah kepada Raja-raja Melayu.
“Itu yang saya bimbang,” katanya.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Usahlah Tuan Syed berasa bimbang kerana Tuanku adalah seorang yang berwibawa serta berintegriti. Tak mungkin Tuanku Sultan akan bertitah tak serupa bikin.
ReplyDeleteSebelum ini pun sudah 16 Sultan yang menjadi YDP Agong...mana ada yang meniaga secara terang-terangan. Kebanyakan Sultan-Sultan yang menjadi YDP Agong sebelum ini bukanlah kaya raya seperti Sultan Ibrahim YDP Agong yang ke 17 ini.
Cuma yang sering dibualkan adalah.......Dulu Raja Raja Melayu setakat minta kawasan balak atau konsesi pasir dari Menteri Besar masing-masing saja. Sekarang .....phetttt ...aduhhh terputus line pulak.....