Jokowi, anak beranak, ipar dan menantu cuba kontrol Indonesia — rakyat hilang sabar, mula membenci Jokowi, berdemo, membakar
Mahasiswa melakukan tunjuk perasaan di banyak kota utama pada Ogos lalu bagi membantah semakan rang undang-undang pilihan raya tempatan Indonesia. |
Apakah legasi yang bakal ditinggalkan oleh Presiden Joko Widodo (atau lebih dikenal sebagai Jokowi)?
Manipulator politik yang licik?
Apakah imej seorang pemimpin yang benar-benar berhati rakyat? Atau seorang manipulator politik yang licik?
Apakah beliau akan diingat hanya sebagai pembina dinasti politik keluarga yang dibenci oleh rakyat?
Pada 20 Oktober ini berakhirlah dua penggal kepimpinan Jokowi, presiden Indonesia yang ketujuh.
Prabowo Subianto |
Beliau akan digantikan oleh Prabowo Subianto yang memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada bulan Februari tahun ini.
Wakil atau timbalan presiden Prabowo kelak adalah Gibran Rakabuming Raka (gambar, atas), anak sulung Jokowi.
Pada asalnya, gaya hidup ala orang miskin
Sejak awal sebagai presiden, Jokowi membawakan potret 'orang biasa' yang berjaya menjawat jawatan tertinggi di Republik Indonesia. Imejnya yang bersahaja, santai dan merakyat menjadikan beliau unik dalam tradisi kepresidenan Indonesia.
Penyokong tegar selama ini bertukar menjadi pengkritik paling keras!
Pada masa itu, beliau disokong bukan sahaja oleh orang politik, ilmuan, penulis, budayawan anggita masyarakat sivil tetapi juga rakyat biasa. Pada akhirnya golongan inilah yang menjadi pengkritik beliau paling keras.
Pada awal pemerintahannya, Jokowi membawa konsep 'blusukan' yang secara mudah bermakna 'turun ke tengah rakyat'.
Beliau mendengar suara dan rintihan mereka. Beliau berada di mana-mana lalu menampakkan dirinya sebagai presiden yang prihatin.
Tambahan pula, beliau satu-satunya presiden yang bukan datang dari kalangan elit politik atau ketenteraan.
Isterinya, Iriana dilihat menggunakan kelas ekonomi apabila menaiki pesawat komersial. Anak-anaknya, Gibran, Kayihang Ayu dan Kaesang Pangarep juga begitu. Gibran dan Kaesang berniaga seperti anak-anak muda lainnya.
Kuasa mengubah manusia
Dalam konteks Jokowi kuasa mengubahnya sama sekali.
Ada usaha untuk membolehkan beliau meneruskan khidmat untuk penggal ketiga walaupun Perlembagaan Indonesia pasca-Reformasi tidak membolehkan hal itu. Pelajar dan rakyat memprotes, demikian juga gerakan sivil.
Menjelang Pilpres 2024, Jokowi dikatakan menjadi arkitek untuk membolehkan anaknya, Gibran bertanding sebagai wakil atau timbalan presiden (Cawapres).
Perlembagaan Indonesia menetapkan usia calon presiden (Capres) dan wakil presiden seharusnya 40 tahun. Tetapi Mahkamah Konstitusi (MK) membenarkan Gibran bertanding walaupun usianya 36 tahun. Ketua MK ketika itu adalah adik ipar Jokowi, Anwar Usman.
Anak bongsunya, Kaesang (gambar, atas) baharu sehari menjadi ahli tetapi dilantik sebagai Ketua Umum (Ketum) Parti Solidariti Indonesia (PSI).
Menantunya, Bobby Naustion adalah Wali Kota Medan dan akan bertanding jawatan Gabenur Sumatera Utara dalam Pilihan Raya Kepala daerah (Pilkada) pada November ini.
Sebelum ini ada ura-ura untuk mengadakan Pilkada lebih awal, sewaktu Jokowi masih menjadi presiden tetapi sekali lagi mendapat bantahan rakyat.
Tidak cukup dengan itu, Kaesang diajukan untuk bertanding sebagai gabenor, mungkin di Jakarta.
Sekali lagi, isunya beliau belum cukup umur 30 tahun untuk itu seperti yang dituntut oleh Perlembagaan.
MK memutuskan bahawa Kaesang tidak boleh bertanding. Apabila gagal di MK, kes Kaesang dibawa ke Parlimen Indonesia (Dewan Perwakilan Rakyat atau DPR) bagi menimbang semula keputusan itu.
Rakyat hilang kesabaran. Pelajar dan rakyat bangkit mengadakan demonstrasi besar-besaran di banyak kota utama di seluruh Indonesia pada 22 Ogos 2024. Ini merupakan demonstrasi terbesar selepas Reformasi 1998.
DPR akhirnya mengambil keputusan untuk membatalkan review Rang Undang-Undang Pilkada 2024. Satu lagi kemenangan bagi rakyat.
Dalam Pilkada ini juga ada tuduhan mengatakan bahawa 'tangan' Jokowi berada di mana-mana. Beliau dikatakan tidak mahu Anies Baswedan bertanding sebagai Gabenur Jakarta.
'Siapa sahaja asal bukan Anies', itulah prinsipnya.
Jokowi juga dituduh memungkinkan parti-parti yang sewaktu Pilpres menyokong Anies meninggalkannya dalam Pilkada.
Apakah semua usaha ini berakibat daripada Jokowi berasa tidak selamat apabila beliau meninggalkan kedudukan kelak?
Apakah beliau tidak menyakini Prabowo yang pernah menjadi musuh politiknya akan memastikan keselamatan dirinya dan anak-anak serta menantunya?
Banyak pihak menuduh Jokowi menggunakan cabang pemerintahan seperti Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) untuk menakut-nakutkan lawannya.
Apa yang berlaku pada Parti Golkar tentulah memeranjatkan. Ketua umumnya, Airlangga Hartarto mengundurkan diri serta merta. Beliau digantikan oleh orang kepercayaan Jokowi, Bahlil Lahadalia.
Apakah muslihat sebenar di belakang pengunduran Airlangga? Apakah Golkar akan menjadi tapak untuk Jokowi selepas meninggalkan pejabat?
Dulu naik kelas ekonomi, sekarang anak menantu naik jet peribadi kawan menantu Jokowi
Beberapa waktu kebelakangan ini, media sosial di Indonesia heboh dengan berita Kaesang dan isterinya, Erina Gudono menaiki jet peribadi untuk terbang ke Amerika Syarikat (AS).
Jet itu khabarnya milik seorang ahli perniagaan Singapura yang juga rapat dengan Gibran, abang Kaesang dan Bobby, suami kakaknya.
Tindakan itu diadukan kepada KPK. Isunya sama ada ia membabitkan soal gratifikasi dalam definisi KPK. Beliau adalah anak presiden.
Netizen juga mendedahkan Bobby juga pernah menggunakan jet peribadi. Sekali lagi perdebatannya adalah sama ada Kaesang mampu menyewa jet yang mahal dan apakah Bobby boleh menggunakan jet dari peniaga yang mungkin berkepentingan?
Paling hangat juga adalah kontroversi yang membabitkan pemilik satu akaun Twitter (X). Akaun itu adalah 'Fufufafa'.
Fufufafa didedahkan menghina beberapa personaliti termasuk Prabowo dan anaknya. Perdebatan dalam media sosial adalah Fafufafa itu sebenarnya akaun peribadi Gibran.
Ada kalangan yang menghujahkan kalau benar Fafufafa milik Gibran, itu posting anak muda yang berusia 20 tahun ketika itu. Maka tidak wajarlah dikaitkan dengan kedudukannya hari ini sebagai bakal timbalan Prabowo.
Apakah agaknya reaksi Prabowo dalam semua ini? Tiada siapa yang tahu.
Prabowo nampaknya memilih untuk mendiamkan diri. Apakah Probowo akan bertindak sebagai presiden yang akan melepaskan dirinya dari pengaruh Jokowi?
Demikianlah satu demi satu isu yang menyelubungi hari-hari terakhir seorang presiden. Tetapi mengapakah Jokowi harus mengorbankan semua itu dan mencalarkan nama baik dan legasinya.
Tokoh wartawan menangis kecewa
Soalan seperti inilah yang membuat wartawan, penulis dan budayawan terkenal Gunawan Muhammad, yang pernah menyokong Jokowi, menangis kecewa.
* Adaptasi dari sebuah artikel yang dipetik dari siaran Sinar Harian bertarikh 17 September, 2024, hasil nukilanTan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Negara. Beliau berada di Pulau Jawa sewaktu Pilpres 2024.
End©Permadu
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment