Pengampunan Najib perlu telus dan rakyat berhak tahu justifikasi

 

Portal berita dari media arus perdana Malaysiakini melaporkan gerakan yang dikenali sebagai Projek Sama menggesa Lembaga Pengampunan di Wilayah Persekutuan mendedahkan sepenuhnya alasan permohonan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menerima pengampunan diraja serta menuntut penjelasan terhadap syor yang dibuat kepada bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Projek Sama berkata perkara itu perlu dilakukan segera selepas laporan yang tidak dapat disahkan semalam mengenai pengampunan terhadap Najib mengejutkan negara.

“Walaupun Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa budi bicara penuh ke atas pengampunan banduan di Wilayah Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) dan 40(3) Perlembagaan Persekutuan, orang ramai berhak untuk dimaklumkan tentang alasan permohonan dan syor, termasuk sebarang pendapat bertulis oleh Peguam Negara [Perkara 42(9)], dibuat kepada baginda.

"Ketelusan di pihak Najib yang disabitkan bersalah dan pegawai awam yang duduk di Lembaga Pengampunan - Peguam Negara dan menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan (dalam kes sesebuah negeri, Menteri Besar) - penting untuk memastikan kepercayaan orang ramai terhadap mekanisme pengampunan yang termaktub dalam perlembagaan," kata Projek Sama.

Kumpulan itu menegaskan tanpa ketelusan, kepercayaan orang ramai akan terhakis.

“Orang ramai boleh membuat kesimpulan bahawa banduan yang memiliki kuasa menyalahgunakan mekanisme tersebut dan dengan itu merosakkan keadilan," tambahnya.

Lembaga itu, yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong, dipercayai telah bermesyuarat pada Isnin lalu untuk memutuskan permohonan pengampunan yang dikemukakan Najib.

Ia adalah antara tindakan terakhir Al-Sultan Abdullah, yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Agong semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang turut menganggotai lembaga pengampunan itu semalam mengesahkan bahawa keputusan telah dibuat dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan dengan tepat bila kenyataan itu akan didedahkan.

Terdapat tiga kemungkinan boleh dibuat oleh Lembaga Pengampunan, iaitu:

(1) Najib diampunkan dan dibebaskan daripada penjara;

(2) Hukuman 12 tahun terhadapnya dikurangkan. Terdapat jangkaan hukumannya dikurangkan kepada enam tahun; dan

(3) Lembaga Pengampunan tolak permohonan Najib.

Najib sedang merengkok di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah melibatkan dana RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Bekas presiden UMNO itu juga sedang berdepan perbicaraan lain, termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.27 bilion.

End©Permadu

Oleh Fauzi Kadir,
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Jamaliah Mohd Salleh



Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG 

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jika DAP dapat memberi kebaikan kepada orang Melayu, lebih baik dari pemimpin Melayu, apa masalahnya? Kalau...

Inilah akibat terlampau banyak formula sebelum jadi menteri