Permatang Pauh beri pukulan KO kepada Anwar dan keluarga
Setelah 40 tahun diberi kepercayaan tanpa menyumbang apa-apa yang signifikan (berdasarkan maklum balas tidak rasmi dari penduduk setempat), Permatang Pauh memulakan isyarat dengan memberi dua pukulan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga, iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar.
Politik Anak-Beranak di Permatang Pauh selama 40 tahun berakhir selepas disingkir keluar
Pukulan pertama, di PRU15 pada 29 November tahun lepas apabila calon PKR, anak Anwar, Nurul Izzah tewas kepada calon PAS untuk kerusi parlimen Permatang Pauh.
Pukulan kedua yang membawa kepada kiraan KO (knocked out), apabila Perikatan Nasional menyapu bersih semua tiga kawasan DUN di bawah kawasan parlimen Permatang Pauh itu sendiri.
Di Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah dari PN mendapat 20,877 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Johari Kassim yang mendapat 15,951 undi.
Di Permatang Pasir, calon PN dari PAS Amir Hamzah Abdul Hashim mendapat 13,526 undi mengalahkan calon Pakatan Faiz Fadzil yang hanya memperolehi 10,418 undi.
Di Penanti, calon PN Zulkefli Bakar berjaya merampas kerusi milik PKR selama empat penggal dengan memungut 12,586 undi menewaskan calon Pakatan Rosidi Hussain yang hanya mendapat 9,011.
Sementara itu, tinjauan melalui kaji selidik Ilham Centre yang diumumkan kelmarin mendapati Anwar mendapat sokongan sebanyak 42 peratus dalam kalangan responden dari enam negeri.
Masyarakat Cina memberikan sokongan yang lebih tinggi terhadap Anwar iaitu sebanyak 88 peratus diikuti kaum India sebanyak 81 peratus dan kaum-kaum lain sebanyak 75 peratus.
Bagaimanapun, hanya 24 peratus orang Melayu menyokong pengerusi PH itu.
Kaji selidik yang dilakukan Ilham Centre merangkumi 2,416 responden dalam siri pertamanya, yang dijalankan dari 11 Julai hingga 27 Julai dan 2,304 responden dalam fasa terakhir dari 29 Julai hingga 8 Ogos di semua enam negeri.
Sebanyak 16.5 peratus responden mengundi di Negeri Sembilan, 16.7 peratus di Selangor, 16.6 peratus di Terengganu, 16.6 peratus di Kelantan, 16.6 peratus di Pulau Pinang dan 17.1 peratus di Kedah.
Tinjauan itu melibatkan responden dalam pelbagai kumpulan umur dengan 11 peratus berumur 18-20 tahun, 22 peratus berumur 21-29, 21 peratus berumur 30-39, 18 peratus berumur 40-49, 16 peratus dalam lingkungan 50-59, dan 13 peratus berumur 60 tahun ke atas.
Felo penyelidik Ilham, Mujibu Abd Muis, membuat pengumuman hasil dapatan kaji selidik pada forum Ilham Centre bertajuk "Pilihan Raya 6 negeri: Apa Telah terjadi?" yang turut menampilkan pengarah eksekutif badan pemikir itu Hisomudin Bakar dan ketua penyelidiknya, Mohd Yusri Ibrahim.
Sementara itu, Yusri turut ditanya mengenai pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram yang akan diadakan tidak lama lagi.
Yusri berkata walaupun kerusi berkenaan merupakan kubu kuat PH, namun keputusan pengundian bergantung kepada peratusan keluar mengundi.
"Kalau kadar keluar mengundi hampir sama dengan PRN sekarang ini, maksudnya PN akan menawan seolah-olah hampir 100 peratus undi Melayu dan peratusan kecil pengundi bukan Melayu.
“Tetapi masih kembali kepada elemen turunout pengundi bukan Melayu,” katanya sambil menambah ia juga bergantung kepada sejauh mana sokongan UMNO kepada PH.
Oleh Fauzi Kadir |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Comments
Post a Comment