Mengapa perlu berdakwah di kelab malam?

 Sindiran kepada agamawan selebriti


Agaknya jika Mok memberi izin kepada kami untuk masuk sekolah agama semasa tingkatan satu dulu, hari ini kami sudah menjadi seorang ustaz.

Semasa mahu masuk ke sekolah menengah selepas tamat bersekolah rendah di sekolah mubaligh, kami meminta Mok mendaftarkan kami di sekolah agama.

Bukan nak jadi ustaz

Bukan kerana kami ini bercita-cita mahu menjadi ustaz, tetapi kerana Pa -  sahabat baik kami semasa di kampung - akan menyambung pelajarannya di sana.

Mok tidak bersetuju. Mungkin kerana rekod persahabatan kami dan Pa tidak begitu baik maka Mok tidak mahu kami sepagi dan sepetang dengan Pa. Pada Mok, cukup kami ini sekadar berkawan dengan Pa semasa di luar waktu sekolah.

Kerana teringatkan cerita tersebut kami pun berangan-angan: apa agaknya akan terjadi sekiranya Mok mengikut cakap kami yang mahu bersekolah agama itu.

Kami pun membayangkan bahawa setelah tamat belajar di sekolah agama itu kami akan ke Mesir. Kebetulan pula pada waktu itu ada lebih kurang lima atau enam orang saudara-mara kami sedang belajar di sana.

Ustazah jelita

Yang paling lama adalah Kok Iza, sepupu kami yang cantik jelita yang kini dikenali orang sebagai Ustazah Zulaikha, ustazah paling omeh tetapi baik hati itu.

Tak disibukkan cerita mistik 

Sebenarnya, sejak 1970-an lagi, akan sentiasa ada ahli keluarga kami yang belajar di Mesir. Kamu tentu hairan mengapa daripada keluarga yang ramai ustaz dan ustazah itu, boleh ada seorang penulis yang kamu kata gemar memecahbelahkan umat ini.

Justeru apa lagi yang boleh kami katakan selain daripada kami ini agaknya adalah ujian kepada kamu dan juga saudara-mara kami yang terkenal baik hati itu.

Balik kepada cerita angan-angan kami tadi.

Setelah tamat belajar dan memegang gelaran ustaz, kami akan sibuk menulis kitab dan juga membawa berita-berita baik kepada masyarakat.

Kami akan cari jalan bagaimana mahu menjadikan setiap orang Islam di negara ini taat kepada perintah Tuhan dan pada masa yang sama menjauhkan apa saja yang dilarang-Nya.

Berita gembira dalam beragama

Akan kami bahagikan sepenuh masa kami untuk kebahagiaan beragama dan akan pergilah kami kepada semua peringkat masyarakat untuk memperdengarkan berita-berita gembira dalam beragama.

Berdakwah di kelab malam

Walaupun begitu, kami tidak mungkin akan masuk ke kelab-kelab malam untuk berdakwah kerana bimbang akan keimanan sendiri.

Kami kenal diri, dan kami yakin akan terikut-ikutlah kami pada kegembiraan berfoya-foya apabila berlama-lama dalam suasana lagha.

Biarlah kerja-kerja begitu kami serahkan kepada ahlinya.

Jembalang, jin tanah

Kemudian daripada itu kami juga tidak akan menyibukkan diri kami dengan cerita-cerita mistik. Kami akan seboleh-bolehnya lari daripada menjadi tempat orang ramai datang mengadu perihal diganggu jembalang dan jin tanah.

Belajar agar pandai memasak

Hal-hal mengenai jin tanah dan jembalang sepatut telah lama mati bersama kepercayaan Melayu kuno yang akan menjadi musuh utama kami.

Bankrap kerana kedai ditabur garam

Kami akan tentang habis-habisan perihal bagaimana urusan perniagaan orang Islam akan segera gulung tikar hanya kerana ditabur garam di halaman kedai mereka. Atau bagaimana serpihan tulang babi yang dibungkus kain putih lalu ditanam di mana-mana tapak perniagaan milik orang Islam akan mengakibatkan kerugian yang besar.

Perniagaan kedai makan yang masakannya tidak sedap dan pelayannya pula tidak pernah senyum lalu dipulaukan orang - tapi didakwa kononnya dijampi serapah oleh sang bomoh - pula akan kami doakan supaya menambah kemahiran mereka dalam bidang masakan, serta belajar seni melayan pelanggan dengan baik.

Menghebahkan penyakit sendiri

Jika terkena sebarang penyakit, kami tidak akan melulu menghebahkan hal itu ke seluruh dunia. Kami akan ke hospital bertemu doktor terlebih dulu.

Hal itu kerana kami yakin pakar perubatan mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing. Maka kami akan cari pakar yang ‘kena’ dengan penyakit kami.

Setelah itu kami pun berdoa kepada Tuhan. Kami akan merintih merayu kepada Dia dan pada masa yang sama tidak akan menjaja cerita itu ini untuk mengharap simpati manusia.

Rukyah halau hantu

Jika Tok Beruang datang untuk melakukan rukyah ke atas kami, akan kami tempeleng dia semoga sedarlah dirinya daripada ditipu daya syaiton nirrajim.

Kami akan ingatkan diri kami mengenai Nabi Ayub - bagaimana baginda tidak pernah mengeluh dan menuduh sesiapa mengenai penyakitnya.

Tidak pernah sekali dalam 18 tahun sakit itu baginda menyalahkan manusia, apatah lagi mempertikaikan keagungan Tuhan.

Nak jadi bintang filem

Dalam hal berkenderaan, kami rasa ia adalah mudah. Kami tidak mempunyai kecenderungan untuk bergaya dengan kereta mahal dan berkilat. Maka jika kami mampu sekali pun, tidak mungkin kami memilih unta merah - atau sekarang digelar sebagai Vellfire - sebagai tunggangan.

Cukup sekadar mana-mana kenderaan yang selesa dan tidak selalu rosak di tengah jalan. Ini adalah untuk menjaga hati kami dan juga pandangan orang terhadap ahli agama.

Ada ahli agama yang mahu menjadi Abdul Rahman Auf. Maka di sini kami katakan bahawa daripada 124,000 sahabat, hanya beliau dan beberapa sahabat sahaja yang dikenali sebagai tokoh yang sangat kaya-raya.

Juga, tidak sesekali kami mahu menjual air tawar sebagai ubat atau pun penebat. Rugi benar air liur untuk membaca al-Quran dan berzikir hanya untuk dibalas dengan beberapa keping wang perak.

Mengejar glamor

Yang paling kami akan elak ialah menjadi bintang filem. Rugi amat rasanya menghabiskan masa berpuluh tahun mencari dan mendalami ilmu agama lalu akhirnya ia dijadikan modal mengejar glamor.

Kami akan berasa sangat malu apabila melihat orang hiburan sedang berlumba-lumba kembali beragama, manakala kita - orang agama ini - berusaha bersungguh-sungguh mahu menjadi bintang filem.

Nanti jika kami ada masalah dengan mana-mana ustaz yang kami rasa telah menyimpang dalam menerangkan agama, maka kami akan pergi berziarah kepada mereka. Kami pergi dan bertemu secara peribadi.

Kami bawakan juga hadiah dan datang dengan dada terbuka. Manalah tahu, entah-entah memang sebenarnya kamilah yang salah.

Agamawan bergaduh di media sosial

Kami akan berbincang, dan bincang lagi sehingga mencapai penyelesaian. Tidak pula kami mahu gunakan media sosial sebagai pengantara saling membantai antara satu sama lain.

Taraf kami yang berilmu tentu saja bukan sebagai bahan hiburan kepada mereka yang tidak. Tidak mahu kami menjadi sumber perpecahan hanya kerana kami rasa kami ini di pihak yang betul.

Solat berjemaah di masjid

Yang akan kami tekankan kepada semua orang ialah hal pentingnya sembahyang berjemaah lima waktu di masjid. Semua orang lelaki akan kami pesankan perkara ini.

Kami akan berpesan demikian sehingga orang menggangap kami ini sudah tidak cukup akal. Dan kemudian kami juga akan memujuk mereka yang sudi untuk mendengar pesanan daripada kami agar sentiasa membaca al-Quran.

Membaca, memahami al-Quran

Seperti sembahyang lima waktu, al-Quran juga hendaklah dibaca pada setiap hari.

Banyak yang mahu kami katakan jika kami ini seorang ustaz, namun seperti yang kamu semua tahu, kami ini hanyalah seorang pelukis dan juga penulis di portal berita milik si kafir.

Maka kami tidak rasa kami berhak untuk bercakap mengenai hal agama dan bangsa kamu. Kamu tentu lebih alim daripada kami, dan kemuliaan bangsa kamu juga semestinya menjadikan kamu berhak ke atas segala sesuatu di bumi Malaya yang terciduk ini.

Pa yang habis empat senawi itu akhirnya tidak menjadi ustaz. Kami jarang bertemu dia sekarang kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Kami dengan hal mencari salah orang Melayu nan suci, manakala Pa pula sibuk mengendalikan pusat pemulihan dadah di Kemaman atau Dungun.

Kami tidak pasti, tetapi apa yang kami tahu beliau kini di negeri Terengganu dan sedang berusaha mengembalikan sekian ramai penagih dadah ke jalan yang benar.

Kegagalan agamawan antara punca moral dan integriti Melayu Islam merosot.


Adaptasi dari artikel terbitan Malaysiakini bertarikh 29 Mei, 2022, hasil tulisan ABDULLAH JONES - penulis, pelukis dan penyair.


End©Permadu


Adaptasi oleh Fauzi Kadir

Konsep/Teknik Persembahan/Teks Berita
dibantu oleh Jamaliah Mohd Salleh

Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2022 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jokowi, anak beranak, ipar dan menantu cuba kontrol Indonesia — rakyat hilang sabar, mula membenci Jokowi, berdemo, membakar