UCAPAN MENGUSIK JIWA
Pesanan presiden dalam menghadapi pandemik Covid-19
UCAPAN PRESIDEN UGANDA YANG DISIARKAN KE SELURUH NEGARA KEPADA RAKYAT NEGARA ITU BARU-BARU INI
Yoweri Museveni mengingatkan rakyat negara itu supaya tidak berkelakuan bertentangan serta mematuhi SOP kerana Tuhan sibuk dan ada banyak kerja. Dia perlu menjaga seluruh dunia. Dia tak boleh berada di Uganda sepanjang masa memantau tingkah laku anda.
Dalam keadaan berperang, tiada siapa suruh anda mengurung diri. Anda mengurung diri atas pilihan sendiri. Malah, jika ada tingkat bawah tanah, anda akan bersembunyi di situ selagi keadaan belum aman.
Ketika dalam peperangan, anda tak pernah mendesak kebebasan. Anda sanggup berkurung sebagai tukaran kepada terus hidup.
Dalam perang, anda tidak merungut lapar. Sanggup tahan lapar sambil berdoa untuk terus hidup, baru fikir fasal makan.
Di musim peperangan, anda tidak akan degil nak buka kedai atau perniagaan. Pasti anda tutup kedai dan lari untuk selamatkan diri, itu pun kalau sempat. Anda akan berdoa semoga peperangan berakhir supaya anda dapat berniaga semula. Anda bernasib baik kalau kedai anda tidak hancur berkecai dibom atau telah dimusnahkan.
Ketika perang, anda bersyukur kepada Tuhan kerana masih memberi anda nyawa sehari lagi.
Semasa perang, anda tak marah pun anak anda tak dapat pergi bersekolah. Anda hanya mampu berdoa semoga anak anda tidak secara paksa disenarai sebagai askar yang akan dilatih di sekolah yang sudah bertukar menjadi depoh tentera.
Dunia sekarang sedang berperang. Peperangan tanpa senjatapi dan peluru. Peperangan tanpa askar. Berperang tanpa sempadan. Berperang tanpa perjanjian gencatan senjata. Berperang tanpa kawasan perang. Tanpa zon selamat.
Peperangan kali ini adalah peperangan tanpa belas kasihan. Tiada sedikit pun berperikemanusiaan. Tidak membeza sesiapa. Tidak menghormati kanak-kanak, wanita atau rumah ibadat. Peperangan kali ini tidak berminat dengan harta rampasan perang. Tidak tertarik untuk merampas kuasa. Malah tiada kaitan dengan sumber galian bawah tanah, soal agama, etnik atau fahaman politik. Tiada cita-cita menjadi bangsa terhebat. Ia tidak kelihatan, merayap dan sepasukan tentera yang sangat kejam lagi berkesan.
Hanya satu agenda iaitu menuai kematian. Mencipta padang besar yang dipenuhi mayat bergelimpangan. Kemampuan mereka untuk mencapai hasrat itu tidak diragui. Tanpa tentera darat, laut atau udara atau mesin canggih. Mereka punya markas di hampir semua negara. Pergerakan mereka tidak tertakluk kepada konvensyen atau protokol perang. Secara ringkas, mereka guna undang-undang sendiri.
Itulah Coronavirus. Juga dikenali sebagai COVID-19. Kehadiran yang menghancurkan ini tiba sejak 2019.
Bersyukur kita, tentera ini ada kelemahannya dan mereka boleh dikalahkan. Ia hanya memerlukan tindakan bersama, disiplin dan kesabaran. COVID-19 tidak boleh bertahan dengan penjarakan fizikal dan sosial. Ia hanya membiak bila anda tidak mematuhi SOP. Dia suka anda begitu. Mereka akan menyerah kalah dengan penjarakan fizikal dan sosial. Mereka akan tunduk dan terkulai layu bila anda menjaga kebersihan. Menjadikan mereka lemah terletak di tangan anda sendiri. Tangan anda yang sentiasa dibersihkan sekerap mungkin.
Sekarang bukan masanya merengek fasal periuk nasi dan sara hidup seperti anak manja. Lagipun, kitab suci ada memberitahu kita seseorang itu tidak boleh bergantung kepada roti semata-mata. Marilah kita mentaati perintah dari pihak berkuasa. Sama-sama kita kurangkan jangkitan. Amalkan kesabaran. Jadilah pembimbing keluarga kita. Dalam masa singkat kita akan dapat menikmati semula kebebasan, menjalankan perniagaan dan bersosial antara satu sama lain.
Di tengah suasana cemas ini, amalkan berkhidmat dengan pantas dan kesegeraan menyayangi orang lain.
Saya yakin Tuhan merestui kita.
Terjemahan dari petikan ucapan Presiden Uganda, Yoweri Museveni yang disiarkan secara langsung di negara itu. Petikan versi Bahasa Inggeris sedang berlegar di media sosial.


Comments
Post a Comment