SHEILA MAJID PENGERUSI TEBUK ATAP?
Kemelut royalti muzik bagai ada persamaan dengan suasana politik Malaysia
DATUK SHEILA MAJID, penyanyi irama jazz yang sedang dilanda kontroversi di tengah krisis bayaran royalti muzik terkumpul dianggarkan berjumlah RM30 juta yang gagal diagihkan kepada mereka yang berhak, hari ini mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ucapan terima kasih di atas kesudian SPRM menyerbu empat pejabat iaitu Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).
Salah satu pejabat yang diserbu SPRM adalah pejabat Sheila Majid sendiri selaku Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM).
Utusan yang melaporkan Sheila mengucapkan terima kasih kepada SPRM pada tajuknya, tidak pula menghuraikannya dalam berita tersebut.
Bagaimanapun, Utusan mempersoalkan pihak-pihak tertentu mengambil masa terlalu lama untuk menimbulkan isu ini untuk diselesaikan.
Sheila Majid kini sedang menghadapi tekanan dari ramai penyanyi diketuai presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang mendesak beliau supaya meletak jawatan pengerusi RPM.
Desakan itu berasaskan kegagalan Sheila melaksanakan tanggungjawab dengan baik selama tujuh tahun memegang jawatan itu.
Sheila Majid juga gagal mengagihkan royalti kepada ahli-ahli RPM yang terdiri dari penyanyi dan peserta urusan rakaman muzik.
Dalam satu kenyataan semalam, Freddie Fernandez menarik perhatian umum bahawa Sheila Majid dilantik sebagai pengerusi RPM bukan melalui saluran demokratik iaitu pengundian ahli-ahli.
Sebaliknya, Sheila dipilih oleh pihak syarikat rakaman untuk memegang jawatan pengerusi RPM. Presiden Karyawan itu menyeru agar demokrasi dikembalikan kepada RPM dengan cara memberi hak kepada ahli-ahli RPM memilih sendiri seorang pengerusi yang lebih layak untuk organisasi itu.
Berdasarkan kenyataan presiden Karyawan Freddie Fernandez, Permadu Malaysia melihat Sheila Majid bagaikan seorang pengerusi tebuk atap atau melalui pintu belakang.
Ini menjadikan krisis royalti muzik yang sedang dihadapi Sheila Majid seolah-olah ada persamaan dengan suasana tidak menentu politik Malaysia yang sedang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Comments
Post a Comment