SHAFIE BERSYUKUR DICALON MAHATHIR JADI PM
Sedikit gementar tetapi yakin boleh menjadi perdana menteri berwibawa, sambil mengakui dirinya berpengalaman luas
Di PENAMPANG, Sabah, Bernama melaporkan Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal (gambar atas) akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung cadangan pencalonannya sebagai Perdana Menteri seperti yang dinyatakan oleh Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, beliau akan mengumumkan keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk membuat perbincangan bersama pemimpin tertinggi Warisan.
“Saya sangat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Itu satu cadangan dan saya perlu menelitinya secara mendalam termasuk mengadakan perbincangan bersama Timbalan Presiden Warisan (Darell Leiking) dan Ketua Penerangan Warisan (Dr Yusof Yacob).
“Ini satu cabaran besar untuk saya. Saya melihat ini secara serius. Beri saya sedikit masa (untuk membuat keputusan) dan (ia) tidak mengambil masa lama,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, keputusan memilih Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya (Parti Amanah Negara, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah dekat sini pada Khamis (25 Jun).
Menurutnya, dalam pertemuan itu, mereka juga bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II.
Bagaimanapun, menurut Parti Amanah Negara dan DAP cadangan untuk Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP serta Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, cadangan yang datang daripada Dr Mahathir itu adalah satu penghargaan buatnya sebagai individu dan ahli politik yang turut mempunyai pengalaman cukup luas.
Shafie tak pernah minta jawatan perdana menteri
"Saya tidak memintanya (untuk menjadi Perdana Menteri). Saya telah menyebutkan perlunya saya untuk menguruskan Sabah. Tapi ini (cadangan) satu penghargaan sebagai seorang individu dan ahli politik di negara ini kerana kita pun banyak pengalaman," katanya.
Mohd Shafie sudah berkecimpung dalam dunia politik lebih 30 tahun selain menjadi ahli Parlimen selama enam penggal dan bertugas di tujuh kementerian di peringkat Persekutuan.
Ditanya mengenai soal kebolehpercayaannya terhadap Dr Mahathir, Mohd Shafie berkata, ia bukan menjadi masalah besar meskipun terdapat beberapa isu membabitkan politik Sabah termasuk kemasukan Bersatu sebelum ini.
Mohd Shafie yakin keputusan berkenaan dicapai menerusi perbincangan bersama pemimpin Bersatu pada ketika itu.
Pada 6 April, 2019, Bersatu melebarkan sayap ke Sabah meskipun Dr Mahathir yang pada ketika itu menggalas peranan sebagai Pengerusi Bersatu berjanji untuk tidak bertapak di negeri bawah bayu berkenaan.
Comments
Post a Comment