POLITIK HADI SUKAR DIBACA


SAMADA rakan, lawan atau penganalisis politik, ramai di kalangan ini mengambil jalan mudah dalam menilai kewibawaan presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Bagi penyokong tegar, Hadi dilihat sebagai pemimpin dan agamawan yang hampir bertaraf wali Allah. Beliau pernah dianggap sebagai keramat apabila boleh membuat keputusan politik penting berasaskan alamat yang diterima dari mimpi ketika tidur.

Malah, Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah sendiri pernah menganggap Abdul Hadi sebagai seorang yang sangat hebat dan berada di atas pokok. Maksudnya, Hadi boleh melihat segalanya di bawah yang mana orang lain tidak nampak. Banyak perkara yang Hadi fikirkan di luar pemikiran orang lain yang tidak terfikir sama sekali.

Bagaimanapun, seteru politik Abdul Hadi memandang beliau negatif senegatifnya. Hatta tidak ternampak apa-apa kebaikan darinya melainkan yang buruk-buruk belaķa.

Hadi digambarkan seorang yang berangan-angan ingin menjadi perdana menteri. Beliau juga dipandang suka bercakap berdolak-dalik.

Tidak kurang yang menilai Hadi sebagai penunggang agama, yakni menggunakan agama untuk kepentingan politik dan peribadi. Ada juga berprasangka Hadi sebagai opportunis yang boleh menukar pendirian pada bila-bila masa mengikut kehendak yang menguntungkan diri atau parti. Seolah-olah hukum Allah boleh diubah suai mengikut kepentingan politik, masa dan suasana.

Hadi juga dilihat seteru dan sesetengah penganalisis sebagai kurang berpengetahuan dan tidak cukup cerdik. Berfikiran kuno serta berfahaman sempit.

Mungkin mereka terlepas pandang bahawa di sebalik kenegatifan itu semua, ada kepintaran dan kebijaksanaan luar biasa pada roh, jasad dan sosok Abdul Hadi Awang.

Hadi adalah penstabil politik negara dengan pendekatan tersendiri dalam berhadapan pelbagai pendirian bertentangan dan bercampur-campur berasaskan kepentingan peribadi, kroni, kaum, agama dan negara.

Di sebalik pandangan buruk yang dilontarkan terhadap beliau, Hadi yang sering mendapat perhatian kerana kata-kata bidalan lagi berkias berjaya meletakkan PAS sebagai parti politik yang tetap kukuh, berpengaruh dan terus menjadi rebutan.

Kebijaksanaan Abdul Hadi mengimbangi hubungan dengan Najib Razak, UMNO, Dr Mahathir Mohamad, suatu ketika berpeluk dengan Lim Kit Siang, membiarkan 'fatwa' Dewan Ulamak PAS undi Wee Jeck Seng di Tanjung Piai adalah wajib dan banyak lagi membuatkan beliau terus relevan di persada politik Malaysia.

Malah tokoh berdengung PAS seperti Nik Abduh Nik Aziz yang suka bercakap sesuatu yang beliau sendiri tidak faham terpaksa berpaut di dahan Hadi bila kantoi berbohong berkaitan kes rakaman audio yang hampir sampai ke mahkamah London.

Samada karisme Abdul Hadi Awang dapat memberi kebaikan kepada rakyat jelata atau sebaliknya, ianya adalah isu berbeza. Yang pasti aura Hadi terus menyerlah sebagai presiden PAS (setakat ini belum ada tokoh setanding yang cukup berwibawa untuk mencabar beliau), tempat rujukan para wartawan, ahli parlimen, agamawan yang mendapat tempat di peringkat antarabangsa, tokoh pembangkang yang masih berfungsi, juga berkeperibadian sederhana dalam kehidupan.

Walaupun dari satu segi kelihatan sangat tegas dalam hal agama Islam dan orang Melayu, Hadi sebenarnya boleh menjadi sangat 'liberal' bila berhadapan dengan orang Cina dan India.

Mereka yang mentertawakan Hadi dan merendah-rendahkan beliau sebenarnya telah melakukan kesilapan besar. 

Termasuklah gelagat pemimpin-pemimpin Amanah, sebuah parti yang masih rapuh. Kerapuhan boleh menjadi kritikal bila presidennya Mohamad Sabu semakin dicurigai terlibat rasuah di Mindef, belum cerita tentang sifat romantis tak bertempat beliau yang mudah lemah dengan perempuan.

Mari sama-sama kita baca artikel tulisan Shahbudin Husin yang disiarkan pada 28 Januari 2020 di blog beliau berkaitan Abdul Hadi Awang yang dianggapnya menghadapi masalah mental.

Shahbudin yang sejak kebelakangan ini menjadi penyokong tegar Anwar Ibrahim kadang-kadang seperti hilang pertimbangan rasional serta berunsur berat sebelah dalam mengemukakan pendapat.


Shahbudin Husin

Kadang-kadang kita semakin tak faham dengan cara Presiden Pas, Hadi Awang berpolitik dan mengeluarkan kenyataan.



Beliau adalah pembangkang dan sedang bekerjasama dengan UMNO yang juga pembangkang untuk membentuk Muafakat Nasional bagi menghadapi PRU15 akan datang.




Tetapi, sementara rakannya UMNO, tetap konsisten melihat PH dan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebagai musuh dalam politik, Pas sebaliknya menjadikan Perdana Menteri sebagai teman sejati.




Begitu pun, Pas tidaklah menyokong PH, tetapi hanya menyokong Perdana Menterinya saja, walaupun yang meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah PH.




Ikut logiknya, menyokong Perdana Menteri daripada PH bererti sama dengan menyokong PH kerana tanpa PH, Tun Mahathir tidak akan menjadi Perdana Menteri.




Namun demikian, walau berkedudukan sebagai pembangkang dan musuh kepada PH, Hadi Awang tetap mahu campurtangan dalam urusan PH yang tidak disokongnya itu.




Tidakkah ini pelik?




Kalau dalam urusan kerajaan beliau mahu memberi pandangan, bolehlah juga diterima akal kerana kerajaan itu bersifat terbuka kepada sesiapa lantaran semua orang ada membayar cukai kepada kerajaan.




Lebih-lebih lagi sebagai pembangkang, Pas dan Hadi Awang memang ada peranan yang perlu dimainkannya.




Sebaliknya, isu peralihan kuasa bukan isu kerajaan, ia adalah isu dalaman PH yang sedang menjadi kerajaan.




Dalam isu perjanjian peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim, ia adalah urusan dalaman PH yang mana parti-parti gabungannya saja berhak campurtangan mengenainya.




Hadi Awang sebagai orang luar duduk diam-diam sudahlah, walau betapa tebal sekali pun kulit muka yang dimilikinya.




Ia adalah urusan rumahtangga PH yang Pas tak terlibat dan tidak perlu terlibat sama sekali.




Malulah sikit beb!!!




Kalau teringat sangat mahu terlibat juga, mohonlah untuk menjadi ahli PH terlebih dahulu.




Lebih daripada itu, mempertikai perjanjian peralihan kuasa yang merupakan isu dalaman PH yang sudah lama dipersetujui, bahkan hanya menunggu masa saja untuk dilaksana, tidak saja memperlihatkan “kebodohan” Hadi Awang, bahkan menyerlahkan sifat dengki, iri hati, dendam serta ketakutannya terhadap Anwar.




Apa yang Hadi takut sangat dengan Anwar jadi Perdana Menteri?




Adakah dibenarkan pemimpin sebuah parti Islam memiliki sifat dengki, dendam dan iri hati?




Adakah dalam hal ini Hadi takut perjuangan Pas jadi tidak relevan lagi apabila nanti Anwar setelah menjadi Perdana Menteri akan memperkenal dan membawa banyak ciri-ciri Islamik dalam kerajaan sebagaimana beliau pernah melakukannya ketika dalam kerajaan sebelum ini?




Kenapa hujah macam tukar pemandu bas dan tak Islamik yang sebenarnya tidak berkaitan sama sekali yang digunakan oleh Hadi Awang untuk mempertikai perjanjian tersebut?




Adakah menukar kereta Mercedes untuk Exco Kelantan suatu tindakan Islamik?




Adakah juga menghasut orang lain memungkiri perjanjian suatu perbuatan yang Islamik?




Namun demikian, fikir punya fikir, terlintas dalam fikiran, apakah kenyataan Hadi Awang ini keluar selepas beliau berjumpa Tun Mahathir tidak lama sebelum ini?




Jika begitu, kenapa nampak lekeh sangat hujah Presiden Pas ini dalam membawa dirinya sebagai pembangkang yang ingin memberi sokongan kepada Perdana Menteri?




Rasa-rasanya makin dekat Anwar mahu jadi Perdana Menteri, semakin ternampak banyak yang tidak kena dalam cara Hadi Awang membawa dirinya.




Tidak bolehkah selepas ini Tun Mahathir yang pernah dicadangkan oleh Hadi Awang agar lebih baik menjadi doktor di Klinik 1Malaysia saja, memeriksa mental Presiden Pas itu sebelum datang berjumpanya?



oleh Fauzi Abdul Kadir  
untuk Permadu Malaysia
● 2020 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
hubungi kami +6011 1185 9874
atau permadu@gmail.com
gambar dan sokongan teknikal
Zafiyah Hussain


Permadu Media
Blog Permadu Malaysia
Facebook Permadu Harmony
Page Permadu Station
Audio Visual PermaduTV

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jokowi, anak beranak, ipar dan menantu cuba kontrol Indonesia — rakyat hilang sabar, mula membenci Jokowi, berdemo, membakar