Mohamad Hasan dijangka PM baru jika BN dan sekutu menang PRU15

 Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menjadi peluang terakhir bagi Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan persekutuan, kata timbalan pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Mohamad Hasan. Begitulah sebuah portal berita tempatan melaporkan.

Mohamad Hasan 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat dilihat sebagai calon paling cerah bakal dipilih sebagai perdana menteri menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini boleh berlaku sekiranya BN dan sekutu mereka menang pilihanraya umum ke-15 dan berjaya membentuk kerajaan.

Ismail Sabri Yaakob 

Semasa Naib Presiden UMNO Ismail Sabri mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah pun mula bergelut dengan mahkamah berkaitan kes-kes jenayah rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Manakala pemegang jawatan kedua tertinggi dalam UMNO iaitu Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan pula tiada kelayakan untuk bersaing memandangkan beliau bukan seorang ahli parlimen.

Maka sudah tentu beliau tidak dihidu sama sekali untuk dibariskan bersama di dalam sebuah kerajaan yang dilahirkan dari pakatan berhelah yang lebih serasi dengan panggilan Langkah Sheraton.

Tambahan pula Mohamad dilihat kurang dipercayai Abah selaku bos kerajaan yang kedemokrasiannya dipersoal banyak pihak dan ramai individu.

Justeru bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, Ahli Parlimen Bera yang berasal dari Kampung Bangau, Temerloh itu menyambut jawatan perdana menteri umpama penjaga gol yang menangkap bola hasil jaringan tepat bintang bolasepak Datuk Dollah Salleh ke arahnya.

Kekerapan Ismail Sabri muncul umpama personaliti televisyen menyampaikan maklumat harian mengenai SOP pandemik Covid-19 menjadi nilai tambah kepopularan kepada dirinya untuk mencipta sebuah kerajaan yang diberi nama Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri yang memulakan tugas merendah diri sambil mengakui dirinya anak penoreh getah, tiba-tiba diperangkap langkah sumbang sendiri apabila tampil memakai pakaian didakwa berharga lebih RM5,000 sambil mengenakan jam tangan berjenama terkelas didakwa berharga lebih RM200,000 tular di media sosial.

Lebih mengghairahkan lagi, Ahli Parlimen Lembah Pantai Faiz Fadzil dari PKR menyusul dengan dakwaan PM Malaysia memakai baju berharga RM7,000!

Penulis Murray Hunter di portal Asia Sentinel mengulas Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri yang kabur dan lebih cenderung mempromosi menantu sendiri sebagai seorang pereka fesyen.

Menantu PM itu turut menimbulkan kontroversi apabila dirinya turut menyertai rombongan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri ke Jepun. Mungkin atas kapasiti Perunding Imej kepada bapa mertua.

Syed Akbar Ali 

Penulis terkenal Syed Akbar Ali pula membandingkan seorang perdana menteri memakai jam tangan berjenama berprestij yang berharga lebih RM200,000. Pada masa sama, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong memakai jam tangan jenama Seiko yang berharga lebih kurang RM600 sahaja.

Walaupun tidak menyebut nama, Syed Akbar Ali dipercayai merujuk isu tersebut kepada Ismail Sabri.

Suatu yang menarik, dalam artikel lain, Syed Akbar telah "menganugerahkan" gelaran Brader kepada Ismail Sabri. Bukan senang nak dapat pengurniaan dari penulis blog OutSyed The Box yang mempunyai lebih 90 juta pengunjung itu.

Sebelum Ismail Sabri, satu-satunya pemimpin yang berjaya mendapat gelaran Brader dari blog itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Brader Anwar.

Dari satu sudut lain, perangai pemimpin yang suka memakai pakaian dan hiasan mahal lagi berprestij untuk diperagakan banyak berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin negara miskin. Tidak memeranjatkan kalau memang Malaysia mahu menuju ke arah itu.

Berbalik kepada Mohamad Hasan, FMT melaporkan beliau sebagai berkata jika BN gagal meraih kemenangan dalam pilihan raya kali ini, peluang untuk memenanginya pada pilihan raya akan datang akan menjadi lebih sukar.

Sanggup letak jawatan kalau BN kalah, isyarat kesungguhan 

Malah, beliau sanggup melepaskan jawatannya jika BN mengalami kekalahan pada PRU15. Nekadnya Mohamad untuk meletak jawatan merupakan satu isyarat beliau bersungguh-sungguh dan sudah bersedia untuk menjadi perdana menteri.

“Keutamaan kita adalah PRU15. Kita mesti menang, kalau kalah, siapa nak jawatan timbalan presiden, ambillah. Saya sanggup. Jujurnya, kalau parti kalah, bagilah kepada orang muda ke, siapa-siapa nak…ambil, tetapi selagi kita berhadapan dengan PRU15, keutamaan saya sebagai pengarah pilihan raya, komitmen saya adalah menang.

“BN mesti menang, kalau tak menang, susah nak bangun semula. Jadi, inilah peluang terakhir untuk kita membuktikan dan bangkit semula untuk menawan Putrajaya,” Utusan Malaysia pula memetik Mohamad sebagai berkata.

Mohamad atau Tok Mat berkata, pertarungan PRU15 cukup berbeza kerana BN perlu bersaing dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Sangat sukar sebenarnya untuk kita tawan Putrajaya, pengundi mungkin sudah selesa dengan kerajaan sedia ada atau mereka mahukan PH. Sebab itu, kita perlu bangkit dan menang. PRU15 pun dah hampir, kalau ini larian 100m, tinggal 15m, pecutlah…tahan nafas supaya kita dapat cecah garis penamat pada PRU15.

“Ini pertarungan terakhir, hidup atau mati, kalau nak hidup, menang PRU15…kalau tidak saya mengalah,” katanya.

Beliau yang juga timbalan presiden UMNO, yakin BN boleh meraih kemenangan berdasarkan keputusan diperoleh pada pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN).

“Sebanyak tujuh PRK kita dapat sokongan rakyat, PRN di Sabah, Melaka dan Johor, rakyat telah beri mandat kepada BN, bukan menang sikit-sikit, bukan menang biasa-biasa, ini menang luar biasa,” katanya.

Namun, beliau menggesa semua jentera parti supaya tidak mencetuskan sebarang perbalahan yang boleh memecah belahkan parti.

“Kalau nak menang, jangan ada perbalahan. Saya dapat menghidu di negeri-negeri, itu sebabnya ada negeri yang ada sedikit masalah, ada yang banyak, saya mempunyai deria hiduan yang tinggi, saya boleh hidu sesuatu yang betul-betul bermasalah.

“Jadi, jangan kita bertelagah dalaman, kalau bertelagah, orang kata muafakat punca kita selamat sengketa punca celaka, jadi kalau bersengketa, kecelakaanlah yang akan menimpa kita. Muafakat elok-elok supaya kita dapat harungi PRU15 dengan kesepakatan dan kesepaduan parti,” katanya.

Mohamad Hasan dijangka bertanding sebagai ahli parlimen di Rembau yang kini disandang menantu seorang bekas perdana menteri iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Nasib Khairy Jamaluddin masih belum diketahui. Tidak mustahil beliau terus tidak dicalonkan bertanding mewakili BN dalam PRU15 nanti mengambil kira beliau tidak berada di dalam kem Najib dan Zahid Hamidi.

Khairy yang berjaya menjadi menteri dilihat lebih cenderung menyokong grup Muhyiddin Yassin yang bukan pun ahli UMNO. Beliau sering kelihatan lantang mengkritik pimpinan UMNO sekarang termasuk Najib dan Zahid Hamidi.

Agak lucu, semasa Najib berkuasa, beliau lebih banyak berdiam diri.

Penampilan bintang legenda bolasepak Malaysia Dato' Dollah Salleh adalah untuk tujuan ilustrasi semata-mata dan tiada kaitan dengan kandungan artikel ini dan blog Permadu Malaysia.


End©Permadu


 
Oleh Fauzi Kadir

Konsep/Teknik Persembahan/Teks Berita
dibantu oleh Nazura Othman

Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2022 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpel
ihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG  

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Penjelasan Tengku Zafrul umpama Hail Amir tanya Uji Rashid

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Kes-kes bunuh diri terjun jambatan di Kelantan membimbangkan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?