APANDI LETAK JAWATAN MUKTAMAD
![]() |
Mohamed Apandi Ali, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO |
KEPIMPINAN UMNO baru-baru ini terpalit dengan dakwaan campur tangan dalam prosiding lembaga disiplin parti itu terhadap Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, sebelum ini menegaskan bahawa dakwaan berkenaan tidak benar, lapor Malaysiakini.
Annuar turut berkata "kekeliruan" itu akan dijelaskan apabila pengerusi lembaga disiplin Mohamed Apandi Ali pulang dari luar negara untuk mempengerusikan mesyuarat berhubung isu itu.
Bagaimanapun, Apandi berkata beliau akan meletakkan jawatan sebaik sahaja beliau pulang dari luar negara.
"Memang benar bahawa ibu pejabat Umno belum menerima surat peletakan jawatan saya tetapi saya tidak akan mempertimbangkan semula," katanya dipetik oleh The Malaysian Insight.
Apandi, yang pernah menjadi peguam negara, mendakwa wujud campur tangan dalam urusan lembaga disiplin.
Dakwaan itu hadir selepas prosiding disiplin terhadap Hishammuddin yang dijadualkan pada 26 Disember ditangguhkan.
"Saya tidak arahkan sebarang penangguhan, ada yang tidak kena," katanya sebelum mengumumkan peletakan jawatan sebelum ini.
Apandi juga berkata beliau mengarahkan setiausaha lembaga itu untuk menyediakan surat peletakan jawatannya sebagai pengerusi kerana beliau "tidak sanggup menjadi kuda tunggangan".
Bagaimanapun, Annuar sebelum ini berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan Apandi dan berharap perkara itu dapat dijelaskan sebaik bekas peguam negara itu pulang dari luar negara.
"Saya telah berkesempatan menghubungi Apandi, dan sahih beliau sedang bercuti di luar negara.
"Saya telah diberi sedikit gambaran apa yang telah berlaku, dan bersetuju perkara ini perlu dibincang secara tertib apabila Apandi pulang dari bercuti.
"Beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan jawatankuasa disiplin akan dimurnikan apabila jawatankuasa tersebut bermesyuarat secara bebas dan dipengerusi sendiri oleh Apandi," katanya.
Comments
Post a Comment