Sultan Ibrahim hadir majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan
Media tempatan melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 / 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di wilayah pentadbiran kerajaan Persekutuan itu, hari ini.
Menurut Harian Metro, keberangkatan baginda berdua pada majlis bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani" itu diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini turut membabitkan penyertaan seramai 6,000 peserta dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.
Tema sambutan kali ini iaitu "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani" dipilih kerajaan sebagai manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan ia satu tema sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sewaktu sembah ucapan aluan berkata, dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep Al-Falah (kejayaan) perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai semua lapisan masyarakat bagi merealisasikan Gagasan Malaysia Madani.
"Justeru, sifat-sifat kenabian baginda Rasulullah SAW iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana) adalah rencah lengkap dalam menggapai Al Falah sebagai muslim sejati.
"Negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama. Semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani.
"Adalah tidak bertanggungjawab kepada mana-mana pihak yang terus menerus memanipulasikan isu keagamaan serta perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturahim," katanya.
Sementara itu, keistimewaan penganjuran sambutan Maulidur Rasul SAW pada kali ini menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya pada latar pentas (astaka) dengan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad astaka.
Turut diadakan, persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa sirah kehidupan baginda.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment