Tindakan pra-matang Siti Mastura cerminan PhD Malaysia berkualiti rendah

Agak lama juga kita tak dengar mengenai Puan Siti Mastura Muhammad sejak Ahli Parlimen Kepala Batas itu cetus kontroversi apabila didakwa memfitnah beberapa pemimpin DAP mempunyai pertalian darah dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Mendiang Encik Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Mendiang Encik Lee Kuan Yew tahun lalu. Diam tak diam, timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu terheret dalam satu lagi keributan – sekali lagi kerana menimbulkan maklumat yang tidak dikemas kini dan dipastikan kesahihannya.

Kadang-kadang timbul juga persoalan apakah wakil rakyat berusia 34 tahun berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu cemerkap – menurut Kamus Dewan bermaksud tidak cermat atau lalai dalam melakukan sesuatu pekerjaan – atau sengaja berbuat demikian untuk menagih perhatian ramai. Yang kedua itu tak mungkin kut.

Reezal Merican Naina Merican terkulai layu

Berbanding Ahli Parlimen penggal pertama selebihnya, Siti Mastura harus dianggap luar biasa. Beliau antara “giant killer” selepas memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dalam PRU15 dengan mengalahkan penyandang dua penggal dan bekas menteri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN/UMNO) dengan majoriti 2,867 undi. Siti Mastura memperoleh 28,604 undi, Reezal Merican 25,737 undi, calon Encik Muda Danial Abd Majeed 14,214 undi manakala Encik Hamidi Abu Hamid (GTA) 747 undi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan buat pertama kali BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun sejak ia diwujudkan pada 1974. Tambahan kawasan Parlimen itu lama diwakili perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi antara 1978-2013.

“Saya pun kalah Parlimen…macam picisan jugak laaa,” kata Reezal Merican dalam satu pesanan WhatsApp kepada saya. Beliau kemudian menebus kekecewaan apabila menumbangkan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi DUN Bertam Encik Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dengan majoriti 2,321 undi dalam pertembungan satu lawan satu pada PRN 12 Ogos tahun lalu.

Kemesraan DAP-PAS akan berulang?

Dalam kontroversi terbarunya, Siti Mastura mahu dirujukkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen oleh Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bagan Encik Lim Guan Eng kerana hujahnya yang didakwa berniat jahat dan mahu mengganggu keharmonian berkait dakwaannya bahawa kira-kira 1.2 juta rakyat China masih terus menetap di Malaysia secara tidak sah meskipun sudah ada penjelasan sebelum ini bahawa fakta itu satu kesilapan.

Sebagai rujukan, Encik Gobind Singh Deo ketika menjadi Ahli Parlimen Puchong pernah digantung keahliannya selama setahun melalui satu usul dikemukakan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz kepada Dewan Rakyat menurut Perintah Tetap 80(1) pada 16 Mac 2009 kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina timbalan speaker Dewan Rakyat.

Gobind kemudian membawa kesnya ke mahkamah yang berkesudahan dengan Mahkamah Persekutuan pada 3 Nov 2014 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Parlimen Malaysia membayar semula gaji dan imbuhan Ahli Parlimen Puchong itu yang disekat ekoran penggantungannya selama setahun pada 2009.

Guan Eng merujuk kepada dakwaan Siti Mastura dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu bahawa lebih 1.2 juta rakyat China belum meninggalkan negara ini antara 2018 dan 2021. Dakwaannya itu adalah berdasarkan jawapan kerajaan Perikatan Nasional pada 2022 yang bagaimanapun sudah diperjelaskan sebagai satu kesilapan. Ini berdasarkan jawapan Kementerian Dalam Negeri dalam satu sidang Dewan Rakyat pada Julai 2022 kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor
ketika itu Encik Shabudin Yahaya.

Dalam suratnya kepada Speaker Tan Sri Johari Abdul, Guan Eng berkata walaupun dakwaan berkenaan sudah disangkal Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan menteri sebelumnya Datuk Seri Hamzah Zainudin, Siti Mastura masih mengulanginya.

Mengganggu keharmonian masyarakat

“Adalah jelas ucapan Ahli Parlimen Kepala Batas yang mengelirukan di Dewan yang mulia ini berniat untuk mengganggu keharmonian masyarakat berbilang budaya di negara ini, mewujudkan keresahan, kebimbangan dan ketegangan di kalangan rakyat dengan membangkitkan sentimen perkauman,” katanya dalam surat itu.

Menurutnya, Hansard menunjukkan cuma 92 rakyat China yang ditahan sebagai pendatang tanpa dokumen dalam operasi pada awal 2023 dengan 809 orang dihalang memasuki negara ini pada tahun berkenaan – angka yang jauh bercanggah daripada apa didakwa Siti Mastura. Hamzah, menteri dalam negeri ketika pentadbiran kerajaan PN, sudah pun mengakui bahawa dakwaannya itu tidak tepat.

“Kepala Batas tahu fakta itu silap tapi tetap berdegil dengan terus memainkan persepsi ini. Kenapa Hamzah dari parti yang sama mahu berbohong kepada anak buahnya,” kata Guan Eng lagi. Kini terserah kepada Johari untuk membenarkan Siti Mastura dirujukkan ke jawatankuasa itu untuk tindakan lanjut atau sebaliknya.

Apa yang menghairankan ialah Siti Mastura seperti tidak belajar daripada “keterlanjurannya” sebelum ini. Pada 29 November tahun lalu, tiga pemimpin DAP -Lim Kit Siang, Guan Eng dan Teresa Kok – memfailkan saman berasingan terhadapnya kerana dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng dan Kuan Yew. Siti Mastura didakwa membuat kenyataan itu dalam ucapannya di Kemaman, Terengganu pada 4 November.

Dalam pernyataan tuntutan, tiga pemimpin DAP itu mendakwa Siti Mastura juga merujuk mereka secara khusus dan langsung mengikuti ideologi komunis apabila mengaitkan hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng. Mereka berkata melalui hubungan kekeluargaan, Siti Mastura mendakwa ketiga-tiganya meneruskan konspirasi komunis Cina yang memudaratkan keselamatan dan demokrasi di Malaysia.

Pada 6 Februari lalu, Guan Eng dan pemimpin parti itu berhujah bahawa Siti Mastura tidak sepatutnya bergantung kepada sumber yang disangkal berhubung dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan komunis dan bekas perdana menteri Singapura. Dalam jawapan terhadap pembelaan Siti Mastura terhadap saman fitnah mereka, Guan Eng, Kit Siang dan Kok mempertikaikan sumber yang didakwa daripada risalah bahan kempen Barisan Nasional (BN).

Ketiga-tiga plaintif menegaskan bahawa defendan tidak boleh bergantung kepada risalah itu sebagai pembelaan kerana ia telah pun disangkal oleh Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Encik Isham Jalil. Selaku seorang Ahli Parlimen berkelulusan PhD, Siti
Mastura, kata mereka, sepatutnya melakukan usaha semakan sewajarnya.

"Adalah kewajipan tokoh akademik atau pengkaji sepertinya yang terlatih dengan teknik dan protokol, sebagai peraturan, melakukan usaha wajar dan sedar bahawa hanya bahan yang antara lain, tulen, berwibawa dan boleh dipercayai untuk disandar dan bukannya bahan lain. Jika gagal, mana-mana rujukan kepada penerbitan BN Comms yang tidak sahih, tidak berwibawa dan tidak boleh dipercayai, yang kewujudannya telah dinafikan oleh BN sendiri, boleh disifatkan sebagai antara lain, sangat tidak bertanggungjawab, melulu dan sangat cuai. Oleh itu, kajian yang didakwa oleh defendan mengenai perkara itu adalah tidak masuk akal dan tidak wajar bagi seorang ahli
politik dan lebih-lebih lagi seorang pemegang ijazah kedoktoran,” kata ketiga-tiga plaintif.

Pada 29 Mac lalu, media termasuk FMT melaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Cerminan PhD Malaysia berkualiti rendah

Jika Siti Mastura perlukan satu nasihat, segeralah dapatkan seorang pegawai penyelidik. Di sebalik ia memerlukan sedikit biaya daripada Ahli Parlimen Kepala Batas itu, bantuan sedemikian akan dapat menghindarkannya daripada masalah berulang pada masa depan.


Adaptasi dari sebuah artikel menarik hasil tulisan kolumnis FMT Hishamuddin Aun, disiarkan portal itu pada 21 April 2024.

End©Permadu

Adaptasi oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Kwai Fong Chin


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG   

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.

 Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jika DAP dapat memberi kebaikan kepada orang Melayu, lebih baik dari pemimpin Melayu, apa masalahnya? Kalau...

Inilah akibat terlampau banyak formula sebelum jadi menteri