Bukan Superman bukan Ultraman, tapi Cukai-man
Media melaporkan kira-kira 100 hadir dalam Himpunan Turun Anwar peringkat Selangor hari ini di kawasan parkir belakang Hotel Concorde, Seksyen 9, Shah Alam sebagai bantahan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Himpunan yang dianjurkan Sekretariat Himpunan Turun Anwar itu dibuat susulan pelbagai isu yang dikatakan kian menekan rakyat ketika ini, kata Malaysiakini.
Antara isu itu termasuklah peningkatan kos sara hidup dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan mulai 1 Julai.
Peserta himpunan yang hadir dilihat membawa sepanduk dan plakad bertulis “Turun Anwar”, “Rakyat Terbeban”, “Rakyat Susah, Cukaiman Selamba”, “Kami nak pemimpin, bukan cukaiman.”
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar; Ketua Pemuda PAS Kelantan, Encik Mohd Kamal Mohamad; bekas pemimpin PKR, Encik Mohamad Ezam Mohd Nor; Ketua Penerangan Pejuang, Encik Rafique Rashid; Naib Ketua Pemuda PAS, Encik Muhammad Hanif Jamaluddin dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Encik Mohammad Azamuddin Sahar.
Rafique dalam ucapannya meminta Anwar berundur atau bercuti dan seterusnya menyerahkan jawatan kepada individu lain bagi menggalas tanggungjawab.
Katanya, ini kerana pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu terpalit pelbagai isu termasuk kes mahkamah berunsur seks yang sedang dihadapinya melibatkan bekas pembantunya Encik Yusoff Rawther.
“Kita berhimpun tak pakai senjata kerana senjata kita yang paling kuat adalah dengan kenyataan dan suara.
“Suara rakyat mesti bergema pada 26 Julai ini. Mesti jadi bukti rakyat akan turun dan kenapa rakyat perlu turun sebab dia (Anwar) bermasalah.
“Isu cukai SST, elektrik, kebobrokan, soal kehakiman, isu Jabatan Peguam Negara bersepah, kos barang, isu tong gas yang tidak hanya melibatkan Melayu-Islam sebaliknya ia melihat semua rakyat tanpa mengira kaum.
“Jadi, sebab itu kita perlu desak supaya Anwar turun,” katanya dalam ucapan pembukaan himpunan hari ini.
Ezam pula mendakwa rakyat kecewa dengan kepimpinan Anwar kerana janji-janji yang dibuat semasa menjadi pembangkang gagal ditunaikan apabila beliau berada di tampuk kuasa Putrajaya.
“Dulu cakap berdegar-degar, nak turun harga minyak. Sekarang bila berkuasa, tak buat. Kita bukan nak bertempur dengan pihak berkuasa, bukan nak bertempur dengan polis. Kita nak suarakan perasaan kepada pemerintah. Ramai marah dulu orang kecil sahaja yang marah, sekarang orang kaya pun marah. Mereka semua kena cukai.
“Dulu Anwar dianiaya, orang PAS bangkit pertahankan. Sekarang bila berkuasa, pemimpin Umno datang jilat dan bersama,” katanya.
Manakala, Hanif pula meminta kerajaan pimpinan Anwar agar selesaikan dahulu isu kesusahan rakyat sebelum berbangga dengan rancangan pembangunan Kota Madani.
“Sebelum nak wujudkan Kota Madani, kotakan dulu janji kamu. Kotakan segala yang pernah kamu ucapkan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang media, Hanif berkata himpunan hari ini merupakan pra-himpunan menjelang kemuncak “Himpunan Turun Anwar” pada 26 Julai ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang dijangka dihadiri 50,000 peserta.
Katanya, selain NGO seluruh negara, antara pimpinan politik yang dijangka hadir termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, seluruh pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bergantung kepada faktor kesihatan masing-masing.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment