Rafizi dijangka menang mudah tewaskan Nurul Izzah

Majoriti akar umbi PKR dipercayai dalam senyap menolak konsep politik anak beranak

Keadaan mungkin berbeza jika Nurul Izzah mempertahankan dan menang pada PRU15 sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh

Pengundi senyap di dalam pemilihan parti PKR dijangka menjadi penentu siapakah bakal Timbalan Presiden yang akan dipilih.

Strategi pihak tertentu dalam PKR menonjolkan Puan Nurul Izzah Anwar sebagai pencabar tunggal penyandang iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli sebenarnya satu kesilapan yang besar. Nurul Izzah pula kelihatan seperti terperangkap apabila beliau menerima cadangan itu.

Pihak tertentu itu adalah satu kumpulan yang kurang berpengaruh di kalangan rakyat, sesuai dengan panggilan lebih sudu dari kuah, yang bertenggek dan bergantung harap kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana pengaruh Anwar sendiri nampaknya semakin pudar. Namun golongan ini sebenarnya setia, lama dan sayangkan parti.

Pudarnya pengaruh Anwar disebabkan kebergantungannya kepada DAP dan sekutunya yang lain, termasuk UMNO, ditambah lagi dengan beberapa tindak-tanduk beliau terang-terangan bercanggah dengan semangat reformasi, walaupun difahami itu satu-satunya jalan yang ada pada pemimpin lemah sepertinya untuk mengekalkan kuasa. Tanpa kuasa, bagaimana Anwar dapat melaksanakan reformasi?

Dari satu sudut yang lain pula, lemahnya Anwar bukanlah pada dirinya. Tetapi lebih kepada pencapaian partinya dan parti-parti yang bergabung dengannya. Anwar sendiri secara peribadi adalah seorang yang luar biasa kekuatannya. Tiada siapa yang dapat menafikan bekas anak didik Mahathir ini amat kental dan tahan lasak.

Kalau bukan Anwar yang memimpin, sudah tentu kerajaan Madani akan menerima nasib yang sama seperti kerajaan sebelumnya, iaitu Muhyiddin (Abah Prihatin) dan Ismail Sabri (Keluarga Malaysia). Layu sebelum berkembang.

Di sinilah letaknya perbezaan. Taktik, teknik dan strategi politik Anwar banyak kelihatan serupa (tapi tak sama) dengan apa yang dilakukan oleh bekas mentornya semasa berkuasa.

Begitu juga dengan Nurul Izzah. Bukan sama sekali bermaksud beliau tidak bagus. Bakat Nurul Izzah banyak mewarisi bapanya. Beliau berpotensi, di suatu hari nanti, menjadi salah seorang pemimpin utama negara.

Seperti kata seorang pemimpin terkemuka negara, Nurul Izzah tidak muncul secara tiba-tiba dan dibayangi bapanya. Nurul berdiri di atas kakinya sendiri dan sudah mula berjuang sejak berusia 18 tahun.

Cuma, masa dan keadaan tidak sesuai untuknya mencabar Rafizi. Nurul dan Rafizi sepatutnya berganding bahu sama-sama mengukuhkan parti.

Sebelum kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018, semua presiden UMNO secara automatik dan tidak memerlukan SD, akan menjadi perdana menteri. Ini kerana UMNO memenangi kerusi terbanyak dalam setiap pilihan raya umum (PRU) dengan kegagahan yang nyata. Mendominasi kuasa dalam gabungan BN, malah seluruh PRU itu sendiri.

Sedangkan PM-PM berikutnya, dari Tun Dr Mahathir Mohamad (2018), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (2020), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2021) hinggalah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (2022), parti masing-masing terlalu lemah, lalu terpaksa mendapat ehsan sokongan parti-parti lain bagi mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan.

Maka, pada Februari 2020, bermulalah era kumpul SD diikuti menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan seseorang individu itu menjadi perdana menteri.

Bermula dari situ jugalah beberapa ungkapan menjadi sebutan ramai seperti Langkah Sheraton, Kerajaan Pintu Belakang, Kerajaan Tebuk Atap dan sebagainya.

Bagi menangkis ejekan sedemikian rupa, presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan satu falsafah bersifat bidalan, berbunyi lebih kurang begini: "Untuk memasuki masjid yang ada banyak pintu, kita tidak semestinya memasuki dari pintu hadapan. Kita boleh masuk dari pintu tepi dan pintu belakang." 

Ada juga pandangan mengatakan Nurul Izzah lebih berwibawa dari Rafizi atas alasan semasa Nurul Izzah menjadi pengarah pilihan raya parti pada PRU 2018, PKR menang 50 kerusi berbanding Rafizi menjadi pengarah pilihan raya parti pada PRU 2022, PKR hanya menang 30 kerusi sahaja.

Bagi saya, hujah ini lemah kerana ada faktor lain PKR menang lebih banyak kerusi pada 2018. Antaranya, pengaruh Dr Mahathir, semua parti dalam Pakatan Harapan menggunakan logo PKR, sentimen kebencian terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berada di tahap maksimum susulan skandal 1MDB.

Manakala PRU 2022 pula suasana sentimen bercampur-campur telah berlaku.

Kesimpulannya, saya meramalkan Rafizi akan menang mudah mengalahkan Nurul Izzah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini, yang dijadualkan pada 23 Mei.

Nurul Izzah pula semacam bertanding tanpa mengetahui sebab beliau berbuat demikian selain penjenamaan semula PKR sebagai parti ubat batuk cap bapa dan anak

Hari ini, media melaporkan Rafizi sebagai berkata mesej yang salah akan diberikan kepada rakyat sekiranya pencabarnya Nurul Izzah Anwar tewas dalam persaingan bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti itu.

Berucap dalam satu ceramah di Kedah malam tadi, Malaysiakini memetik Rafizi sebagai berkata PKR bakal berdepan risiko jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan tersebut memandangkan dia merupakan anak kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kekalahan Nurul Izzah akan menyebabkan imej buruk kepada PKR, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Kalau contohnya Izzah kalah, apa mesejnya kepada rakyat? Contohnya mesejnya ialah anggota PKR menolak Anwar Ibrahim.

"Kalau kalah..jadi sebab itu Nurul Izzah mesti menang. Dia mesti menang sebab kalau kalah itu, kita akan masuk pilihan raya dalam keadaan yang kita tak boleh gambarkan berdepan pembangkang dan polemik politik dalam dan luar kerajaan.

"Kerana orang akan kata, Nurul Izzah kalah bermakna Anwar ditolak parti sendiri, jadi akhirnya apa pilihan saudara saudari ada?” katanya.

Ceramah di Kedah itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah kempen Rafizi yang dinamakan Jelajah Hiruk.

Menteri Ekonomi itu kini mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan akan menentang Nurul Izzah dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan pada 23 Mei ini.

Nurul Izzah kini menyandang jawatan Naib Presiden PKR, yang diberikan kepadanya melalui lantikan pada tahun 2022.

Dalam pada itu Rafizi berkata dia tidak mahu melihat PKR melalui pelbagai konflik dalam pemilihan parti, yang akhirnya akan menyebabkan parti itu tewas teruk dalam pilihan raya umum.

Rafizi turut menyalahkan sesetengah pemimpin parti itu kerana mendesak Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua itu, dengan mengatakan mereka telah mencetuskan masalah dalam parti.

‘Ada yang lebih sudu dari kuah’

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, situasi ini timbul akibat pihak tertentu dalam parti yang mahu menyingkirkan ketua-ketua cabang yang cenderung menyokongnya.

"Parti tenang, keadaan dia tak ada isu, hanya kerana dalam pemilihan 2022 banyak ketua-ketua cabang yang menang di bawah ini menyokong gagasan Ayuh Malaysia yang saya bawa.

"Tiba-tiba kita jadi kerajaan, ada yang lebih sudu dari kuah tiba-tiba kata 'kita kena tukar dia orang semua ni kerana kita kena pastikan bahawa akar umbi kita 100 peratus bersama presiden'. Benda tu tak pernah timbul pun.

"Presiden pun dah kata, kalau di MPP (Majlis Pimpinan Pusat) dan dalam biro politik, nombor satu dan nombor dua tak payah bertandinglah. Kita nak mengekalkan ketenangan ini. Benda tu semua dah tau dah,” katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan nepotisme, Rafizi meminta penyokong Nurul Izzah agar tidak memperlekeh kebijaksanaan rakyat.

"Yang penting macam mana rakyat boleh menilai dan akhirnya melekat pada kepala rakyat bila nak masuk pilihan raya.

“Cuma saya nak nasihatkan, kalau orang nak mempertahankan keputusan Izzah masuk bertanding, jangan bagi kenyataan-kenyataan yang rakyat rasa itu memandang hina kepada pandangan dia," katanya.

End©Permadu

Oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Jamaliah Mohd Salleh


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG 

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Berita setiausaha politik Ismail Sabri dijumpai bersama wang tunai RM150 juta belum dapat disahkan

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Kesian Ismail Sabri, bila dah kelihatan kantoi, semua rakan "se-projek" dari UMNO-BN-PN membisu, hilang entah ke mana

The 5 ringgit corruption in Johor Bahru Immigration Department?

Antara yang pernah dikejarkan ke hospital