Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memberi amaran akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah, agensi berita rasmi negara, Bernama melaporkan.
Banduan dan mereka yang dihukum mahkamah, mencemar nama baik Malaysia, gelaran mereka akan ditarik balik
Baginda bertitah, setiap penerima yang sudah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terbabit dalam kegiatan rasuah serta sebarang kesalahan jenayah.
"Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan dihukum oleh mahkamah, maka segala darjah dan pingat kebesaran akan ditarik balik.
"Sehubungan itu, saya sudah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan yang ada darjah kebesaran, maka ia akan ditarik balik. Hal ini hanyalah untuk darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri lain saya tidak masuk campur," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Turut berangkat pada istiadat berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Baginda bertitah, setiap tahun banyak pihak menaruh harapan dan berusaha mendapatkan darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, malah ada juga yang terpedaya dan ditipu ejen yang mengambil kesempatan.
Sultan Ibrahim turut mendedahkan, ada juga yang melobi dengan baginda sendiri untuk mendapatkan darjah yang membawa gelaran Tan Sri atau Datuk, namun perkara itu tidak dilayan sama sekali.
"Saya ingin nyatakan setiap pencalonan yang dibawa kerajaan akan saya teliti satu persatu dan pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak, yang berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat dan negara," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda hanya berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan kepada 116 penerima saja pada tahun ini.
Terdahulu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024. Beliau dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment