Bekas menantu bekas PM diisytihar bankrap
Menurut keterangan pemiutang sebelum ini, beliau diberi pinjaman yang banyak dengan agak mudah, mengambil kira kedudukannya sebagai menantu perdana menteri ketika itu
![]() |
Datuk Jovian Mandagie, bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob |
Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie hari ini diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) di Kuala Lumpur kerana gagal membayar pinjaman persahabatan (friendly loan) daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan, semuanya berjumlah RM5.28 juta.
Menurut Berita Harian, keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar Encik Muhammad Faisal Zulkifli pada prosiding hari ini selepas membenarkan petisyen pemiutang dikemukakan syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang difailkan pada 20 November tahun lalu.
Menurut petisyen itu, Jovian yang juga bekas menantu bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku penghutang penghakiman, dalam masa enam bulan sebelum tarikh petisyen berkenaan, telah melakukan perbuatan kebankrapan, iaitu gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei tahun lalu.
Ia menyatakan Jovian berhutang kepada Cekap Air RM 5,284,340.66 termasuk faedah setakat 21 Mei tahun lalu, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.
Peguam Puan Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat berkenaan, berkata pihaknya memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan yang difailkan oleh pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.
Siti Nur Athirazatti berkata, selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, pihaknya kemudian memfailkan Petisyen Pemiutang, yang dibenarkan mahkamah hari ini.
"Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah," katanya.
Pada 2 April tahun lalu, Jovian diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu.
Pada 16 Mei 2023, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Encik Yong Zhen Wei.
Cekap Air mendakwa, ia meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.
Menurut Cekap Air, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang itu atas arahan defendan.
Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama akan didengar 15 September ini.
Sumber berita dari akhbar Berita Harian
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment