Adakah Tengku Maimun cuba bermain politik, bercakap bercanggah dengan perlembagaan?
KERANA ANWAR DAN TENGKU MAIMUN, SEMUA PIHAK SEDANG BERPOLITIK ATAS NAMA MEMPERTAHANKAN SISTEM KEHAKIMAN NEGARA
Artikel ini adalah lanjutan dari artikel terdahulu berkaitan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang tidak dilanjutkan tempoh enam bulan lagi perkhidmatan pada usia 66 tahun baru-baru ini.
Sebagai blog yang berpegang kepada prinsip Berani-Bebas-Berkecuali, kami melihat isu ini secara objektif tanpa menyokong mana-mana pihak.
Sama ada sengaja atau tidak sengaja, Tengku Maimun telah terjebak ke dalam kancah politik apabila membuat kenyataan berunsur politik kepada media sebelum ini di Malta bahawa beliau melihat perdana menteri tidak sepatutnya terlibat dalam pelantikan hakim-hakim kanan dan tertinggi khususnya.
Alasan yang diberikan ialah demi kebebasan sistem dan amalan keadilan kehakiman di negara ini.
Saya merasa hairan, sebagai seorang yang sangat dihormati dan teramat pakar dalam hal keadilan dan undang-undang, Tengku Maimun boleh tersasar dalam mengeluarkan kenyataan yang kurang profesional.
Ini kerana penglibatan perdana menteri menasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim sudah termaktub di dalam Perlembagaan.
Agong pula akan berbincang dengan Raja-Raja Melayu sebelum keputusan muktamad dilakukan, di mana lazimnya berdasarkan nasihat perdana menteri. Malah ada pakar perundangan dan perlembagaan yang ekstrim mentafsirkan nasihat perdana menteri hendaklah didengari.
Selalunya juga, pakar ekstrim ini akan menekankan perkara tersebut selagi ianya selari dengan kepentingan mereka dan pihak yang mereka sokong. Berpolitik jugalah namanya.
Semua pihak yang memperkatakan mengenai isu pelantikan hakim sebenarnya sedang berpolitik. Anwar dan semua ahli politik memang kerja mereka berpolitik. Yang bukan ahli politik seperti Majlis Peguam, Bersih dan badan-badan lain, individu-individu juga sedang berpolitik.
Saya juga terkejut apabila membaca apabila seorang tokoh perundangan yang terlalu hebat, Datuk Ambiga menyokong bulat-bulat kenyataan Tengku Maimun sambil saya percaya kurang membuat pertimbangan teliti. Nampaknya, Ambiga juga berpolitik.
Begitu juga seorang lagi, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Puan Latheefa Koya yang menyanggah kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz berkaitan kritikannya terhadap Tengku Maimun.
Kita perlu orang yang jujur menyuarakan pandangan ikhlas dan tidak memihak. Kita tahu Latheefa adalah penyokong tegar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Apa sahaja yang tidak kena dengan Anwar dia akan seorang habis-habisan. Tetapi apabila ada seseorang berwajah mirip Azmin berbogel dalam selimut dalam rakaman video, dia diam.
Begitulah kebanyakan orang politik atau dipengaruhi politik. Hanya menyerang sepihak. Bukan Latheefa seorang sahaja begitu. Hampir semua begitu.
Rakyat akan memandang dan menilai.
Yang nampak masuk akal dan rasional ialah kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam. Seperti laporan media, beliau menggesa Anwar direhatkan senentara atau bercuti, seterusnya perdana menteri interim dilantik. Maknanya, dia tidak mempertikaikan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim. Tetapi beliau mahu Anwar atas kapasiti individu, bukan kapasiti perdana menteri, yang mempunyai isu undang-undang tidak terlibat.
Tidak salah sesiapa sahaja untuk bersikap prejudis dan bimbang.
Kita faham bahawa hampir semua orang berniat baik dalam menyuarakan kebimbangan seorang perdana menteri atas kapasiti individu berdepan saman sivil, khususnya kes saman gangguan seksual Encik Yusoff Rawther terhadap Anwar.
Berdasarkan semakan saya, Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC) juga tidak terdapat di dalam Perlembagaan, walaupun kewujudannya baik dan tidak bertentangan dalam mempermudahkan formaliti proses pelantikan.
Tanpa disedari, jika benar Tengku Maimun berkata demikian di Malta baru-baru ini, beliau secara sengaja atau tidak, telah menyuarakan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan negara.
Saya tidak pasti sama ada dengan berkata demikian, Tengku Maimun telah menghina perlembagaan. Yang pasti, suka atau tidak, kenyataannya berunsur politik dan kelihatan personal terhadap Anwar, tanpa menyebut nama Anwar.
Adakah Tengku Maimun tidak bersetuju apabila Tun Dr Mahathir selaku perdana menteri ketika itu, terlibat dalam pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 2018?
Saya mencadangkan Tengku Maimun yang sudahpun bersara, menceburi bidang politik jika ingin bermain politik. Pilihlah mana-mana parti politik yang ada.
Mana tahu, di suatu hari nanti, beliau mencipta sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Malaysia. Tiada siapa dapat menafikan beliau berwibawa untuk memegang jawatan itu.
Maka bolehlah beliau berusaha di Parlimen untuk memansuhkan akta tertentu dalam Perlembagaan supaya perdana menteri tidak terlibat dalam pelantikan hakim-hakim.
Pada waktu itu, adakah beliau selaku perdana menteri akan bersetuju dirinya tidak dibenarkan terlibat dalam menasihat Agong untuk pelantikan para hakim?
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment