Zainal Abidin Hassan hampir menangis
Ketiadaan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/2026 satu keputusan menyedihkan, kata bekas jurulatih Pahang Datuk Zainal Abidin Hassan yang kelihatan hampir menangis.
Menurut laporan agensi berita rasmi negara Bernama, Zainal yang juga legenda skuad Tok Gajah mengakui terkesan dengan perkembangan tersebut, memandangkan Sri Pahang memiliki sejarah panjang dalam arena bola sepak tanah air, termasuk pernah menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA, selain menjadi lubuk lahirnya ramai pemain kebangsaan.
"Ini satu keputusan yang sedih… walau bagaimanapun, kita perlu menghormatinya. Namun, ini satu kerugian besar.
"Kerugian besar bukan sahaja kepada bola sepak negara dan liga, malah kepada Pahang sendiri. Saya harap isu ini dapat dipulihkan dan Sri Pahang akan kembali bersaing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Klinik Bola Sepak Akademi WRA di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di ibu negara, hari ini.
Dalam masa sama, ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berpandangan bahawa pembangunan bakat muda di Pahang tidak akan terjejas dengan keputusan tersebut.
"Bagi saya, apa yang tiada hanyalah pasukan utama. Pasukan remaja masih aktif dan terus beraksi. Ini adalah perkembangan yang baik.
"Saya harap pemain-pemain muda tidak berputus asa dan terus bekerja keras untuk mengembalikan semula imej Sri Pahang sehingga pasukan ini kembali ke liga utama," kata Zainal yang pernah memenangi Piala Malaysia 1983 dan 1992 bersama Pahang sebagai pemain.
Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan Sri Pahang yang mendapat Lesen Kebangsaan 2025-2026 membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Liga-M dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun 2025.
Pengumuman MFL itu sekali gus merungkai teka-teki mengenai penyertaan kelab berkenaan selepas pelbagai spekulasi timbul sejak penghujung saingan musim lepas.
Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tempat kelapan dengan meraih 29 mata.
Kali terakhir Sri Pahang memenangi kejuaraan adalah Piala FA 2018.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment