Syed Saddiq tak ambil satu sen pun, semua disalur kepada penduduk Muar, Bella beritahu Berita Harian
"Paling ketara apabila dia tidak ambil bayaran untuk kerja kempen dijayakan. Sebaliknya, Syed Saddiq meminta pihak berkenaan menyalurkan bayaran hasil kerjanya ke dalam akaun yang dikhususkan untuk kebajikan penduduk Muar.
Sambil mengulas lagu di dalam album terbaru penyanyi berstatus janda anak dua ini, akhbar Bahasa Melayu Berita Harian sempat mendapatkan pandangan penyanyi itu tentang personaliti tokoh politik muda yang begitu romantis mendanpinginya.
Akhbar itu memulakan cerita mengulas lagu dalam album:
Meneliti setiap baris lirik single terbaharu Lebih Indah Berpisah dendangan Bella Astillah bagai pawagam yang memutarkan kembali kisah lara yang pernah menimpa penyanyi dan pelakonan ini, hampir setahun lalu.
Ingatan kembali menerpa kepada hikayat ternoktahnya ikatan cinta apabila Bella dan bekas suami, Aliff Aziz sah bercerai untuk kali kedua.
Bahkan, dendangan itu umpama menceritakan semula gelodak jiwa yang dilalui wanita ini sepanjang memegang status isteri.
Antara intipati lirik lagu ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda itu adalah kisah mengenai kekecewaan wanita yang memilih untuk berpisah disebabkan tidak tahan dicurangi.
Biarpun kisah pahit sudah menjadi sejarah, namun, kemunculan single Lebih Indah Berpisah ibarat mengundang spekulasi nakal yang Bella masih menyimpan amarah atas apa yang berlaku.
Menerima kecaman netizen, Bella atau nama sebenar, Dayang Nur Nabella Awang Astillah, 32, bagaimanapun menafikan single Lebih Indah Berpisah menandakan dirinya masih belum mampu melupakan kisah silam.
"Memang ramai anggap saya masih belum mampu 'move on'. Itu tidak benar, lagu ini sebenarnya sudah lama dicipta, namun, disebabkan kekangan masa, proses rakaman terpaksa ditangguhkan.
"Lagipun, lagu berkonsep galau ini sudah menjadi aliran terkini. Saya tak pernah bercerita dengan Ade mengenai apa yang berlaku dalam kehidupan saya sebelum ini.
"Mungkin Ade dapat tahu dari sumber lain seperti media sosial dan peminat," katanya kepada BH Online.
Biarpun menafikan masih hidup dengan bayangan silam, namun, Bella akur perasaan sedih sukar disembunyikan terutama ketika mula mendapat lagu Lebih Indah Berpisah yang berbaur melankolik itu.
"Ketika mula menyanyikan lagu ini di studio sebelum proses rakaman dibuat, timbul rasa sedih. Ketika rakaman, saya bayangkan apa yang berlaku disebabkan takdir. Namun, apa yang berlalu, biarkan berlalu.
"Sedih memang sedih, namun dalam masa sama, sesuai dengan liriknya yang berunsur positif. Saya nyanyikan lagu ini dengan semangat dan perasaan tabah serta kecekalan seorang wanita dalam mengharungi ujian.
"Apa yang berlaku dijadikan pengajaran. Semoga yang berlalu ini menjadi kekuatan pada masa akan datang. Saya mahu berkongsi rasa yang sama dengan wanita senasib. Lagipun, tidak semua perpisahan membawa keburukan," katanya.
Jika dalam nyanyian, pelakon drama rantaian Adakah Engkau Menunggu itu seperti sedang menjeruk rasa, namun dalam kehidupan realiti, Bella akui sedang mengulit bahagia.
Seakan tahu maksud soalan mengenai bahagia diajukan, ibu kepada sepasang cahaya mata itu berkata, perasaan itu hadir disebabkan insan tercinta yang berada di sisinya.
"Alhamdulillah, kebahagiaan yang saya nikmati mungkin atas sokongan daripada keluarga, peminat dan rakan-rakan hingga membuatkan saya berjaya melepasi fasa kesedihan dialami sebelum ini.
"Semoga Allah kekalkan perasaan bahagia ini sampai bila-bila, insya-Allah," luahnya.
Beralih kepada kisah hubungannya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, atau dirujuk netizen sebagai SS dan gandingan mereka sebagai BASS (iaitu Bella Astillah dan Syed Saddiq), Bella berkata, tiada perkara menarik yang boleh dikongsikan kepada khalayak.
Bahkan, menurut Bella, Syed Saddiq memberitahu dirinya tidak biasa dengan perhatian diberi, apatah lagi, membabitkan soal peribadi hingga menjadi bahan bualan dalam media sosial.
"Kalau boleh dia tidak mahu kisah peribadi menenggelamkan kisah usahanya membantu penduduk di Muar. Dia tak mahu kerjaya politiknya dibayangi dengan cerita tidak sepatutnya," jelas Bella.
Sering mendapat pujian daripada jejaka berkenaan, kini giliran Bella menyatakan pandangannya terhadap sisi peribadi Syed Saddiq.
Menjawab pertanyaan diajukan, pelakon asal Sandakan, Sabah itu mengakui, Syed Saddiq jejaka budiman dan bukan mementingkan diri sendiri.
"Paling ketara apabila dia tidak ambil bayaran untuk kerja kempen dijayakan. Sebaliknya, Syed Saddiq meminta pihak berkenaan menyalurkan bayaran hasil kerjanya ke dalam akaun yang dikhususkan untuk kebajikan penduduk Muar.
"Melihat apa yang dilakukannya, saya sifatkan Syed Saddiq sebagai insan berdedikasi dan nampak semangat cintakan negara.
"Dia insan yang baik. Selalunya kalau dapat bayaran, kita akan ambil sebahagian dan baki digunakan untuk tujuan kebajikan. Sebaliknya, dia serah semua bayaran untuk tujuan kebajikan... Tak ambil sesen pun," katanya.
Tajuk asal adalah Lebih Baik Berpisah, namun, disebabkan imgin menjadikan lagu lebih positif dan tidak semua perpisahan membawa keburukan, judul ditukar menjadi Lebih Indah Berpisah.
Kunjungi blog Permadu Malaysia di permadumalaysia.blogspot.com
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment