Hassan Karim tukar pendirian — serta merta jadi neutral
Malaysiakini melaporkan semalam bahawa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim mengakui bahawa beliau berada dalam dilema yakni serba salah apabila menyatakan sokongan terhadap Puan Nurul Izzah Anwar sebagai calon timbalan presiden PKR.
Ini, katanya, memandangkan kedua-dua calon utama jawatan itu – termasuk penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli – mempunyai kredibiliti dan sumbangan besar kepada parti.
Meskipun menyuarakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah, Hassan menegaskan ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya mencerminkan proses pemilihan yang sihat dan demokratik dalam parti.
“Saya dengan tegas menyatakan tidak! Usaha untuk ketengahkan Nurul Izzah dan menjadi calon, bukan satu usaha yang terancang nak jatuhkan sesiapa. Tidak!
“Tak baik macam itu sebab pertandingan ini sihat,” katanya dalam wawancara khas bersama bahagian audio visual portal itu, Kinitv, semalam.
'Burung terbang, jangan dipipiskan lada'
Menurut Hassan, sokongannya terhadap anak sulung Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah berdasarkan keyakinan terhadap potensi masa depan beliau – bukan sahaja untuk memimpin parti, tetapi juga berperanan dalam landskap kepimpinan negara pasca-Anwar.
“Saya melihat daripada persepsi saya sendiri, ini satu langkah yang ada visi masa hadapan. Bukan hanya pada parti tetapi juga negara.
“Tapi kita ingat bidalan Melayu, burung terbang jangan dipipiskan lada. Maksudnya kena bersikap rendah hati dan bersaing secara sihat dulu. Satu demi satu langkah,” katanya.
Hassan turut menyeru agar mana-mana penyokong Nurul Izzah tidak terbawa-bawa dengan cita-cita yang terlalu jauh, dan sebaliknya fokus kepada matlamat jangka pendek — iaitu memenangi jawatan timbalan presiden terlebih dahulu.
Pemimpin penyatu, bukan pemecah
Dalam membincangkan peranan Nurul Izzah dalam memperkukuhkan PKR, Hassan menggambarkan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai tokoh yang disenangi pelbagai kelompok dalam parti, termasuk dari kalangan penyokong Rafizi.
“Beliau disenangi bukan sahaja oleh penyokong reformasi sejak dulu, tetapi juga penyokong Rafizi. Sebab dulu mereka bersama dalam Ayuh Malaysia.
“Nurul Izzah bukan pemimpin yang memecahbelahkan parti, tetapi boleh menyatukan,” katanya sambil menekankan nilai perpaduan dalam parti itu harus dipelihara menjelang pemilihan akan datang.
Contoh sejarah Islam
Dalam wawancara itu juga, Hassan memetik contoh sejarah Islam untuk menggambarkan amalan pemilihan sebagai tradisi yang matang dan beretika.
“Dalam sejarah Islam sendiri, apabila Nabi Muhammad SAW wafat, para sahabat memilih Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama melalui proses musyawarah dan pemilihan.
“Jadi tidak salah kita amalkan demokrasi sihat, walaupun kita tahu presiden (Anwar) tidak dicabar,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia lebih cenderung kepada Nurul Izzah atau Rafizi, ini jawapan Hassan.
“Dua-dua bagus. Mungkin penilaian saya subjektif. Rafizi banyak bantu saya dalam politik, saya kenang sampai mati.
“Tapi saya juga melihat Nurul Izzah ada kualiti tersendiri yang membolehkan beliau ke depan,” katanya.
Peralihan kepimpinan
Pemilihan PKR kali ini menjadi tumpuan kerana ia berlaku dalam suasana di mana banyak pihak menjangkakan fasa peralihan kuasa bakal berlaku dalam parti, memandangkan usia dan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri kini memasuki tahun ketiga pentadbirannya.
Sebelum ini, beberapa cabang dan tokoh akar umbi telah menyatakan sokongan awal kepada Nurul Izzah, meskipun Rafizi masih kekal sebagai penyandang yang berpengaruh dan memainkan peranan penting dalam kemenangan PH dalam PRU15.
Pemilihan PKR akan diadakan di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment