Tumpuan kepada keanehan cara polis buka kereta Yusoff Rawther yang berkunci, tak boleh buka guna remote
'Bagaimana dibuka secara manual kalau tiada lubang kunci?'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April 2025 menyaksikan kereta Nissan Teana milik Encik Muhammed Yusoff Rawther - bekas staf Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berdepan tuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata - menjadi fokus perbicaraan, dengan salah seorang anggota polis melakonkan semula serbuan pada September tahun lalu.
Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan liputan media di kawasan perkarangan semasa kenderaan itu diperiksa dengan kehadiran Yusoff, setelah mendengar hujah kedua-dua pihak peguam bela dan pendakwaan.
Saksi pendakwaan, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, yang mengetuai serbuan tersebut, menunjukkan bagaimana dia meminta Yusoff membuka pintu pemandu, di mana ia tidak dapat dibuka melalui remote.
Sebelum ini dalam keterangannya sebagai saksi pertama, Encik Wan Muhammad berkata Yusoff membuka pintu kenderaan secara manual menggunakan anak kunci dari bahagian depan penumpang, dan kemudian diminta membuka pintu pemandu dari dalam.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati Nissan Teana milik Yusoff itu tidak mempunyai lubang kunci di pintu bahagian penumpang depan.
Menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan, salah seorang peguam Yusoff, Wan Muhamad bersetuju dengan beberapa kemungkinan lain yang dicadangkan.
![]() |
Peguambea Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Encik Rafique Rashid |
Takiyuddin: Inspektor setuju memang mustahil untuk gunakan kunci manual di bahagian penumpang?
Wan Muhammad: Secara direct saya setuju tiada akses.
Takiyuddin: Maknanya keterangan kamu pada hari pertama memang salah dan tidak betul dan merupakan satu penipuan?
Wan Muhammad: Saya tak setuju.
Ketika menjawab soalan peguam pendakwa, Wan Muhammad turut bersetuju bahawa dalam keadaan biasa, sesebuah kereta boleh dibuka secara paksa oleh sesiapa.
Bercakap kepada pemberita, Takiyuddin berkata keterangan Wan Muhammad menimbulkan keraguan.
"Apabila ditanya kemungkinan ada orang lain buka pintu, atau pintu dibuka secara paksa, atau Yusoff bukanlah orang yang membuka itu, saksi (Wan Muhammad) bersetuju dengan kemungkinan-kemungkinan tersebut.
"Bagi kita, keterangan amat meragukan kepada kes pendakwaan dan ia memberikan 'benefit of the doubt' kepada pembelaan," kata Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu.
Antara kemungkinan yang ditimbulkan ialah pintu penumpang depan tidak boleh dibuka secara manual, pintu dibuka secara paksam dan pintu dibuka oleh anggota polis yang bersama Yusoff dan bukannya oleh Yusoff sendiri.
Peguam Rafique Rashid turut percaya keterangan tersebut menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.
"Sehingga hari ini semua pihak masih belum faham macam mana kereta diakses," katanya.
Kereta bernombor plat PMH 6931 milik Yusoff itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi selepas serbuan pada pagi 6 September tahun lepas.
Yusoff berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api berdasarkan dakwaan polis bahawa ganja seberat 300.1g dan dua pucuk pistol tiruan ditemui dalam kenderaannya.
Yusoff menafikan sekeras-kerasnya barangan tersebut miliknya, sebaliknya berkata dia merupakan mangsa "orang berkuasa" disebabkan aduannya mengenai serangan seks melibatkan Anwar.
Kes itu mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara Yusoff diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis.
Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar, yang bakal dibicarakan pada 16 Jun ini.
Sebelum ini, keluarga Yusoff yang menceritakan hari kejadian itu berkata, polis meminta Yusoff membuka pintu keretanya tetapi ia tidak dapat dibuka menggunakan remote.
"Kemudian salah seorang daripada mereka mengarahkan Yusoff membuka pintu kereta secara manual tetapi masih tidak dapat dibuka,” kata ibu saudara Yusoff, Fathima Idris, yang juga anak kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris.
Yusoff dan keluarganya telah membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat, termasuk Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik Anwar.
Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat banglo di Petaling Jaya pada 2018.
Tidak lama selepas itu, dia membuat laporan polis mendakwa presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar.
Dimuat naik dari portal berita MalaysiaNow, siaran bertarikh 9 April 2025.
End©Permadu
Dimuat naik oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment