Siti kata menyanyi percuma, Jamal mengaku terima sedikit sagu hati
Media melaporkan penyanyi berprestij Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tampil menjelaskan beliau tidak menerima sebarang bayaran daripada kerajaan bagi persembahannya semasa sambutan Hari Raya Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story yang dipetik Malaysiakini, penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh itu berkongsi klip pendek dirinya di atas pentas, bersama penjelasan terhadap laporan media yang memetik pengguna media sosial mempersoalkan kos majlis rumah terbuka bertaraf bintang anjuran kementerian tersebut.
"Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.
"Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya.
Siti menegaskan penjelasan itu penting bagi menghentikan sebarang penyebaran berita tidak tepat yang mengaitkan namanya.
Pantang dituduh, Siti terus jawab FITNAH
"Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam.
“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran, saya datang sebagai tetamu dan saya menyanyi dengan rela hati.
"Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama/gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” katanya.
Penyanyi berkenaan yang telah memenangi pelbagai anugerah terkenal dengan sumbangannya dalam industri muzik tanah air dan sering diundang ke acara rasmi kerajaan dan swasta.
Netizen persoal perbelanjaan majlis
Terdahulu, ruangan komen di Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjadi sasaran kritikan netizen termasuk individu yang dipercayai petugas kesihatan sendiri.
Kebanyakan mereka mempersoalkan perbelanjaan untuk hiburan pegawai kementerian, sedangkan kakitangan kesihatan bergelut dengan kesan sekatan bajet.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan Dzulkefly, Siti Nurhaliza dilihat membuat persembahan bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, bagi memeriahkan majlis yang berlangsung di Putrajaya itu.
Laporan media sebelum ini menyatakan Jamal bersetuju menyanyi pada majlis tersebut selepas menerima jemputan daripada Ketua Setiausaha KKM, yang menurutnya seorang kenalan.
Jamal turut mengaku dia menerima “sagu hati kecil” sebagai tanda penghargaan.
Selain persembahan vokal, turut kelihatan penari latar yang mengiringi persembahan kedua-dua artis terkenal berkenaan di pentas.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment