Sebaiknya, tangkap dan soal siasat Menteri Pendidikan
Tunggu apa lagi
Sekali pandang, portal lantang Malaysiakini kelihatan seperti hendak melaga-lagakan dua tokoh yang sering menyalahkan orang Melayu yang tidak sentiasa betul seperti mereka dengan satu pihak lagi iaitu pemimpin kerajaan perpaduan melalui seorang menteri wanita Pakatan Harapan (PKR) yang cuai dalam konteks penampilan bendera Malaysia.
Bagaimanapun, kalau tidak dilaga sekalipun, mereka memang sudah dan sedang berlaga.
Lebih mendalam daripada itu, isu ini menguji adakah kerajaan Madani dan pihak berkuasa akan mengamalkan tindakan konsisten atau double standard terhadap dua pihak berlainan bangsa.
Satu kes melibatkan orang Cina, manakala satu kes lagi terkena batang hidung sendiri melibatkan orang Melayu.
Permadu Malaysia berpandangan bahawa apa yang telah dilakukan kepada editor Sin Chew, itu jugalah yang harus dilakukan terhadap Menteri Pendidikan Melayu dan konco-konconya.
Ini kerana duluan sudah terjadi.
Sebaiknya, tangkaplah menteri Pendidikan, seterusnya menyoal siasat beliau. Jika tidak, nampak sangat kerajaan dan pihak berkuasa memilih-milih dan bertindak tidak bermotifkan keadilan.
Seperkara lagi, adakah Kelab Veteran UMNO akan menghalau Fadhlina dari bumi Malaysia?
Portal lantang melaporkan Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan jika Menteri Pendidikan Puan Fadhlina Sidek akan berdepan tindakan polis berhubung kesilapan Jalur Gemilang yang terbaharu manakala ahli akademik Prof Dr Tajuddin Mohd Rasdi berharap, dia tidak akan menghadapi nasib sama yang menimpa pengarang Sin Chew Daily.
"Kepala siapa yang akan jadi sasaran kali ini? Saya pasti ada kumpulan tertentu akan dakwa bahawa permohonan maaf tidak mencukupi," kata bekas menteri undang-undang itu, dipercayai berunsur sindiran.
"Jadi, adakah menteri itu akan ditangkap? Adakah pegawai tertinggi kementerian akan digantung kerja?" kata Zaid kepada portal lantang lagi berani itu.
Zaid membuat perbandingan dengan insiden yang melibatkan Sin Chew, ketika menyiarkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit. Kesilapan itu mencetuskan beberapa laporan polis dibuat di seluruh negara sehingga menyebabkan dua kakitangan editorial kanan ditahan untuk disoal siasat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menekankan betapa seriusnya kesilapan itu tetapi mengingatkan semua pihak agar tidak bertindak balas berlebihan.
Zaid turut membuat kenyataan sinis sebagai respons terhadap arahan Kementerian Pendidikan supaya pelajar memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam, dengan mendakwa ini akan memperkukuhkan kebanggaan negara dan memupuk semangat patriotisme.
Dia seterusnya mencadangkan agar lencana itu juga perlu dipakai oleh Fadhlina dan kakitangan kementeriannya.
"Ini mungkin membantu mereka mengingati rupa sebenarnya Jalur Gemilang, dan mengelakkan kesilapan masa depan," katanya sinis.
Sementara itu, Tajuddin Rasdi yang sebelum ini mengkritik tindakan yang diambil terhadap akbar Sin Chew Daily, berkata dia berharap menteri itu tidak akan ditimpa nasib yang sama.
"Saya harap menteri itu sendiri tidak akan ditangkap seperti editor Sin Chew. Atau adakah ini akan menjadi isu 'Melayu lawan Cina' - dengan kementerian mewakili satu kumpulan dan Sin Chew yang lain?
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita harus menjadi lebih matang dan belajar menerima kepincangan manusia.
“Melainkan, sudah tentu, kita seperti ahli politik veteran tertentu yang sudah berada di puncak pengetahuan dan mereka ini tidak lagi boleh belajar," katanya.
Walaupun Tajuddin tidak menyebut sebarang nama, kenyataannya dipercayai ditujukan kepada beberapa veteran UMNO dan Perkasa, yang sebelum ini menuntut profesor seni bina itu melepaskan kerakyatannya.
Ia susulan tindak balas kepada artikel Tajuddin di portal Malaysiakini, yang meluahkan perasaan malu menjadi rakyat Malaysia berikutan penahanan editor Sin Chew.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memohon maaf berhubung silap kesilapan bendera negara semasa pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.
Gambar yang dipaparkan menunjukkan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang yang mempunyai dua bintang dan bukannya satu yang tergantung di dinding.
Bendera itu juga mempunyai lapan jalur merah dan putih dan bukannya 14.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment