Kerajaan Pahang dikritik lagi bertindak tebang pokok durian di Raub
Persatuan Pengguna Islam kesal kerajaan negeri Pahang bertindak tebang pokok durian Musang King di Raub
Pihak berkuasa yang dikawal kerajaan negeri Pahang dikritik lagi berkaitan tindakan "ganas tak bertempat" menebang dan memusnahkan lebih kurang seribu batang pokok durian Musang King yang sudah berbuah dan berhasil di Raub atas alasan meneroka secara haram di tanah milik kerajaan.
Sebelum ini, penulis blog terkenal OutSyed The Box, Tuan Syed Akbar Ali, hanya menulis tajuk BODOH DAN KEJAM, KEJAM DAN BODOH sebagai mengulas sebuah video berjodol POKOK TAK BERSALAH.
Sebelum ini juga, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin di Facebook mempersoalkan kejujuran dan kecekapan pihak berkuasa di negeri itu tidak menyedari tanah kerajaan diteroka secara haram sejak 40 tahun yang lalu.
"Tidak masuk akal," katanya, seperti dipetik Malaysiakini.
Mungkin menyindir, tanpa menyebut nama, Kadir turut menyatakan ada orang lebih berkuasa mengatasi undang-undang, "berahi" terhadap kebun durian yang sudah berbuah itu.
Mungkin ada juga orang cuba meneka siapakah gerangan orang itu yang Kadir maksudkan.
Terbaharu, akhbar Kosmo Online melaporkan Persatuan Pengguna Islam (PPIM) berpendapat terdapat penyelesaian lebih baik berbanding tindakan pihak autoriti menebang kira-kira 1,000 pokok durian Musang King di Sungai Ruan, Raub.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak autoriti sepatutnya mencari penyelesaian terbaik dengan melihat secara keseluruhan agar dapat memanfaatkan semua pihak.
“Memang kita kena ikut undang-undang, kalau kita tak patuh dengan undang-undang, kita akan hidup dalam kesukaran.
"Contoh isu tebang pokok, kenapa hasil tu tidak diberi kepada orang ramai?
“Bagi saya, menebang pokok bukanlah jalan terbaik. Contoh kalau kita bela lembu di tanah kerajaan dan didapati salah, tiada sebab kita nak bunuh lembu-lembu tu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Muka Depan Akhbar PPIM, di Kuala Lumpur, pada Selasa, 15 April 2025.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Terdahulu, operasi penguatkuasaan bagi menebang pokok durian Musang King di Sungai Ruan di Raub akan melibatkan kawasan seluas kira-kira 202.3 hektar (500 ekar) yang merupakan tanah milik kerajaan negeri.
Difahamkan sehingga kelmarin kira-kira 1,000 pokok durian musang king telah ditebang dan dimusnahkan sejak bermula operasi beberapa hari sebelumnya.
Pihak berkuasa di Pahang juga sebelum ini pernah dilaporkan bertindak memusnahkan kebun sayur haram di Cameron Highlands pada ketika harga sayur melambung di pasaran akibat kekurangan bekalan.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment