Jarang berlaku, DAP, PAS bergabung pendirian, sama-sama pertahan
Kalau pemimpin PAS melawat kuil Hindu, ohh itu tidak mengapa. Tetapi jika pemimpin Islam parti lain melawat kuil, bersedialah menerima berbakul kecaman!
Dalam satu perkembangan yang jarang berlaku dari pandangan sebuah portal lantang pro-Pakatan Harapan, pemimpin PAS dan DAP tampil senada mempertahankan lawatan Adun Semenyih, Encik Nushi Mahfodz ke sebuah kuil Hindu baru-baru ini yang mencetuskan reaksi pelbagai di media sosial.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Puan Nurul Islam Mohamed Yusoff serta-merta meng-adjust dengan hujah kehadiran Nushi ke kuil tersebut atas dasar kunjungan muhibah dan tidak melibatkan sebarang penyertaan dalam ritual keagamaan.
"Bila YB Nushi menziarahi kuil tersebut sebagai balasan selepas mereka hadir ifthar anjuran YB. Kalau tengok dalam gambar pun, YB tidak terlibat dengan sebarang upacara keagamaan. YB hanya diberikan penerangan mengenai agama Hindu.
"Perkara ni pernah berlaku juga kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Masa tu kecoh musuh politik PAS kata Tuan Guru jadi bahan sembahan orang Hindu.
"Punyalah cetek ilmu. Tapi nak buat palatao (serba tahu)," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Adun Semenyih itu sebelum ini menjelaskan lawatannya ke Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam sebahagian usaha menyantuni masyarakat Hindu tempatan.
Kunjungan itu, katanya lebih tertumpu kepada dialog bersama pengurusan kuil dan mendengar aspirasi mereka.
"Sebagai tanda penghormatan, saya dipakaikan selendang kuning cair (ponnadai) dan kalungan bunga—simbol sambutan dan persahabatan dalam budaya masyarakat India, khususnya komuniti Tamil.
"Ini bukan sebahagian daripada sebarang ritual, dan saya langsung tidak terlibat dalam apa-apa bentuk ibadah atau simbol keagamaan, seperti postur menyembah (namaskaram), pemakaian tanda di dahi, menuang susu ke dalam periuk tanah atau penyertaan dalam upacara," jelasnya pada hantaran di media sosial, seperti dipetik Malaysiakini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Encik Syahredzan Johan yang mewakili DAP menyifatkan tindakan Nushi merupakan tanggungjawab asas seorang wakil rakyat.
"Apa yang dilakukan oleh ADN Semenyih YB Nushi Mahfodz sememangnya sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat.
"Wakil rakyat harus mewakili semua kaum dan agama, bukan hanya komunitinya sahaja. Saya berharap episod ini menoktahkan polemik yang sering dimainkan khususnya oleh penyokong parti politik belah sana tentang lawatan ke rumah ibadat bukan Muslim.
"Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyantuni rakyat di rumah ibadat bukan Muslim sebelum ini telah dikecam dan dicerca oleh sesetengah penyokong parti politik pembangkang, termasuklah perdana menteri sendiri.
"Malah, saya sendiri juga pernah mengalaminya. Jangan pula bila pemimpin belah lawan buat, jadi salah, tetapi bila pemimpin anda buat, boleh pula. Mari sama-sama kita berpolitik dengan matang," tulisnya di Facebook, juga dipetik Malaysiakini.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment