Final malam ini menyaksikan JDT yang serba gah menentang Pahang berimej kampung
Suara siapa yang akan lebih kuat menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini?
Andai soalan ini dilontarkan kepada peminat bola sepak berkecuali, jawapannya harus terarah kepada kelibat juara bertahan, JDT.
Memang itulah hakikatnya pada saat ini apabila skuad Harimau Selatan itu gah melangkah memasuki gelanggang untuk berdepan dengan Sri Pahang FC dalam final Piala Malaysia bagi edisi kali ini.
Namun, kita juga faham bahawa bola itu bulat. Ungkapan tersebut memang sering dilafazkan apabila ada pasukan gergasi menentang lawan bergelar ‘underdog.'
Tiga perkataan itu pernah mengubah keadaan dan mencipta kejutan dalam kancah saingan bola sepak paling berprestij di negara ini.
Itulah magis final Piala Malaysia sejak dulu lagi apabila ada ketikanya ramalan awal ternyata meleset.
Sudah pasti babak seperti itulah yang mahu disaksikan peminat tanah air dengan penuh ghairah agar trofi kejuaraan akan berpindah tangan kali ini.
Tetapi jika JDT tampil bermain bola sepak yang sempurna seawal wisel permulaan nanti, ramai penonton mungkin pulang awal kerana mereka mengerti apakah kesudahan keputusannya.
Situasi getir itu pula mendorong penyokong setia Pahang menaruh harapan ke atas sentuhan ajaib ketua jurulatih, Fandi Ahmad. Dia nampak boleh menjadi ‘faktor penentu’ untuk berlakunya kejutan di Bukit Jalil.
Bagaimana bekas bintang Singapura itu boleh mengubah keyakinan anak didiknya pada saat tertekan seperti ini?
Hanya menghitung detik
Tidak seperti pemain lawan yang sudah merasai pengalaman beraksi dan menang di final, Pahang harus berasa cemburu. Mereka juga nampak kurang matang.
Apakah Fandi akan menggunakan strategi ampuh atau pun menggunakan pendekatan psikologi untuk mengubah semangat pemainnya agar tampil dengan wajah garang memburu gemilang?
Dia juga mungkin akan meniup semangat 2014 apabila Pahang muncul juara selepas menewaskan JDT dalam final di gelanggang yang sama.
Namun, banyak yang sudah berubah selepas sedekad lalu dengan wakil dari Johor itu melakar reputasi baru, bukan sahaja dalam liga tempatan tetapi di peringkat Asia - satu senario yang amat berlawanan dengan nasib pihak lawan.
Jadi, apakah JDT yang mahu memburu empat kejuaraan musim ini akan membiarkan sahaja lawan menghalang impian besar berkenaan?
Satu jaringan awal nanti pun sudah cukup untuk barisan bimbingan Hector Bidoglio menyentap cabaran Sri Pahang menghadapi saki-baki detik perlawanan akhir malam ini.
Tambah perit, mengikut trend permainan mereka, jika sudah sekali gawang lawan terbolos, jaringan susulan yang bakal menyusul hanya sekadar menanti masa.
Pahang harus mencari jawapan dengan daya pertahanan cukup tinggi - bukan kerap melihat saja bola di kaki lawan.
Sebenarnya, jika anda melakukan apa saja congakan untuk meramal keputusan perlawanan akhir ini, jawapannya akan tetap sama - JDT ada segala ramuan muncul juara sekali lagi.
Bagaimanakah Pahang mahu menafikan tanggapan seumpama itu?
Jika persoalan ini ditujukan kepada Fandi, penulis percaya dia akan menyebut “Tiada yang mustahil” dalam kamus bola sepaknya.
Bekas penyerang tersohor yang pernah meraih gelaran Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur pada lewat 1980-an itu mengerti apakah bekalan yang perlu ada pada setiap pemain untuk memenangi sesuatu perlawanan sukar seperti ini.
Apakah perlawanan malam nanti bukan mengenai kemampuan pemain Pahang tetapi muslihat Fandi untuk mengilhamkan sesuatu menumbangkan JDT?
Seminit boleh macam-macam
Jelas sekali dia seorang pengendali yang penuh dengan sifat yakin dan elemen ini pasti akan diterapkan ke dalam minda anak didiknya sepanjang 90 minit tempoh permainan.
Bidoglio pula difahamkan merendah diri dan berwaspada mengenai segala ancaman daripada Sri Pahang.
Dia juga tidak mahu pemainnya rasa terlalu selesa atau yakin kerana pada tanggapannya, dalam tempoh seminit, apa saja boleh berlaku di padang.
Jelas dia bersifat ikhlas dalam kata-katanya kerana bola sepak memang boleh bersifat kejam, khasnya dalam final.
Kita tunggu saja apakah drama bakal disajikan malam ini. Kita juga akan menjadi saksi siapa akan mendakap trofi berusia 58 tahun itu.
Kepada kedua-dua finalis, kita ucapkan selamat berjuang. Kepada penonton kita harap mereka terhibur dan berbaloi kehadiran mereka dengan nilai bayaran tiket masing-masing.
Adaptasi dari sebuah artikel hasil tulisan V ASHOK, bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Artikel ini disiarkan Malaysiakini hari ini, Sabtu 26 April 2025, sempena perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
End©Permadu
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment