MB kontroversi letak jawatan
Media melaporkan Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.
Menurut portal berita Malaysiakini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Pengerusi Barisan Nasional akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Zambry berkata BN berharap langkah itu membuka lembaran baru untuk memulihkan kestabilan politik dan melancarkan semula pentadbiran negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/b885c04b29c6db8980b4f3abb7384ec8.jpg)
“Sehubungan itu, BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Ismail Lasim sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Ismail, yang sudah tujuh penggal menjadi ADUN Negeri Sembilan, dilantik sebagai Menteri Besar ke-10 negeri itu pada 2 Ogos selepas gabungan BN-PN memenangi pilihan raya negeri (PRN).
ADUN Juasseh berusia 67 tahun itu dipilih sebagai menteri besar ketika krisis adat dan perlembagaan negeri tercetus.
/file/attachments/orphans/n9b12_268897.png)
Dua hari sebelum meletakkan jawatan, Ismail mengesahkan dia bersama 10 bekas exco menarik balik kandungan surat yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menerusi surat bertarikh 10 November, mereka menarik balik kandungan surat kepada Majlis Raja-Raja pada 17 September yang menyokong usaha mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pemerintah baru negeri itu.
Keputusan tersebut mengambil kira kenyataan Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz.
“Selagi dia tak tarik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya...” titah baginda ketika menegur Ismail secara terbuka di Kuala Pilah pada 16 Oktober, dalam petikan yang dipendekkan.
Bagaimanapun, ketika mengesahkan penarikan balik surat itu pada 14 November, Ismail berkata dia masih belum dapat menghadap baginda.
“Kedudukan exco tiada perbincangan lagi setakat ni,” katanya ketika ditanya mengenai kedudukan 10 bekas exco berkenaan.
Pentadbiran negeri beroperasi tanpa barisan exco selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota berkenaan berkuat kuasa 20 September atas alasan melanggar ikrar taat setia.
Ismail mempertikaikan pembatalan itu atas alasan tindakan tersebut memerlukan nasihat menteri besar, manakala 10 bekas exco mencabarnya di mahkamah.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Disember untuk mendengar permohonan berhubung persoalan undang-undang yang timbul daripada kes berkenaan.
Kemelut perlembagaan yang berlarutan kira-kira tujuh bulan itu berlaku ketika kerajaan negeri berdepan keperluan mendesak untuk meluluskan Belanjawan 2027.
Setakat 14 November, sidang DUN yang dirancang pada 26 November dan pembentangan belanjawan keesokan harinya masih tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment