Bukan UMNO dan PAS sahaja
Pengerusi Amanah Selangor Encik Izham Hashim mengingatkan orang Melayu agar tidak terpedaya dengan kempen perpaduan Melayu-Islam UMNO dan PAS yang didakwanya sekadar helah untuk meraih kuasa politik, lapor portal berita Malaysiakini . Beliau mengaitkan kritikannya terhadap UMNO dan PAS dengan kemelut melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. " Tidak ada istilah setiakawan dan perjuangan berprinsip bagi mereka. “Malah, jika raja sekalipun yang menghalang cita-cita mereka, raja dan perlembagaan pun mereka sanggup langgar. “Episod Negeri Sembilan ini jelas menunjukkan persekongkolan parti sakau dan parti pelampau dalam penderhakaan yang amat memalukan,” Malaysiakini memetik Izham sebagai berkata ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada konvensyen tahunan Amanah negeri hari ini. Izham melabelkan kedua-dua parti itu sebagai pengamal politik “Machiavellian” dan menuduh mereka memperalatkan isu kaum serta agama demi kepentingan politik. ...