Ismail Sabri persoal insurans gugur pakar daripada panel tanpa tunai
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan amalan syarikat insurans yang menggugurkan pakar perubatan daripada panel tanpa tunai mereka, sambil menggesa pengawasan lebih ketat bagi melindungi akses pesakit kepada rawatan.
Di bawah kemudahan tanpa tunai, syarikat insurans membayar terus kepada hospital bagi rawatan yang diluluskan, manakala pesakit menanggung sebarang kos yang tidak dilindungi dalam polisi mereka.
Bercakap ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, portal berita Malaysiakini melaporkan Ismail Sabri mendakwa terdapat kes pembedahan pesakit yang terpaksa dihentikan di pertengahan jalan sehingga doktor dari hospital lain terpaksa dipanggil.
"Saya dimaklumkan terdapat doktor pakar yang dikeluarkan daripada kemudahan cashless oleh syarikat insurans sehingga ada kes di mana pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa diberhentikan kerana doktor yang bertugas tidak mempunyai kemudahan cashless," katanya.
Namun, pemimpin UMNO kontroversi itu tidak menyatakan nama hospital, doktor atau syarikat insurans yang terlibat dalam kes itu.
Ismail Sabri terdahulu mempersoalkan kriteria sebenar yang digunakan syarikat insurans untuk mengeluarkan seseorang doktor pakar daripada panel, kerana ia bermakna syarikat insurans berkuasa penuh menentukan doktor yang boleh merawat pesakit.
Ahli Parlimen Berapa itu bertanya sama ada tindakan itu berdasarkan prestasi klinikal, isu etika dan profesional, kelemahan dokumentasi atau semata-mata pertimbangan komersial, dan jika atas alasan komersial, apakah jaminan doktor tidak diketepikan sewenang-wenangnya tanpa penilaian yang telus dan adil.
Menurutya, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menganggarkan sekitar 190 doktor pakar di seluruh negara telah kehilangan kemudahan tanpa tunai, satu jumlah yang disifatkannya amat membimbangkan kerana pesakit akhirnya turut terjejas dari segi akses dan kelangsungan rawatan.
"Saya meminta Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan sama ada wujud garis panduan khusus yang mewajibkan syarikat insurans memberikan alasan bertulis, bukti dan hak rayuan sebelum seseorang doktor dikeluarkan daripada panel.
"Di manakah hak pesakit yang membayar premium setiap bulan, apabila pilihan doktor mereka telah diatur oleh syarikat insurans," katanya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada prinsip Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk melindungi hak pesakit memilih doktor dipatuhi.
Ismail Sabri juga mendakwa ada syarikat insurans telah melaksanakan audit retrospektif terhadap tuntutan yang telah diluluskan.
"Saya tidak menafikan hak syarikat insurans untuk mengaudit, tetapi proses itu perlu dikawal selia untuk mengelakkan penyalahgunaan, terutama yang melibatkan akses kepada rekod perubatan pesakit yang sulit dan sensitif.
"Terdapat hospital yang diminta membayar semula tuntutan dan memberikan diskaun bagi mengelakkan tindakan penyahpanelan, sementara doktor pakar kehilangan kemudahan tanpa tunai.
"Adakah BNM mengetahui dan memantau amalan ini?" soalnya.
Pemimpin yang berasal dari Temerloh itu turut mendakwa sistem kod perubatan, borang, proses kelulusan awal dan kadar bayaran insurans tidak bergerak seiring dengan kemajuan teknologi perubatan termasuk pembedahan robotik.
"Adalah tidak wajar doktor dipersalahkan hanya kerana kekeliruan dalam pengisian borang jika sistem sendiri tidak menyediakan pilihan yang tepat," katanya sambil meminta BNM bersama Kementerian Kesihatan menetapkan protokol dan kerangka jelas bagi sekatan panel, surat jaminan dan rawatan berterusan.
Selain itu, beliau sendiri yang pernah melalui pengalaman dikejarkan ke hospital juga mencadangkan badan profesional dan industri insurans menyemak kod diagnosis serta prosedur perubatan secara berkala seiring kemajuan teknologi.
Untuk rekod, kemudahan tanpa tunai membolehkan pemegang kad perubatan insurans atau takaful layak menerima rawatan tanpa membayar bil terlebih dahulu.
Pihak hospital akan memaklumkan kemasukan, diagnosis dan rawatan yang dirancang kepada syarikat insurans atau pengendali takaful, yang kemudian mengeluarkan surat jaminan kepada hospital setelah kelayakan perlindungan disahkan.
Kemudahan ini terhad kepada hospital dan pakar perubatan yang berada dalam panel syarikat insurans. Jika pesakit dirawat oleh doktor atau hospital di luar panel, mereka perlu menjelaskan bil terlebih dahulu dan menuntut semula daripada syarikat insurans.
Pada Februari 2025, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memberi amaran beberapa hospital swasta berisiko dinyahsenarai daripada panel insurans kerana tidak memenuhi permintaan memberikan diskaun caj rawatan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/ea9e2873e5e958bb08a28c64968ad9f9.jpg)
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Dr Amir Hamzah Azizan dalam ucapan pergulungan berkata bahawa dia akan berbincang dengan BNM.
"Pengawasan industri insurans ialah di bawah BNM dan ini adalah satu inisiatif di mana BNM akan melihat tatacara yang dibuat oleh pengendali-pengendali insurans.
"Isu yang dibangkitkan akan dibincangkan dengan BNM. Tapi, yang penting juga, apa yang kita nak melihat juga ialah memastikan yang semua pemain dalam industri mematuhi peraturan yang baik, yang tidak akan meningkatkan kos inflasi perubatan kerana kalau kos inflasi perubatan naik dan semua orang kena bayar dengan lebihlah.
"Jadi, ini antara pendekatan yang memastikan juga siapa yang dibenarkan menggunakan cashless juga, mereka yang betul-betul mematuhi peraturan jugalah. Tapi, saya akan terus berbincang dengan BNM," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment