10,000 Rohingya hantar ke Turkiye: Zahid kata Kabinet dah lulus, Mat Sabu kata belum, Turkiye kata tak berasas
Ini bukan komedi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye belum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, lapor Malaysiakini semalam.
Kenyataan itu bercanggah dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 20 November yang menyatakan Jemaah Menteri sudah meluluskan cadangan berkenaan.
Mohamad berkata dia hanya mengetahui rancangan itu melalui laporan akhbar dan mahu menunggu penjelasan dalam mesyuarat kabinet akan datang.
"Saya tak ada maklumat rasmi. Hanya melalui akhbar. Saya tak mahu komenlah. Saya nak tunggu dalam mesyuarat kabinet nantilah," katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Shah Alam petang semalam.
"Tak ada, tak ada lagi," jawabnya apabila ditanya jika perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
Mohamad yang juga presiden Amanah, ditanya mengenai pendirian parti itu berhubung rancangan berkenaan.
Dalam hantaran media sosial pada 20 November, Zahid berkata Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye menerusi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.
Zahid, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, turut berkata kerajaan Turkiye bersetuju menerima pelarian berkenaan.
Bagaimanapun, hantaran itu dipadam kira-kira sejam kemudian tanpa penjelasan ketika itu.
Pada 21 November, Pusat Memerangi Maklumat Palsu (DMM) di bawah Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye menyifatkan dakwaan mengenai penempatan semula 10,000 Rohingya di negara itu sebagai "tidak berasas" menerusi hantaran di X.
Dalam penjelasan sebelum ini pada 21 November, setiausaha akhbar Zahid, Encik Shuhaimi Mohamed berkata cadangan itu masih diusahakan.
Katanya, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan dan penyelarasan dengan pihak berkaitan, manakala pengumuman lanjut akan dibuat selepas proses yang diperlukan selesai.
ICJ putuskan Myanmar lakukan genosid
Susulan pengumuman Zahid pada 20 November, perkhidmatan bahasa Turki Euronews mempersoalkan sama ada perjanjian sudah dimuktamadkan, dengan mengetengahkan beberapa persoalan yang belum terjawab, termasuk pihak yang akan membiayai program itu, lokasi latihan dan sama ada peserta dibenarkan menetap secara tetap di Turkiye.
Kenyataan Zahid dibuat sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya di utara negeri Rakhine ketika operasi ketenteraannya pada 2017.
Bagaimanapun, Myanmar dilaporkan menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak adil” dan “tidak sebulat suara”, manakala jurucakap presiden Encik Khaing Khaing Soe menegaskan operasi ketenteraan berkenaan menyasarkan pemberontak dan bukannya orang awam.
Beliau berkata kerajaan yang disokong tentera akan meneliti penghakiman itu.
Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Myanmar memberikan pampasan kepada mangsa dan mengambil langkah untuk mencegah pelanggaran lanjut.
Gambia memfailkan kes berkenaan pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) di bawah PBB.
Mahkamah Dunia itu mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual berleluasa dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment