Akhirnya Bersatu tinggal Muhyiddin-Azmin berdua, gurau pemerhati
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (gambar bawah) dilaporkan akan menghadiri sesi siasatan bersama Lembaga Disiplin Bersatu pada hari Khamis, susulan dakwaan penglibatannya dalam gerakan menggugat kedudukan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memetik laporan Astro Awani, portal berita Malaysiakini berkata Saifuddin memberitahu pertemuan itu akan berlangsung pada jam 2 petang, 6 November 2025 di Ibu Pejabat Bersatu, di Petaling Jaya.
“Pada kira-kira jam 1.52 petang Ahad, saya telah menerima notis untuk saya menghadiri sesi perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin pada 6 November jam 4.30 petang di Petaling Jaya.
"Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang,” katanya semalam.
Terdahulu, Saifuddin berkata dia sedia berdepan sebarang tindakan disiplin terhadapnya kerana mendesak Muhyiddin berundur.
Bahkan katanya, Muhyiddin juga pernah mendesak bekas presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur ketika di dalam UMNO suatu masa dahulu.
"Ini risiko yang terpaksa dihadapi, saya bersedia, sebab pada saya, saya tak buat apa-apa... meminta presiden berundur tidak menyalahi perlembagaan (Bersatu).
"Dalam Perlembagaan Malaysia hak bersuara dijamin dan Muhyiddin sendiri pernah minta Pak Lah berundur, jadi apa masalah dia," katanya lagi.
Sebelum ini, Saifuddin bersama Menteri Besar Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi PN negeri masing-masing — Pahang dan Perlis — pada 27 Oktober lalu.
Perkembangan itu berlaku di tengah siasatan dalaman Bersatu terhadap beberapa pemimpin parti yang dikaitkan dengan gerakan menentang kepimpinan Muhyiddin.
Pada minggu sebelumnya, tiga Ketua Bahagian Bersatu turut dipanggil Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serupa.
Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Encik Mohd Fadhli Ismail dipetik media tempatan berkata individu yang dipanggil termasuk Adun Sungai Tiang, Encik Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Encik Mohd Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Puchong, Encik Mohd Shukor Mustafa.
Kelmarin tular satu surat yang dihantar kepada Muhyiddin sebagai luahan rasa kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen Bersatu.
Surat yang ditandatangani 16 ahli parlimen Bersatu itu membantah tindakan Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Datuk Wan Saiful dan Encik Wan Fayhsal, serta tidak bersetuju untuk lembaga itu memanggil Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Hamzah enggan hadir prosiding Lembaga Disiplin
Untuk rekod Hamzah mengambil keputusan untuk tidak hadir ke prosiding lembaga disiplin parti.
Enam belas ahli parlimen Bersatu yang menandatangani surat berkenaan termasuk Saifuddin (Indera Mahkota); Encik Khlir Mohd Nordan (Ketereh); Encik Muhammad Islahuddin Abas (Mersing); Encik Fathul Huzir Ayob (Gerik); Encik Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Encik Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Encik Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Encik Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Encik Zakri Hassan (Kangar).
Turut menandatangani surat itu, Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Encik Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Encik Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Encik Azahari Hasan (Padang Rengas); Encik Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Encik Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
Menurut surat berkenaan, tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal adalah tidak bijak mengganggu momentum sokongan rakyat selain boleh menggugat usaha Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.


.jpg)








Comments
Post a Comment