Rafizi Mahu Tapi Malu
Berdasarkan perbualan di media sosial, Malaysiakini melaporkan semalam bahawa bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan dia tidak lagi mempunyai masa depan dalam kepimpinan parti itu.
Namun pengulas dan aktivis politik, Liyana Marzuki berkata ramai yang masih berharap Rafizi akan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, dengan merujuk kepada contoh sejarah perjalanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad mendaki tampuk kuasa.
Rafizi memberikan pandangan suram tentang masa depan politiknya sebagai reaksi kepada komen Liyana.
Dalam hantaran di Facebook kelmarin, Liyana membincangkan hubungan tegang antara Rafizi dan Anwar, yang juga Presiden PKR, dengan mendakwa bekas menteri ekonomi itu mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan cuba menonjolkan dirinya melebihi Anwar menerusi sikap “gung ho” (agresif dan bersemangat melulu) tanpa pertimbangan politik.
Namun, beliau menyuarakan harapan agar kedua-duanya dapat berdamai, dengan menyifatkan Rafizi sebagai semak dan imbang yang penting terhadap Anwar.
Menjawab pandangan itu, Rafizi mengakui dia memang berbeza pandangan dengan Anwar, tetapi menafikan perbezaan itu berpunca daripada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, sesuatu yang menurutnya tidak pernah diimpikan.
Kata Rafizi, jika dia benar-benar mahukan jawatan politik, pastinya dia akan berpihak kepada Mahathir pada 2018 dan menyokong Azmin Ali untuk menentang Anwar. Sebaliknya, dia memilih untuk kekal setia kepada Anwar.
Namun, katanya, setelah berada dalam kerajaan, jurang antara mereka semakin melebar.
Rafizi mendakwa Anwar lebih mengutamakan usaha menjaga sekutu politik seperti UMNO, DAP dan GPS demi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
Rafizi pula berpendapat PKR perlu menunaikan mandat rakyat untuk melaksanakan reformasi — walaupun langkah itu mungkin mengecewakan sekutu parti.
Politik wang
Pertembungan antara Anwar dan Rafizi akhirnya membawa kepada keputusan Rafizi untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, selepas Puan Nurul Izzah Anwar menewaskannya dalam pemilihan parti awal tahun ini.
Ketika itu, Rafizi mendakwa kekalahannya berpunca daripada permainan dalaman oleh pemimpin-pemimpin PKR yang menurutnya mengamalkan politik wang.
Sejak itu, dia sering mengkritik kerajaan secara terbuka namun masih menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataannya kelmarin, Rafizi berkata dia kini menumpukan usaha untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan kepada ahli PKR yang masih berharap kepada politik bebas rasuah.
Namun, dia mengakui bahawa kemungkinan untuk kembali ke barisan kepimpinan PKR adalah tipis.
“...Lebih baik PKR, Anwar dan saya ambil jalan masing-masing yang berlainan. Saya tidak nampak jalan yang akan membawa saya kembali ke dalam barisan pimpinan PKR di masa akan datang,” katanya lagi.
Liyana kemudian mengucapkan terima kasih atas respons Rafizi dan menjelaskan kenyataannya.
“Mesej saya ringkas. Mahathir ditolak oleh Tunku (Abdul Rahman), akhirnya jadi Perdana Menteri. Mahathir tolak Anwar, akhirnya jadi Perdana Menteri.
“Ada duluan. Ramai yang doakan benda sama untuk Rafizi juga. Bila tiba masanya,” katanya.
"Aameen ya Rabbal Alameen," mungkin itulah jawapan Rafizi di dalam hati.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment