Masak Federal—Mahkamah Tinggi putuskan hak Sabah 40%—Termasuk tempoh 48 tahun 1974-2021
Permohonan penangguhan pelaksanaan telah dibuat, Kerajaan Persekutuan dijangka memfailkan rayuan
Agak memeranjatkan, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Menurut laporan Malaysiakini, Hakim Puan Celestina Stuel Galid, ketika membacakan keputusan mengisytiharkan bahawa perintah pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah “tidak sah, ultra vires (melampaui kuasa) dan tidak rasional”, sekali gus melanggar Perlembagaan.
“Adalah tidak sah bagi pihak Persekutuan untuk menetapkan pemberian khas seperti yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh,” katanya.
Mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga tidak sah dan membenarkan sepenuhnya permohonan yang dikemukakan oleh Sabah Law Society (SLS).
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus bagi mengarahkan Putrajaya mengadakan semakan hasil baru bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, serta menentukan hak 40 peratus negeri itu bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Semakan tersebut mesti dimulakan dalam tempoh 90 hari dan disiapkan dalam tempoh 180 hari.
Mahkamah juga bersetuju dengan permohonan SLS untuk mengiktiraf Perintah Semakan Keempat yang diwartakan pada 27 Ogos 2025, kerana perintah itu mempunyai kesan sama seperti sebelumnya dan perlu dimasukkan dalam perintah akhir bagi melengkapkan proses tersebut. Tiada perintah kos dikeluarkan oleh mahkamah.
Pihak SLS diwakili oleh Dr David Fung Yin Kee, Encik Jeyan Marimuttu dan Puan Janice Junie Lim, manakala kerajaan Persekutuan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Encik Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, dibantu oleh Puan Nur Atirah Aiman Rahim dan Encik Mohammad Solehheen Zaki.
Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, diketuai oleh Encik Brenndon Keith Soh, mewakili kerajaan negeri.
Selepas keputusan itu, peguam mewakili kerajaan persekutuan memaklumkan bahawa permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan akan difailkan sementara menunggu arahan lanjut daripada kerajaan.
‘Hak 40 peratus adalah tanggungjawab Perlembagaan’
Bercakap kepada media selepas keputusan diumumkan, Dr David Fung menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu mengiktiraf hak 40 peratus hasil Sabah sebagai tanggungjawab perlembagaan yang wajib dipenuhi oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Ringkasnya, hak 40 peratus yang dijanjikan kepada Sabah mesti dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri. Kita bercakap tentang tempoh dari 1974 hingga 2021 — iaitu 48 tahun,” katanya.
Fung berkata mahkamah menjelaskan bahawa “tahun-tahun yang hilang” (lost years) tidak memadamkan hak Sabah kerana kewajipan semakan hasil itu termaktub dalam Perlembagaan.
“Dalam tahun-tahun yang hilang ini, hak itu tidak terhapus. Kerajaan mesti menyemaknya semula dan menentukan jumlah sebenar, dan mahkamah telah menetapkan tempoh masa bagi pelaksanaannya,” katanya lagi.
Menurutnya, hakim turut meneliti dokumen perlembagaan dan sejarah pembentukan Malaysia, termasuk Suruhanjaya Cobbold, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ketika mentafsir skop hak Sabah.
“Hak 40 peratus ini bertujuan untuk membiayai perkhidmatan negeri. Ia sepatutnya membantu pembangunan Sabah, namun negeri ini tertinggal jauh kerana bayaran itu tidak dibuat selama 48 tahun,” katanya.
Dr Fung turut menegaskan bahawa keputusan itu menunjukkan hasil yang dimaksudkan berpunca daripada Sabah sendiri, dan oleh itu kerajaan Persekutuan wajib mengira serta menyalurkan semula bahagian yang sewajarnya kepada negeri.
Kerajaan tidak terlepas dari tanggungjawab
Mengenai Perintah Semakan Kedua dan Ketiga, dia berkata mahkamah mendapati kegagalan perintah tersebut menyentuh hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021 tidak membebaskan kerajaan persekutuan daripada tanggungjawabnya.
“Mahkamah menyatakan bahawa kegagalan memasukkan perkara itu tidak bermaksud anda tidak perlu melaksanakannya. Mana-mana bahagian perintah yang memberi maksud anda tidak perlu melakukannya adalah salah — dan keputusan ini melindungi negeri Sabah,” ujarnya.
Dia menegaskan keputusan ini amat penting bukan sahaja untuk Sabah, tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan, kerana peruntukan tersebut diperlukan bagi merapatkan jurang pembangunan dalam aspek bekalan elektrik, air bersih, sistem pembetungan dan rangkaian jalan raya.
“Sabah telah ketinggalan. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, daripada 12 daerah termiskin, sembilan atau sepuluh adalah di Sabah. Semua orang di sini tahu apa maksudnya,” katanya.
Dia menambah bahawa keputusan bertulis penuh dijangka dikeluarkan oleh mahkamah dalam tempoh seminggu.
Turut hadir di mahkamah ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment