ADUN DAP Skudai dilanda resah
Keresahan yang mendalam terpancar di wajah ayu seorang wakil rakyat Melayu DAP apabila kira-kira 200 penghuni Blok 23, Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), di Johor Bahru, dihimpit kebimbangan apabila terdapat kesan retak yang ketara di beberapa bahagian flat berkenaan.
Akhbar Bahasa Melayu terkenal di Malaysia, Berita Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Cik Marina Ibrahim, 37, sebagai berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di flat berusia 40 tahun berhubung situasi itu.
Beliau berkata, ia berikutan penduduk mendakwa kesan retak pada flat semakin serius termasuk di laluan berhampiran tangga.
"Kami mendapati Blok 13 mengalami masalah retak teruk, tulang besi bangunan sudah terkeluar, ada bahagian sudah senget.
"Masalah ini berlarutan selama beberapa tahun, persoalannya sehingga kini penduduk tidak mengetahui tahap keselamatan mereka.
"Kami difahamkan ada penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menampal simen di lubang akibat retak, namun ia hanya bertahan sementara," katanya ketika dihubungi akhbar Berita Harian hari ini.
Marina berkata, flat berkenaan bukan di bawah kategori Projek Perumahan Rakyat (PPR), sebaliknya memiliki pengurusan sendiri.
Bagaimanapun, katanya pihak berkenaan tidak mampu memainkan peranan sepenuhnya kerana kos baik pulih memakan kos tinggi.
"Tambahan pula, hanya 30 hingga 40 peratus sahaja penghuni yang membayar yuran penyelenggaraan dan kita tidak boleh menyalahkan penduduk kerana rata-rata di sini adalah golongan B40.
"Kami meminta ihsan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mahupun kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sesuai termasuk forensik bangunan.
"Forensik bangunan penting bagi mengesan, menganalisis, dan menentukan punca kerosakan dan menentukan sama ada kaedah penyelenggaraan dan pembaikan struktur bangunan sesuai bagi memastikan keselamatan dan ketahanan," kata Marina yang memandang serius terhadap perkara ini.
Sementara itu, penduduk Encik Teh Siong Kwang, 60, berkata dia dan rakannya terpaksa membelanjakan RM300 bagi menampal simen pada dinding yang retak, beberapa bulan lalu.
"Kami bimbang keselamatan penduduk apabila ada serpihan batu yang jatuh akibat retak, dan kami khuatir ia menimpa penduduk terutama kanak-kanak atau warga emas.
"Kami berterima kasih kepada wakil rakyat yang meninjau keadaan bangunan ini serta merujuk kepada Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
"Mungkin isu ini dipandang remeh oleh segelintir pihak, namun ia membabitkan nyawa ratusan penduduk," katanya.
"Jangan sampai sesuatu yang tidak diingini berlaku seperti kecederaan parah dan kematian, baharulah jawatankuasa bertindak ditubuhkan.
"Biasanya begitulah, selagi tiada kemalangan besar, selagi itulah mereka tidak melihat sebagai urgent," kata wartawan Permadu Malaysia.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment