Kereta milik Yusoff Rawther ke mahkamah untuk pemeriksaan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membicarakan kes dadah/senjata melibatkan seorang bekas kakitangan pejabat Anwar Ibrahim hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk membawa kenderaan yang diserbu polis pada September lalu bagi tujuan pemeriksaan. 

Rafique Rashid, peguam kepada Muhammed Yusoff Rawther, berkata isu akses kepada kereta Nissan teana milik anak guamnya menjadi pertikaian dalam kes tersebut. 

"Jadi kita buat permohonan supaya kereta itu dibawa ke mahkamah supaya semua pihak boleh lihat, semua pihak boleh perhatikan, termasuk hakim sendiri," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi pagi. 

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan yang tidak mendapat bantahan pihak pendakwaan.

Kereta bernombor plat PMH 6931 milik Yusoff itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi selepas serbuan pada pagi 6 September tahun lepas.

Polis mendakwa menemui mampatan ganja seberat 300.1g dan dua pucuk pistol tiruan.

Yusoff menafikan sekeras-kerasnya barangan tersebut miliknya, sebaliknya berkata dia merupakan mangsa "orang berkuasa" disebabkan aduannya mengenai serangan seks melibatkan Anwar.

Sebelum ini, keluarga Yusoff yang menceritakan hari kejadian itu berkata, polis meminta Yusoff membuka pintu keretanya tetapi ia tidak dapat dibuka menggunakan remote.

"Kemudian salah seorang daripada mereka mengarahkan Yusoff membuka pintu kereta secara manual tetapi masih tidak dapat dibuka,” kata ibu saudara Yusoff, Fathima Idris, yang juga anak kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris.

Semalam, saksi pendakwaan Inspektor Wan Muhammad Wan Ali yang mengetuai serbuan tersebut mengakui kereta itu tidak boleh dibuka oleh Yusoff setelah diarahkan olehnya. 

Wan Muhammad berkata pegawai polis lain turut membantu membuka kereta tersebut dengan menarik pemegang pintu. 

Perbicaraan hari ini bersambung dengan saksi polis dan seorang pakar Jabatan Kimia Malaysia, Harlisa Haidhir Harminder, dipanggil pihak pendakwaan.

Semasa pemeriksaan balas, Sarjan Mohd Hafieh Md Sharif daripada Cawangan Persenjataan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur berkata pistol tiruan seperti yang ditemui dalam kenderaan Yusoff boleh dibeli sesiapa sahaja di pasaran terbuka.

Malah Hafieh berkata dia pernah melihat pistol tiruan dijual di platform jualan online, Shoppee. 

Menurutnya, pistol jenis itu tidak mempunyai mekanisme pemicu atau "trigger". 

Bagaimanapun Hafieh tidak bersetuju bahawa pistol tersebut boleh diletakkan di mana-mana oleh sesiapa.

Katanya, tiada kesan cap jari ditemui pada kedua-dua pistol itu pada hari dia menerimanya untuk pemeriksaan selepas serbuan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon laporan ujian penyelenggaraan pistol ditandakan sebagai eksibit pendakwaan.

"Pistol tiruan jenis Pietro Beretta dan Smith & Wesson yang ditemui tidak boleh dimasukkan peluru untuk dijadikan sebagai satu senjata yang betul," kata Rafique.

Sementara itu, ujian kimia yang dijalankan Harlisa mengesahkan bahan yang ditemui dalam kenderaan tersebut ialah ganja menerusi resin yang dikesan dalam sampel. 

Tiada pemeriksaan balas dilakukan terhadap keterangan Harlisa.

Yusoff berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.

Kes itu mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara Yusoff diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis.

Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar, yang bakal dibicarakan pada 16 Jun ini.

Yusoff dan keluarganya telah membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat, termasuk Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik Anwar. 

Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.

Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat banglo di Petaling Jaya pada 2018.

Tidak lama selepas itu, dia membuat laporan polis mendakwa presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.

Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar.

Tiada CCTV

Sementara itu, saksi keempat, Inspektor Ishamuddin Ahmat Basri dari Jabatan Pengurusan IPK Kuala Lumpur pula mengesahkan tiada rakaman CCTV dibuat semasa kereta Yusoff digeledah polis.

Mengulas lanjut, Rafique berkata CCTV tersebut telah rosak seminggu sebelum serbuan. 

"Kita tak boleh nak sahkan bagaimana pemeriksaan itu dilakukan. Tiada bukti rakaman. 

"Kita terkejut sebab sekarang masih belum baiki CCTV di depan surau IPK," kata Rafique merujuk kepada rakaman di kawasan kereta Yusoff digeledah.

Perbicaraan disambung esok di mana pemeriksaan kenderaan milik Yusoff akan dilakukan di perkarangan mahkamah. 


Dimuat naik dari portal berita MalaysiaNow, siaran hari ini. 

End©Permadu

Dimuat naik oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Kwai Fong Chin 


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG   

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.

 Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Berita setiausaha politik Ismail Sabri dijumpai bersama wang tunai RM150 juta belum dapat disahkan

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sedap berkhidmat di Jabatan Imigresen — lubuk buat duit untuk menjahanamkan negara!

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Kesian Ismail Sabri, bila dah kelihatan kantoi, semua rakan "se-projek" dari UMNO-BN-PN membisu, hilang entah ke mana