Felda Jengka menyaksikan lelaki 57 tahun maut, dipercayai dibelasah penduduk kampung
Media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai dibelasah penduduk kampung dalam kejadian di Felda Jengka 2, dekat Maran, Pahang, pagi semalam.
Mangsa berusia 57 tahun sebelum itu dikatakan mengamuk dan menikam seorang wanita dan seorang remaja lelaki, menurut Malaysiakini.
Pada sidang media, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 10 pagi semalam.
"Laporan awal kejadian diterima Balai Polis Sungai Jerik pada jam 10.15 pagi dan anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) balai berkenaan tiba di lokasi sebaik menerima laporan.
"Ketika anggota RCJ tiba, lelaki berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan kebiruan pada kedua mata.
"Tangan lelaki itu juga dalam keadaan terikat," katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Wong berkata, berdasarkan keterangan awal saksi, lelaki itu dikatakan mengamuk dan bertindak agresif dengan menikam wanita berusia 52 tahun dan anak saudaranya, remaja lelaki berusia 16 tahun.
Katanya, punca pergaduhan itu masih dalam siasatan.
"Terdapat kesan tikaman pada perut sedalam 3 sentimeter (cm), kesan tikam pada tangan kanan dan kecederaan di bahagian dagu pada wanita berkenaan, manakala remaja lelaki itu pula mengalami kecederaan pada bahagian paha kanan dengan kesan tikaman sedalam 2 cm," jelasnya.
Beliau memberitahu pegawai perubatan dari Hospital Jengka mengesahkan lelaki itu meninggal dunia.
Katanya, susulan daripada kejadian itu pihaknya berjaya menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Pihak forensik sudah menemui senjata pisau yang digunakan dalam kejadian terbabit.
"Kita akan menunggu laporan bedah siasat lelaki berkenaan yang akan dibuat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, pagi esok (hari ini).
"Selepas mendapat keputusan bedah siasat, kita akan mulakan siasatan terhadap empat lelaki yang ditahan bagi tujuan siasatan kes ini," jelasnya.
Wong memaklumkan, mangsa wanita yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Jengka, manakala remaja lelaki terbabit sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital sama.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment