Rundingan berjalan baik, malangnya beberapa individu menyibuk
Tanpa mengira mana-mana agama, membiarkan rumah ibadat dibina di atas tanah milik orang/pihak lain tanpa kebenaran rasmi merupakan duluan yang sangat merbahaya, dipercayai sudahpun berlaku secara berleluasa sehingga hilang hak dan kawalan para pemilik tanah
Media tempatan melaporkan semalam Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebagai berkata dengan tegas hasrat murni untuk melaksanakan wakaf bagi membina masjid merupakan hak beragama pemilik tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
"Mengenai isu wakaf yang diniatkan oleh pengasas syarikat pemilik tanah tersebut, apabila instrumen wakaf telah lengkap, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai pemegang Amanah harta wakaf di Wilayah Persekutuan akan mengambil alih pemilikan wakaf tersebut.
"Buat masa ini instrumen wakaf tersebut masih belum disempurnakan.
"Hasrat murni untuk melaksanakan wakaf adalah hak beragama pengasas syarikat pemilik tanah tersebut dan mesti dihormati," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Malaysiakini.
Zainul berkata proses rundingan mengenai pemindahan kuil berkenaan sebelum ini berjalan dengan baik tetapi menjadi kontroversi disebabkan beberapa individu lain.
"Berbalik kepada isu pemindahan kuil tersebut, biarlah rundingan yang sedang berjalan diteruskan. Jangan ganggu rundingan tersebut," katanya.
Pada Khamis lalu, proses perbincangan mengenai pemindahan kuil berkenaan dilapor berjalan lancar di antara pihak pengurusan, syarikat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, DBKL menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baru dapat dilaksanakan dengan baik.
Jakel Trading selaku pemilik memaklumkan telah memperoleh Arahan Pembangunan (DO) dan Kelulusan Pelan Bangunan daripada DBKL serta memberi tempoh 30 hari kepada jawatankuasa kuil untuk mengosongkan tapak bagi memulakan projek dalam masa dua bulan.
Bagaimanapun beberapa pihak membantah pemindahan kuil tersebut, sebaliknya mencadangkan "tapak alternatif" untuk pembinaan masjid berkenaan.
Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Encik Zaid Malek, berkata masjid boleh dibina di dua plot tanah yang berdekatan berbanding memindahkan kuil yang dikatakan berusia 130 tahun itu.
Mengulas lanjut, Zainul merujuk kepada Kanun Tanah Negara yang mengamalkan Sistem Torrens dari Australia, yang memberikan hak kukuh kepada pemilik berdaftar terhadap tanah yang didaftarkan atas namanya.
Kebebasan agama tidak izin ceroboh tanah orang lain
Oleh itu, katanya, sebarang pihak lain yang menceroboh tanpa keizinan pemilik berdaftar boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang.
Zainul turut menjelaskan tindakan DBKL secara senyap-senyap menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga tidak sepatutnya dibangkitkan kerana Dewan Bandaraya itu mempunyai kuasa untuk menjual pegangannya kepada mana-mana pihak tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.
“Malah penjualan tersebut dibuat dengan niat yang suci dan balasan yang bernilai – ‘bona fide purchaser for valuable consideration’. Oleh itu, pembelian tersebut tidak boleh dibatalkan,” tambahnya.
Dia turut memuji sikap pemilik berdaftar tanah berkenaan yang memberi akujanji tidak akan merobohkan kuil tersebut selagi proses perpindahan belum dimuktamadkan.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment