Kononnya anti elit Melayu maha kaya, rupanya dana awam dikorbankan untuk bantu golongan ini?
Kerajaan Madani sering kali menyebut golongan “maha kaya” sebagai golongan yang perlu dimusuhi marhaen. Golongan maha kaya ini digambarkan sebagai kelompok yang mengambil hak ekonomi marhaen untuk membiayai gaya hidup mewah golongan elit.
Siapakah maha kaya ini tidak pernah ditakrifkan secara jelas, meskipun ramai dalam kalangan barisan kabinet Madani sendiri memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit.
Konsep maha kaya ini mencipta naratif “kita lawan mereka” dalam perbincangan pengelasan sosial dan struktur ekonomi negara. Kita boleh melihat permainan naratif ini dalam isu penarikan subsidi minyak, di mana golongan maha kaya dikatakan banyak mendapat manfaat yang tidak sepatutnya. Muda bersetuju bahawa mereka yang berpendapatan tinggi tidak wajar mendapat subsidi kerajaan.
Namun apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion kepada syarikat minyak dan gas Sapura Energy Berhad, ramai yang mempersoalkan rasional mengapa maha kaya seperti ini berhak menerima dana besar daripada wang rakyat.
Bukan pertama kali
Perlu diketahui bahawa ini bukan kali pertama Sapura Energy diselamatkan dengan wang rakyat. Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebuah syarikat pelaburan amanah Bumiputera, kini terpaksa menanggung kerugian besar selepas harga saham Sapura Energy jatuh kepada 5 sen setelah RM2.68 bilion dilabur untuk membeli hak boleh pindah saham pada harga 30 sen setiap satu.
Walaupun Sapura Energy berdepan tempoh kerugian dan ketidakcekapan operasi, pemilik serta bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Shamsuddin, masih menerima imbuhan tahunan purata antara RM71.9 juta hingga RM89.4 juta.
Dari tahun 2013 hingga 2021, Shahril telah meraih pendapatan sebanyak RM443.9 juta, iaitu sejumlah kekayaan yang amat sesuai dengan definisi maha kaya itu sendiri. Hampir setengah bilion ringgit digunakan hanya untuk membayar pendapatan yang tidak selari dengan prestasi pemilik syarikat.
Tiada ketelusan
Kerajaan Madani mendakwa bahawa tanpa suntikan dana RM1.1 bilion ini, sebanyak 2,000 vendor Bumiputera tidak akan menerima pembayaran, sekali gus memberi kesan buruk kepada pekerja Bumiputera.
Adakah kerajaan Madani akan membentangkan senarai vendor yang akan menerima suntikan dana ini kepada umum? Saya fikir tidak. Jauh sekali mahu bahaskan keperluan bailout ini di dalam Dewan Rakyat.
Apa yang jelas, sekurang-kurangnya tiga daripada vendor ini mempunyai kaitan langsung dengan keluarga maha kaya tersebut, iaitu Sapura Holdings Bhd, Sapura Resources Bhd dan Sapura Mines Property. Sinonim sekali dengan “masuk poket kiri, keluar poket kanan”.
Risiko tinggi wang rakyat
Ada pihak yang cuba mempertahankan suntikan RM1.1 bilion ini dengan mendakwa ia bukan "bailout" tetapi hanya pinjaman. Namun, ingin saya tegaskan di sini, pinjaman kepada golongan maha kaya ini hanya dikenakan faedah sebanyak 2 peratus setahun, sedangkan ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana bukan sahaja tidak diberi peluang mendapat geran perniagaan, tetapi turut perlu membayar faedah yang jauh lebih tinggi mengikut kadar pasaran.
Lebih membimbangkan, suntikan RM1.1 bilion ini tidak menjamin bahawa Sapura Energy akan dapat pulih daripada kemelut kewangan yang sedang dihadapinya. Setakat ini, Sapura Energy masih mempunyai baki hutang sebanyak RM10.8 bilion.
Kerajaan juga menanggung risiko “opportunity cost” lagi apabila pulangan nilai sukuk kerajaan Malaysia itu sahaja sudah boleh memberikan pulangan setinggi 3.8 peratus setahun. Jelas sebenarnya bahawa pinjaman ini diberikan tanpa mengambil kira kemaslahatan rakyat, tetapi sekadar untuk menyelamatkan golongan maha kaya.
Masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia tidak lagi menanggung kegagalan golongan maha kaya, lebih-lebih lagi apabila pelaburan sebanyak RM4 bilion oleh PNB sebelum ini masih belum memberikan sebarang pulangan kepada golongan Bumiputera khususnya.
Saya tidak setuju apabila Perdana Menteri katakan bahawa Sapura Energy ini adalah satu-satunya pemain tempatan dalam industri ini, apabila ada lagi syarikat minyak dan gas tempatan lain yang jelas lebih baik pengurusannya seperti Bumi Armada dan Yinson Holdings.
Maka, penyokong kerajaan juga tidak perlulah membantah apabila ada rakyat Malaysia yang membuat kira-kira wang RM1.1 bilion ini kalau digunakan untuk menambahbaik infrastruktur awam atau memberi gaji yang lebih bermaruah kepada petugas kesihatan daripada memberi nyawa kepada syarikat bermasalah.
Memetik kata-kata George Orwell dalam Politik Kandang, "semua haiwan itu sama, namun ada yang lebih sama berbanding yang lain". Begitu jugalah situasinya dalam pentadbiran Madani. Walaupun suara golongan marhaen sering dilaungkan, namun hakikatnya golongan maha kaya jugalah yang sentiasa diberi keutamaan dalam dasar-dasar ekonomi Madani.
Adaptasi dari sebuah artikel hasil nukilan AMIRA AISYA binti Abd Aziz, Pemangku Presiden Muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Johor.
Disiarkan di beberapa platform media sosial hari ini, Selasa 18 Mac 2025.
Kandungan tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pendirian rasmi Permadu Malaysia.
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment