Berjuang Membela Pesalah Rasuah
Gambar diambil dari blog OutSyed The Box |
Apabila undang-undang tidak lagi melindungi anda dari perasuah tetapi melindungi perasuah dari anda, anda tahu negara anda sedang menuju kemusnahan.
Pejuang-pejuang hipokrit berpura-pura sangat taat kepada Agong dan Sultan apabila sesuatu titah (yang belum tentu wujud) itu menguntungkan mereka, atau memihak kepada kepentingan mereka.
Mereka sedang membunuh maruah dan prinsip keadilan yang diperjuangkan. Mereka sedang memperbodoh rakyat hidup-hidup.
Tanpa disedari, mereka adalah musuh dalam selimut yang sangat merbahaya kepada Raja-Raja Melayu. Mereka mengheret Raja-Raja Melayu untuk dilihat rakyat marhaen sebagai pembela pesalah rasuah.
Mereka bukan sahaja mengkhianati rakyat jelata, lebih buruk lagi, mereka memperalatkan Agong dan Sultan, sekaligus memperguna Agong dan Sultan sebagai bahan tebusan untuk kepentingan mereka sendiri.
Sungguh keji. Kita tahu siapa mereka. Mereka ada di depan mata.
Ayuh, hukum mereka dengan tidak mengundi mereka dan parti mereka dalam pilihanraya akan datang.
Jika ada asas dan bukti berunsur jenayah, dakwa mereka di mahkamah.
Berjuang Untuk Rakyat dan Negara sudah bertukar kepada Berjuang Untuk Membela Pesalah Rasuah!
— Permadu Malaysia
Syabas diucapkan kepada akhbar yang dilihat bebas menjunjung keadilan, iaitu Sinar Harian kerana menyiarkan sebuah artikel yang baik dan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat di negara ini.
Artikel hasil tulisan Encik Ilaiya Barathi Panneerselvam, Ahli Jawatankuasa Cawangan Petaling Jaya, Parti Sosialis Malaysia (PSM). Dipetik dari akhbar Sinar Harian, siaran Jumaat 10 Januari 2025, seperti di bawah:
Orang ramai hadir di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya bagi memberi sokongan kepada Najib baru-baru ini. Gambar kecil: Ilaiya Barathi Panneerselvam |
MALAYSIA digemparkan dengan pendedahan mengenai kewujudan Titah Adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.
Titah tambahan tersebut dilihat sebagai kemenangan moral buat Najib dan penyokongnya, terutamanya apabila beliau diberi peluang untuk membuat semakan kehakiman.
Namun ‘cahaya di hujung jalan’ ini tampaknya semakin terang di arah yang bertentangan dengan prinsip keadilan.
Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang berjumlah RM42 juta.
Bagaimanapun, pada tahun 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman ini kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta. Pengurangan ini boleh dianggap sebagai ‘bonus’ yang luar biasa.
Sebaliknya, carian di media menunjukkan bahawa rakyat marhaen terus dikenakan hukuman berat atas kesalahan kecil.
"Ini lagi...kes rakyat marhaen...keluar penjara nanti nak buat apa? Kad Pengenalan dah ada tanda bekas banduan.
"Ini senang-senang je curi berbilion Ringgit nak minta tahanan di rumah," Ahli Fikir Dari Kulim meluahkan perasaan kecewa.
Sebagai contoh, seorang duda dengan tiga orang anak kecil dipenjarakan selama tiga bulan hanya kerana mencuri setandan pisang - kemungkinan besar disebabkan kelaparan.
Walaupun kedua-dua kes melibatkan pencurian, perbezaannya amat ketara.
Satu pihak mencuri dengan menyalahgunakan kuasa, sementara satu lagi pihak mencuri demi kelangsungan hidup.
Kenyataan ini tidak berniat untuk mempertahankan pencurian melalui justifikasi moral, tetapi berbalik semula kepada persoalan utama iaitu ‘di manakah keadilan’?
Dan adakah itu ‘keadilan’ jika kita melabel pencuri kecil demi kelaparan sebagai ancaman yang lebih besar berbanding pencuri besar yang didorong oleh kekayaan dan ketamakan?
Sebagai perbandingan, Mahkamah Tertinggi Itali pada tahun 2016 memutuskan bahawa gelandangan yang mencuri makanan kerana kelaparan tidak boleh dianggap sebagai penjenayah, seterusnya dibebaskan.
Namun, di Malaysia, Najib berkemungkinan besar akan menikmati kebebasan lebih awal daripada yang dijangka, biarpun skala jenayahnya jauh lebih besar dan memberi impak yang lebih mendalam serta berpanjangan.
Apakah rasional di sebalik pengutamaan separa pengampunan kepada seorang bekas Perdana Menteri dan diberi peluang untuk menghabiskan tempoh hukumannya di rumah sedangkan ruang seperti itu langsung tidak wujud di bawah kerangka undang-undang sedia ada? Cukup pelik.
Amnesia politik: Hipokrasi dalam kleptokrasi
Pihak-pihak yang tidak lama dahulu menggelar Najib sebagai ‘kleptokrat’, ‘penyamun’ dan ‘pencuri duit rakyat’ kini kelihatan menghidapi ‘amnesia politik’. Sebahagian daripada mereka malah giat menganjurkan perhimpunan solidariti, seperti yang dirancang pada 6 Januari 2025.
Walaupun UMNO/BN secara rasmi menarik diri daripada perhimpunan tersebut, penglibatan ahli-ahli UMNO seperti Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Jamal Yunos serta upacara doa solidariti di Batu Caves oleh Kongres India Malaysia (MIC) menunjukkan seolah-olah Najib adalah mangsa yang dianiayai dan perlu diselamatkan.
Sementara itu, suara-suara dalam Pakatan Harapan yang mengatur langkah ke tampuk pemerintahan dengan dahulunya lantang memperjuangkan anti-kleptokrasi, keadilan sosial, demokrasi dan reformasi kini semakin tenggelam, seolah-olah kehilangan arah sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan Madani.
Persoalan yang diajukan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan dirasai oleh rakyat marhaen, adalah: Adakah pelaksanaan undang-undang di Malaysia benar-benar bebas daripada pengaruh kedudukan sosial, darjat, agama, bangsa, dan gender?
Adakah fenomena ini mengesahkan kata-kata George Orwell, “semua adalah sama rata, tetapi segelintir lebih sama rata daripada yang lain”?
Lebih membimbangkan, adakah ikon reformasi kini sekadar menjadi saksi kepada fenomena ini tanpa mampu bertindak? Sisa-sisa anti-reformasi yang bakal diwariskan selepas pemerintahan Madani ini membimbangkan kerana ia akan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Mengapa perhimpunan solidariti untuk Najib lebih giat dianjurkan berbanding perjuangan hak asasi rakyat?
Di manakah keadilan bagi rakyat marhaen yang terkesan dengan isu seperti gaji minimum, penswastaan keperluan asas seperti hospital dan pendidikan, atau korupsi yang melanda Sabah?
Pejuang-pejuang ini tidak kelihatan di barisan hadapan dalam isu-isu rakyat, sebaliknya sering memberikan alasan budaya atau gunakan saluran yang betul untuk menghalang sebarang kritikan dan aksi massa.
Malaysia di persimpangan yang kritikal
Malaysia berada di persimpangan yang kritikal dalam menentukan arah tuju keadilan dan integriti nasional. Ketidakadilan yang berlaku mencerminkan pengaruh mendalam hierarki sosial, politik, dan ekonomi terhadap pelaksanaan undang-undang.
Masa depan negara ini memerlukan lebih daripada sekadar retorik reformasi; ia memerlukan tindakan yang berani dan tegas untuk memastikan keadilan tidak menjadi hak istimewa golongan tertentu. Malaysia mesti bangkit dengan memecahkan belenggu hipokrasi dan memastikan semua rakyat, tanpa mengira darjat, agama, bangsa, atau kedudukan, diberi layanan yang sama rata di mata undang-undang.
Hanya dengan keberanian untuk menghadapi kebenaran dan keazaman untuk bertindak adil, kita mampu membina sebuah Malaysia yang benar-benar bersatu, bermaruah dan dihormati di mata dunia.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment