Kehebatan luar biasa PAS di PRU15 mengejutkan

 PAS mampu tawan Selangor di pilihanraya negeri yang mesti diadakan sebelum Ogos, 2023
Kebencian terhadap UMNO sukar diatasi walaupun parti itu sertai pentadbiran Anwar Ibrahim

Pakatan Harapan turut terkena tempias

Keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 sudah pun diketahui. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, tidak ada gabungan parti yang melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Akhirnya, kerajaan perpaduan atas muafakat antara gabungan parti politik dibentuk dan diterajui Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

PRU ke-15 memberi perspektif yang jelas dalam beberapa perkara.

Pertama, riwayat Umno-BN seperti telur di hujung tanduk. Kedua, Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan momentum namun tidak mampu mempertahankan kubu kuatnya. Ketiga, Perikatan Nasional (PN) dapat menarik pengundi dan mengempur kubu kuat PH dan BN.

Sudah pasti perspektif ketiga itu mengejutkan ramai. Dalam diam, PN menjadi pesaing hebat kepada PH dan BN meskipun ia baru dua tahun berada dalam arena politik.

Berbeza dengan kempen di kawasan-kawasan lain di Semenanjung Malaysia, persaingan di Pantai Timur Malaysia, sebahagian Johor dan utara negara dihangatkan dengan perang saraf politik dipanggil ‘Gelombang Hijau’. 

Jika PRU ke-14 gelombang itu meletakkan PAS sebagai kerajaan sekali lagi Terengganu, kali ini PAS berjaya menyapu bersih kerusi parlimen di Terengganu dan Kelantan.

Malah, berjaya PAS - bersama PN - membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah enam dekad diperintah BN.

Ledakan Gelombang Hijau juga meningkatkan jumlah kerusi PN di Perak dan Pahang, sama ada di peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri (DUN).

PAS bakal sapu bersih kerusi UMNO di Pulau Pinang

Lebih mengejutkan lagi apabila PN berjaya menumbangkan kerusi asas PH sejak 2008 di Selangor dan Pulau Pinang pada kali ini. Soalnya, bagaimanakah fenomena itu berlaku?

Kelebihan buat PAS

Pertama, PAS dilihat sebagai parti pilihan utama di kawasan demografi majoriti pengundi Melayu. Kecelaruan Umno yang terpalit dengan isu integriti, dan pengaruh PH yang kurang menonjol di wilayah itu, membolehkan PAS menggempur kawasan seperti Padang Terap, Baling, Permatang Pauh, dan Pokok Sena.

PAS dan PN mengukuhkan tapaknya di kerusi lebih 70 peratus majoriti Melayu melangkaui wilayah Pantai Timur pada PRU ke-15.

Kedua, penguasaan pemimpin PAS di wilayah Pantai Timur dan utara negara memperkukuh pengaruh mereka. Populariti figura seperti Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor; dan Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) memainkan peranan utama dalam menarik pengundi Melayu atas pagar untuk mendekati PN.

Kepimpinan yang ditonjolkan oleh Sanusi dan Ahmad Samsuri yang mesra rakyat dan berkebolehan menerajui negeri memudahkan PAS menyantuni pengundi dengan lebih santai.

Berbeza dengan pemimpin PH dan BN yang tidak mempunyai figura menonjol bagi memberi persaingan di wilayah Pantai Timur dan utara.

Pendirian Sanusi dan Ahmad Samsuri yang tidak menjadi calon parlimen memberi kelebihan buat PAS memfokuskan sumber yang ada memenangkan calon di kawasan-kawasan strategik.

PAS dapat faedah dari ustaz-ustazah YouTube dan Facebook

Ketiga, PAS hampir mendominasi kempen di media sosial. Penguasaan itu dikesan sejak awal apabila terdapat trend ustaz-ustaz menyampaikan tazkirah di platform seperti YouTube dan Facebook live.

Meskipun mesej disampaikan tidak menjurus menyokong parti politik secara langsung, ia membantu rakyat terbanyak memahami konteks yang lebih luas berkenaan nilai-nilai yang dekat dengan PAS, khasnya soal memilih pemimpin dan kerajaan serta isu-isu lain.

Masalah perkauman perlu diurus dengan betul

Petunjuk-petunjuk itu memberi asas bahawa perang saraf Gelombang Hijau itu semakin relevan dalam politik negara dan ia semakin membesar tanpa kita sedari.

PAS mampu menumbangkan kerusi asas PH di Selangor sejak 2008 seperti Kuala Langat, Kapar, dan Hulu Langat. Apakah PAS dan PN mampu menggempur kubu kuat PH dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi?

Kemenangan di Mersing memberi peluang kepada PN menambah kekuatannya di kerusi Pantai Timur Johor seperti Kota Tinggi dan Tenggara yang merupakan kubu kuat BN dalam tempoh jangka panjang.

Dari sudut yang berbeza, Gelombang Hijau turut memberi kesan mendalam kepada politik negara. Agenda dan bahan kempen yang mengetengahkan sentimen kaum dan agama mewujudkan kebimbangan utama rakyat selepas keputusan PRU ke-15 diumumkan.

Situasi itu telah melebarkan jurang kesefahaman antara wilayah, bandar atau luar bandar, yang mempunyai jumlah demografi pengundi Melayu yang berbeza.

Jika ia tidak diuruskan dengan baik, beberapa isu sensitif yang dibangkitkan bakal meretakkan kesejahteraan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Gelombang Hijau itu akan terus kukuh selagi tiada gabungan parti politik mampu mencabar dominasi PN, khususnya menjelang enam PRN tidak lama lagi.

Walau apa pun, fenomena itu perlu diuruskan dengan cermat oleh kerajaan. Pelaburan kepada infrastruktur asas dan ekonomi di wilayah Pantai Timur dan utara akan menyumbang persekitaran baru rakyat di kedua-dua wilayah yang selama ini bergelut dengan peluang ekonomi terhad dan pendapatan rendah.

Pendekatan itu sesuai untuk mencari keseimbangan antara ekonomi dan politik agar tidak berlaku jurang begitu besar antara wilayah atau kaum.

UMNO perlu barisan pimpinan baru lebih dinamik jika tidak mahu terus dibenci

Dari sudut politik, gabungan parti politik seperti BN perlu bangkit dalam menyusun semula jentera mereka. Penyusunan semula BN akan menjadi penentu kepada keseimbangan dominasi PAS dalam politik Melayu.

PH pula perlu keluar dari zon selesa dan bergerak serius membangunkan jenamanya di Pantai Timur dan utara. Pemimpin baru perlu dilatih dan pelaburan harus dibuat untuk kerja-kerja parti bagi mendekatkan PH dengan kawasan majoriti Melayu.

PH tidak boleh dilihat menguasai kerusi-kerusi Pantai Barat Semenanjung Malaysia saja. Untuk masa hadapan - dengan penambahan undi yang agak signifikan untuk tempoh lima tahun, khasnya pengundi Melayu - Gelombang Hijau akan mengundang risiko kepada kubu kuat PH di Selangor dan Pulau Pinang.

Soalnya, apakah kerajaan pimpinan Anwar dapat mengimbangi fenomena Gelombang Hijau dengan tindakan dasar yang adil?

Atau kita akan menyaksikan Gelombang Hijau menguasai naratif di dalam dan luar parlimen dengan isu-isu perkauman dan agama dalam tempoh lima tahun akan datang?


Adaptasi dari hasil tulisan FAKHRURRAZI RASHID, penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa), disiarkan Malaysiakini pada 30 November, 2022.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jokowi, anak beranak, ipar dan menantu cuba kontrol Indonesia — rakyat hilang sabar, mula membenci Jokowi, berdemo, membakar