MENTERI PUNYA LEBIH RAMAI PEMINAT DARI ARTIS TOP
SEORANG pemimpin tertinggi UMNO yang juga seorang menteri kanan, sering membawa khabar gembira tatkala orang ramai sedang berdukacita kerana pandemik Covid-19.
Maka, jadilah dia menteri kesukaan ramai. Menteri yang berasal dari Temerloh ìtu kini merupakan pemimpin berprestij di Bera, sebuah daerah kosmopolitan yang sangat terpimpin.
Walaupun pernah digossipkan memakan telor penyu yang merupakan haiwan terkawal di bawah bidang kuasa Jabatan Perhilitan, ianya sedikit pun tidak merobah hati dan perasaan kebanyakan orang untuk terus menyokong beliau.
Ada skandal dengan artis perempuan? Sumber yang rapat berkata dijamin tiada.
Menteri ini juga warak orangnya sungguh pun beliau jarang kelihatan memakai jubah dan kopiah. Di mana saja beliau berada, sejadah sentiasa ada di sisi. Pendek kata, sejadah dan dirinya berpisah tiada.
Itulah Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), yang juga Menteri Pertahanan.
Rakyat boleh tengok sendiri kerajinan dan ketenangan beliau menggalas tanggungjawab yang besar ini. Hampir setiap hari wajah beliau akan terpampang di kaca televisyen dan corong radio menyampaikan perkembangan terkini mengenai perintah kawalan pergerakan di negara ini.
Samada Ismail Sabri bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris, begitu ketara lenggok dan loghat Temerloh, Pahang dapat dirasakan oleh para pendengar. Kalau berceramah kepada pengundi setempat, lagilah pekat.
Hari ini, sekali lagi Ismail Sabri membawa khabar gembira. Iaitu pengunjung masjid dan surau tidak perlu bawa sejadah sendiri lagi.
"Setelah mendengar rayuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, mesyuarat khas hari ini setuju untuk tidak mewajibkan penggunaan sejadah di masjid.
"Mesyuarat juga setuju untuk membenarkan warga asing menjalankan ibadah solat jemaah di masjid bermula 1 September ini," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail berkata dia maklum berkenaan keluhan orang ramai yang terlupa membawa sejadah ke masjid, dan juga kalangan yang dihalang untuk bersembahyang di situ.
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, semua rumah ibadat termasuk masjid dan surau ditutup.
Bagaimanapun masjid dan surau dibuka semula secara berperingkat sejak Jun lalu, tetapi ia terhad kepada warga Malaysia sahaja.
Beberapa syarat juga dikenakan seperti membawa sejadah sendiri, jumlah jemaah mengikut kapasiti masjid atau surau serta langkah-langkah keselamatan yang lain.
Dalam pada itu, Ismail berkata pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dan jemaah tetap digalakkan membawa sejadah sendiri.
Jemaah masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, katanya lagi.
Dibawa kepada anda
oleh Fauzi Kadir
untuk Permadu Malaysia
Comments
Post a Comment