NAJIB JAWAB KADIR MENGENAI KHIANAT FELDA


ISU TUDUHAN PENASIHAT MEDIA PM A KADIR JASIN TERHADAP BEKAS PM MOHD NAJIB ABDUL RAZAK



Kadir kata Najib lacurkan Felda, Najib jawab kewajaran tindakannya



PADA Ahad 27 Oktober 2019, penasihat media kepada PM A Kadir Jasin menulis mendakwa bekas PM telah melacur dan mengkhianati Felda.

Pada hari sama, Najib Razak menjawab tuduhan-tuduhan yang dibuat pengarang veteran itu.


A Kadir Jasin tuduh...

Cerita ini panjang dan kompleks kerana ia melibatkan rogol beramai-ramai dan berulang kali oleh kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) serta konco-konconya ke atas Felda.

Perbuatan hina dan khianat mereka meninggalkan kesan yang amat buruk ke atas agensi pembasmian kemiskinan itu dan para penerokanya.


Mohd Najib Abdul Razak jawab...

Saya percaya Pak Kadir (A Kadir Jasin) yang juga merupakan penasihat media kepada Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir Mohamad) adalah seorang yang sangat tidak jujur serta seorang bermulut celupar.
Dalam artikel ini, dia gelar saya sebagai "perogol" Felda serta membuat beberapa tuduhan terhadap saya.
Dia membuat tuduhan seolah-olah tak baca kertas putih Felda yang dikeluarkan oleh kerajaan PH sendiri.
Dia kata wang Felda sudah habis dibelanja.
Tapi dia tidak menyatakan bahawa wang ini dibelanjakan ke atas peneroka-peneroka sendiri seperti diakui oleh (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Azmin Ali.


Kadir Jasin tuduh...

Mereka masih menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun kerajaan PH telah menyelamatkan Felda dengan memberi suntikan kewangan sebanyak RM6.3 bilion. Tanpa suntikan itu Felda sudah bankrap.

Najib Razak jawab...




                                             (tiada jawapan)


Kadir Jasin tuduh...

Saya difahamkan yang kerajaan PH kini sedang berusaha untuk mendapatkan balik duit hasil daripada melacurkan Felda oleh Mohd Najib atau setidak-tidaknya pun mengurangkan beban Felda.
Bagi saya, bala yang menimpa Felda dan peneroka tidak langsung mengejutkan kerana sejak tahun 2012 lagi saya telah menulis berulang kali bagi memberi amaran mengenai apa yang saya lihat sebagai kegiatan memperalatkan Felda untuk tujuan yang tidak serasi dengan matlamat asalnya.
Ini bermula dengan pemindahan dan penggadaian harta Felda dan ladang peneroka kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad atau lebih dikenali sebagai FGV pada tahun 2012.

Najib Razak jawab...



Saya juga pernah menulis panjang-lebar kenapa FGV perlu disenaraikan untuk menyelamat Felda akibat pokok-pokok sawit sudah tua akibat perdana menteri keempat yang tidak banyak minat bidang perladangan masa itu dan Felda dalam bahaya tidak wujud lagi jika penanaman semula berskala besar yang menelan kos yang tinggi tidak dimulakan dengan segera.
Perkara ini pun pernah diakui oleh Lim Kit Siang pada tahun 2012 apabila dia kata 50 peratus dari pokok sawit dalam Felda sudah terlalu tua.

Kadir Jasin tuduh...



Saya banyak menulis memberi amaran bahaya memindahkan harta Felda dan ladang peneroka kepada FGV semata-mata untuk melakukan tawaran awam permulaan (IPO) yang kononnya akan melahirkan syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia.
Sebaliknya saya mengesyaki langkah itu sebagai mainan korporat Mohd Najib bagi mencari modal untuk Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, khususnya bagi memberi sogokan politik kepada peneroka agar mengundi BN.
Malapetaka konspirasi
Antara lain, saya mengatakan bahawa langkah memperdagangkan harta Felda dan peneroka melaui IPO FGV tidak menampakkan ciri-ciri kelestarian jangka panjang.
Ramalan saya itu menjadi kenyataan. Bukan saja pencapaian kewangan FGV tidak membanggakan – lebih kerap rugi daripada untung – tetapi turut menarik turun prestasi kewangan Felda.
Pertimbangkan fakta berikut:
  1. Pada tahun 2012, Felda mencatat keuntungan bersih RM5.8 bilion di mana RM4.7 bilion daripadanya adalah pendapatan luar biasa hasil penjualan aset kepada FGV.
  2. Sejak itu Felda mencatat kerugian yang berterusan sebanyak RM2 bilion pada tahun 2013, RM1 bilion (2014), RM1.1 bilion (2015), RM700 juta (2016) dan RM4.9 bilion (2017).
  3. Sehingga 31 Disember 2017, tanggungan (hutang) Felda berjumlah RM14.4 bilion di mana RM12.1 bilion adalah hutang daripada institusi kewangan.
  4. Antara tahun 2007 dan 2011, iaitu sebelum Mohd Najib menubuhkan FGV, Felda mempunyai wang tunai bersih antara RM1.8 juta dan RM3.9 bilion tetapi jatuh merudum kepada hanya RM400 juta pada tahun 2017.

Najib Razak jawab...



(tiada jawapan)



Kadir Jasin tuduh...



Ini hanyalah pra-tayang kepada malapetaka dan konspirasi seterusnya.
Dia adalah “billionaire” Indonesia keturunan Cina yang namanya Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh.
Dia sahabat akrab keluarga Mohd Najib. Dia cuba jual 37 peratus saham ladangnya yang bernama Eagle High Plantations kepada FGV.
Ini berlaku pada tahun 2014. Tetapi tidak berjaya kerana sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV terpaksa berterus terang sedangkan penjualan saham Eagle High itu menyanggah amalan pasaran.
Sebelum itu, Sondakh dan syarikat komodi Perancis, Louis Dreyfus telah mengambil alih kawalan ke atas Eagle High dengan membayar AS$509.6 juta atau kira-kira RM2 bilion pada kadar tukaran hari ini.
Beli murah tapi jual mahal kepada Felda
Pada harga tersebut, urus niaga berkenaan menilai saham Eagle High sebanyak 301 rupiah setiap satu atau lebih kurang 21 peratus di bawah harga pasaran. Ini adalah kerana jual-beli tersebut berdasarkan suka sama suka dan sesama pemilik.
Urusan itu berlaku pada bulan November 2014. Tidak sampai setahun kemudian, iaitu pada bulan Jun 2015, masuklah FGV dengan tawaran membeli 37 peratus saham Eagle Plantation.
Harga pembukaan adalah 890 rupiah satu saham atau 113.94 peratus di atas harga Pasaran Saham Indonesia. Sondakh beli di bawah harga pasaran hendak jual kepada FGV di atas harga pasaran.
Sondakh beli saham Eagle High dengan potongan harga 21 peratus tapi dia hendak jual kepada FGV tujuh bulan kemudian dengan premium 113.94 peratus. Maknanya dia untung 137.94 peratus.
Dia belanja RM2 bilion untuk kuasai semua saham Eagle High tapi dia akan dapat RM3.1 bilion (AS$778.9 juta) dengan menjual hanya 37 peratus kepada FGV. Bunyi macam berniaga atas angin!
Sebagai syarikat milik awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV tidak boleh berbuat sesuka hati. Setiap keputusan wajib dimaklumkan kepada pelabur melalui pengumuman pasaran saham.
Mohd Najib pun tahu bahaya kalau terus guna FGV sebab lambat-laun rahsia akan pecah. Maka selamatlah FGV. Tapi apa yang berlaku selepas itu lebih teruk sebab yang menggantikan FGV adalah Felda.
Felda adalah milik kerajaan dan tidak diniagakan di Bursa Malaysia jadi lebih mudah diperalatkan. Masa itu Pengerusinya adalah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Dalam tempoh rundingan dengan FGV dan kemudian Felda, harga saham Eagle High terus jatuh. Rundingan dengan Felda dibuka pada kadar 645 rupiah sesaham atau bersamaan AS$551.8 juta (kira-kira RM2.3 bilion).
Itu pun masih tinggi kerana pada kadar harga itu ia hampir 160 peratus lebih mahal daripada harga saham Eagle High di Bursa Indonesia.
Sepatutnya bila ada orang hendak beli saham sesebuah syarikat dengan banyak, harganya naik. Tapi dengan Eagle High yang sebaliknya berlaku. Ini adalah kerana pelabur tahu nilai sebenar perniagaannya.
Tawar-menawar berjalan sampailah pada bulan Disember 2016 apabila persetujuan dicapai. Felda setuju bayar AS$505.4 juta. Tapi oleh sebab kadar tukaran ringgit jatuh ketika itu, nilai dalam ringgit naik kepada kira-kira RMRM2.4 billion atau 584 rupiah sesaham.
Pada harga itu ia adalah 96 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran. Premium pada kadar itu adalah amat tinggi dan jarang berlaku dalam urusan jual beli saham.


Najib Razak jawab...



Lepas itu Pak Kadir kata tindakan Felda untuk membeli kepentingan 37 peratus saham dalam syarikat sawit Indonesia Eagle High Plantations dengan harga RM2.4 bilion adalah untuk menolong kawan serta menipu Felda.



Saya nak cabar Pak Kadir. Di mana lagi ada peluang untuk membeli 37 peratus kepentingan untuk ladang-ladang sawit yang pokoknya masih muda dengan keluasan 340,000 ekar dengan harga hanya RM2.4 bilion?

Kadir tuduh...

Penyiasatan forensik bebas yang diarahkan oleh pengurusan baru Felda selepas PH mengambil alih 9 Mei tahun lalu dikatakan telah mendapati beberapa watak dalam kerajaan BN dan pengurusan kanan Felda terlibat memesongkan urus niaga tersebut.
Singkatan seperti MNAR, MIAS, JAG dan DRI yang semuanya berupa pemimpin BN muncul di sana sini sebagai watak-watak yang memainkan perasan utama dalam urus niaga celaka itu.
Carian saya mendapati MNAR adalah Mohd Najib Abdul Razak, MIAS (Mohd Isa Abdul Samad), JAG (Johari Abdul Ghani) dan DRI (Datuk Razali Ibrahim). Kita tahu siapa MNAR dan MIAS tapi mungkin tidak berapa kenal dengan JAG, bekas Menteri Kewangan ll dan DRI, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kemudian pembabitan anggota lembaga pengarah dan pengurusan kanan Felda dan FGV yang sepatutnya tidak menyokong urus niaga tersebut atau setidak-tidaknya pun memberi amaran mengenai bahaya pelaburan tersebut.
Saya dimaklumkan berkenaan nama-nama seperti Rahmat Bivi Yusoff, Dr Yusof Ismail, Noor Ehsanuddin Harun Narrashid, Hanafi Suhada, Dr Omar Salim, Mohd Khusairi Taib, Samsudin Othman, Dr Yusof Ismail, Mohd Isa Abu Kasim, Mohd Suhaili Said dan Abu Bakar Harun.
Juga Mohd Emir Mavani Abdullah, Faizoull Ahmad, Farisan Mokhtar, Norizah Bahari, Mohd Zafer Hashim, Dr Sulaiman Mahbob, Ahmad Tifli Taha, Yahaya Abdul Jabar, Mohammed Suffian Awang, Steve Clayton, Novan Amirudin dan Ahmad Tifli Talha.
Perbuatan dan peranan mereka menyebabkan Felda mengalami beban kewangan dan kerugian yang teruk.

Najib jawab...


(tiada jawapan)


Kadir tuduh...


Pada 25 Oktober 2019 harga saham Eagle High hanya tinggal 126 rupiah. Ini bermakna nilai pelaburan Felda telah jatuh merudum kepada RM440 juta atau kerugian dalam buku sebanyak RM2 bilion. Ini adalah duit peneroka.

Najib jawab...


Dia kata harga saham Eagle High sekarang sudah jatuh dan Felda kini menanggung kerugian dalam buku sebanyak RM2 bilion yang dia dakwa ini duit peneroka.
Tidak betul juga kerana dana Felda untuk membeli kepentingan Eagle High Plantation ini sebenarnya pinjaman khas dengan kadar faedah rendah dari Kementerian Kewangan.

Kadir tuduh...


Perogol-perogol Felda, sama ada yang sudah dikenal pasti atau yang akan dikorek dari lubang cacing, wajib dikenakan tindakan sewajarnya. Ini adalah sabotaj ekonomi.
Jual balik
Salah satu cara yang boleh dicuba bagi mendapatkan balik duit Felda itu adalah dengan meminta atau memaksa Sondakh membeli balik saham yang dijual kepada Felda.
Ini boleh dilakukan kerana ada satu syarat penting dalam pembelian oleh Felda tersebut.
Sondakh dikatakan telah berjanji membeli balik saham yang dijual kepada Felda itu melalui proses “put option” jika Eagle High gagal memenuhi syarat dan persijilan “Roundtable on Sustainable Palm Oil” (RSPO) bagi semua ladang Eagle High.
Setakat ini, menurut laporan media, dia hanya berjaya mendapatkan sijil RSPO untuk sebuah ladang saja.
Penganalisis pasaran rata-rata setuju bahawa Felda telah diperalatkan oleh Najib bagi membantu perniagaan sahabatnya Peter Sondakh dan dalam proses itu berlaku pelanggaran tadbir urus serta pengabaian tanggungjawab fidusiari yang serius.
Maka dalam usaha mendapatkan balik duit Felda atau setidak-tidaknya mengurangkan kerugian serta memberhentikan pendarahan, aset serta kepentingan Sondakh di Malaysia wajib diambil kira.
Dia ada banyak harta di Malaysia termasuk beberapa buah hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan, dan perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad.

Najib jawab...


Walaupun Pak Kadir ada dedah sedikit tentang satu PUT option dalam perjanjian pembelian Felda dengan Eagle High, dia tak beri cerita penuh.
Ini telah didedahkan dalam kertas putih Felda kerajaan PH sendiri bahawa penjual kepentingan Eagle High itu (yang juga orang antara paling kaya di Indonesia) berjanji akan membayar balik seluruh harga pembelian Felda siap dengan faedah enam peratus setahun dalam masa lima tahun jika Felda mahu jual kembali pada masa itu.
Dalam ertikata lain dengan "Put Option" ini, kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semua wang yang kita bayar bersama dengan faedah enam peratus setiap tahun.
Wang yang kita bayar dahulu juga dipinjam melalui bon dengan kaedah faedah 3.85 peratus.
Ini bermakna, Jika syarikat itu berjaya dan harga sawit memulih, pelaburan ini akan untung lebih banyak.
Sebaliknya, kerajaan masih untung jika kita jual balik kerana faedah yang kita kenakan kepada mereka adalah lebih tinggi dari kos hutang kita.
Dengan "Put Option" ini, berapa harga setiap saham juga tidaklah penting kerana keuntungan kita sentiasa terjamin.
Maka, wang rakyat tetap terpelihara dan kita tidak akan rugi - sekaligus membuktikan tomahan PH bahawa Felda akan rugi dengan membeli Eagle High ialah satu lagi fitnah.
Perlu juga ingat bahawa peluang untuk membeli kepentingan 37 peratus dalam ladang kelapa sawit yang sudah ditanam dengan keluasan 4 kali ganda negara Singapura dengan harga RM2 bilion sahaja bukan senang untuk dicari.
Purata usia pokok-pokok sawit Eagle High ini juga masih muda.
Ada yang belum matang dan ada yang hanya bermula matang.
Oleh itu, pengeluaran hasil dari Eagle High sedang berkembang dengan cepat.
Rugi masa pelaburan belum matang
Tahun 2018 lalu, pengeluaran mereka meningkat 33 peratus. Dan dijangka meningkat lagi tahun ini.
Pada masa hadapan, pengeluaran Eagle High dijangka melebihi pengeluaran FGV.
Pak Kadir ini seolah-olah tak faham bahawa jika meniaga atau membuat pelaburan, kita mesti lihat ke masa hadapan. Bukan kerugian pada masa pelaburan ini belum matang atau sampai masa.
Buat apa nak tipu Felda dengan RM2 bilion (siap ada put option untuk memastikan Felda tak rugi) jika hanya menjual sebahagian dari pelaburan IHH Berhad yang dibina masa saya PM sudah bernilai RM8.42 bilion?
Sudah-sudahlah Pak Kadir. Korang sudah jual berpuluh-puluh bilion Ringgit aset negara yang dibina masa saya PM, sekarang nak tuduh saya "terlebih" bayar RM2 bilion pulak?
Nak tuduh saya rompak berbilion-bilion dari Felda tapi sehingga kini, tiada pemimpin BN termasuk saya didakwa di mahkamah kerana merompak atau "merogol" berbilion-bilion dari Felda pula walaupun kertas putih Felda sudah buat dan kerajaan PH sudah 18 bulan memerintah..
Saya harian kenapa Pak Kadir begitu tertumpu kepada pelaburan RM2.4 bilion untuk kepentingan 37 peratus dalam satu aset yang masih kuat berkembang dan berpotensi besar, siap dengan perjanjian put option yang menjamin Felda hanya boleh untung dan tidak akan rugi.


Jawapan tambahan Najib...



Dia kata Felda ada pinjaman RM8 bilion tapi dia tidak menyatakan bahawa pinjaman ini dipinjamkan semula kepada peneroka-peneroka untuk projek-projek penanaman semula, rumah generasi kedua, pendidikan anak-anak Felda dan sebagainya.
Tapi dia seolah-olah tidak lihat bahawa kerajaan PH sedang terlebih bayar RM2.82 bilion apabila mereka membayar RM6.2 bilion untuk mengambil-alih 4 lebuhraya tol - iaitu satu aset yang nilainya semakin berkurang setiap tahun kerana konsesi-konsesi mereka akan tamat tidak lama lagi.
Pak Kadir tahu beza tak? Dia tahu meniaga ke?


Sebagai kesimpulannya, samada A Kadir Jasin atau Mohd Najib Abdul Razak, masing-masing mempunyai hujah tersendiri dalam mengemukakan tuduhan atau memberi jawapan.

Sesuai dengan prinsip Berani, Bebas dan Berkecuali, Permadu Malaysia percaya pembaca boleh membuat penilaian sendiri.




oleh Fauzi Kadir  ° Permadu Malaysia
● 2019 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
hubungi kami +6011 1185 9874
atau permadu@gmail.com
gambar dan sokongan teknikal
Zafiyah Hussain


Permadu Media
Blog Permadu Malaysia
Facebook Permadu Harmony
Page Permadu Station
Audio Visual PermaduTV

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!