MESTI TAAT PADA SULTAN PAHANG DAN AGONG UNTUK DAPAT PERMIT NIAGA? KABUR DAN TIDAK BERPERLEMBAGAAN

Berita/Rencana Raja Berperlembagaan Bahasa Melayu
Beberapa peguam persoal pengumuman Menteri Besar Pahang mensyaratkan ketaatan kepada Sultan Pahang dan Agong untuk dapat permit niaga

Wan Rosdy Wan Ismail,
Menteri Besar Pahang

KEPUTUSAN Kerajaan Negeri Pahang mensyaratkan pemilik perniagaan menjunjung taat setia kepada Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Agong (yang kebetulan pada masa ini adalah orang yang sama) untuk mendapatkan  lesen perniagaan adalah kabur, samar dan semacam bertindak sesuka hati, serta mungkin bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, demikian pandangan sekumpulan peguam hari ini, Rabu 24 April 2019.

Pada Jumaat lepas, 19 April 2019, Menteri Besar Pahang mengumumkan bahawa pihak berkuasa tempatan, bermula segera, perlu memasukkan syarat baru bagi permohonan lesen dan permit perniagaan, iaitu kegagalan menunjukkan taat setia kepada Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Agong akan mengakibatkan pembatalan terhadap semua permit, akhbar dalam talian Malay Mail melaporkan.

Syarat baru ini diperkenalkan tidak sampai tiga bulan selepas Sultan Pahang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Bagaimana taat setia dikaitkan dengan perniagaan?

Peguam Lim Wei Jiet berkata sebarang keputusan dari pihak berkuasa, termasuk menolak lesen dan permit perniagaan, boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman, atas dasar seperti tidak munasabah dan tidak rasional.

Lim Wei Jiet, peguam

"Syarat taat setia kepada Sultan Pahang dan Agong boleh dipertikaikan sebagai tidak munasabah dan tidak rasional dan ianya satu pertimbangan yang tidak relevan dalam konteks menjalankan perniagaan di negeri berkenaan," kata Lim.

Lim mengutarakan keperluan syarat-syarat merujuk kepada sesuatu operasi perniagaan.

"Salah satu sebab ianya tidak munasabah dan tidak rasional ialah tiada nexus di antara menjalankan perniagaan dan kesetiaan kepada raja," tambahnya, sambil membandingkan kedai makan disyaratkan mematuhi standard kesihatan dan kebersihan, kerana memelihara kesihatan pelanggan dan orang awam adalah satu kewajipan.

Lim berkata syarat baru itu mungkin boleh memberi kesan kepada hak kehidupan para peniaga jika lesen niaga atau permit mereka dinafikan kerana syarat tersebut.

Apa itu "taat setia" atau "menderhaka"?

Lim Wei Jiet menjelaskan kekaburan dalam pentakrifan istilah "menderhaka" itu sendiri.

"Syarat 'taat setia' kepada Sultan Pahang dan Agong adalah sangat kabur dan sukar untuk dijelaskan perbuatan yang bagaimana boleh dianggap 'menderhaka'. Malah undang-undang yang keras seperti Akta Hasutan memberi ruang kepada kritikan kepada raja dengan niat baik untuk menunjukkan raja telah dikelirukan atau terkhilaf.

"Oleh itu, kerana ianya sangat kabur serta membawa kesan 'penyejukan' terhadap kebebasan bersuara, syarat seperti ini mungkin menyalahi hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Nizam Bashir, peguam

Peguam Nizam Bashir berkata arahan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang itu bertentangan dengan Artikel 5, 7 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Apakah yang dimaksudkan dengan hormat dan taat? Adakah mengutarakan sesuatu kesilapan perbuatan atau tindakan peninggalan fungsi eksekutif dan badan statutori boleh dianggap tidak menghormati dan menderhaka?" soalnya.

Memetik doktrin mengenai kekaburan, Nizam berkata undang-undang yang kabur adalah tidak berperlembagaan.

Merujuk Artikel 5 yang menyatakan seseorang yang didakwa atas kesalahan jenayah berhak melalui proses undang-undang, Nizam berkata, "saya tidak boleh fikir sesuatu yang lebih baik dari seseorang mengetahui dan memahami kesalahan jenayah yang dilakukannya."

Sultan Abdullah Ibni
Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah,
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang

"Mari kita lihat satu contoh, menyatakan kesilapan YDPA (Yang di-Pertuan Agong) telah lakukan. Adakah ini satu penderhakaan? Kita tak tahu. Jadi, kesalahan yang boleh menyebabkan pembatalan lesen dan permit itu adalah kabur. Kita tak tahu di mana ia bermula dan berakhir," katanya mengenai tiada pengkhususan dan perlu dikecilkan kepada skop pengenalpastian kesalahan.

Memetik Artikel 8 mengenai kesamarataan di bawah undang-undang, Nizam bersetuju mereka yang dinafikan lesen atau permit tanpa mengetahui bagaimana mereka dianggap sebagai menderhaka mungkin tidak mendapat layanan adil dan tidak dilindungi undang-undang yang sama dengan orang lain.

"Benar, taat setia kepada raja adalah penting dari perspektif Negeri tetapi hak rakyat juga tidak kurang pentingnya. Dan di sini saya rasa sedang berlaku penafian hak rakyat memandangkan arahan yang dikeluarkan (Kerajaan Negeri Pahang) adalah terlalu luas dan umum, katanya sambil menyifatkan syarat baru ini akan membolehkan pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Nizam mencadangkan satu undang-undang yang melindungi Yang di-Pertuan Agong sebagai individu terakhir pembimbing Perlembagaan - tidak terlibat dalam politik.

Membelakangkan Parlimen

Peguam Surendra Ananth berpendapat hasrat Pahang menjadikan syarat ini sebagai satu enakmen negeri, atau meminda undang-undang negeri yang sedia ada. Beliau mengingatkan bahawa sepatutnya Parlimen yang melakukannya berkaitan menghadkan kebebasan bersuara.

Surendra Ananth, peguam

"Ini adalah peraturan yang menghadkan kebebasan bersuara dan hanya Parlimen yang berhak menjadikannya satu undang-undang. Peruntukan ini jelas di bawah Artikel 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa hanya Parlimen yang boleh mengetatkan hak kebebasan bersuara dan menjadikannya undang-undang. Negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Kita sudahpun mempunyai undang-undang untuk menangani hal menghina Raja-Raja, iaitu Akta Hasutan 1948. Walaupun saya tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Hasutan, pokoknya Parlimen yang menjadikannya undang-undang atau kerajaan persekutuan yang berurusan dengan kes-kes seumpamanya dengan menggunakan undang-undang persekutuan yang sedia ada," katanya.






oleh Fauzi Kadir
Permadu Malaysia
2019 Hak Cipta Terpelihara

hubungi kami
+60 11 1185 9874
permadu@gmail.com

gambar dan sokongan teknikal
Zafiyah Hussain


Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jika DAP dapat memberi kebaikan kepada orang Melayu, lebih baik dari pemimpin Melayu, apa masalahnya? Kalau...

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?

Unexplained Najib's sentence reduction makes foreign investors extremely nervous, says Hong Kong-based think tank