PH KALAH DI PRK CAMERON HIGHLANDS AKIBAT BANTAHAN SENYAP PEROKOK?

Rencana Bahasa Melayu

Cameron Highlands,
sebuah daerah dalam negeri Pahang
...dingin dan indah
(dari susunan gambar Zafiyah Hussain)

PILIHANRAYA Kecil (PRK) Cameron Highlands sudah pun berakhir, kegirangan Pas dan Umno nampaknya masih belum reda.

BN menang bergaya

Pengundian pada Sabtu, 26 Januari 2019 menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor menang bergaya dengan memperolehi 12,038 undi menewaskan tiga calon lain, M. Manogaran dari Pakatan Harapan (PH) mendapat 8,800 undi, Sallehudin Ab Talib (Bebas) 314 undi dan seorang lagi calon Bebas Wong Seng Yee mendapat 276 undi.

Ramli Mohd Noor, calon BN
...menang besar

Ada beberapa faktor kegagalan Pakatan Harapan merampas kerusi parlimen tersebut. Rencana ini akan memberi tumpuan kepada salah satu faktor penting yang kebanyakan orang tidak melihat dengan serius. Faktor dimaksudkan ialah bantahan senyap perokok sejak peraturan larangan merokok  di tempat-tempat tertentu termasuk di kedai-kedai makan dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Tinjauan santai di 53 buah kedai makan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru mendapati rata-rata pemilik kedai mengeluh kerana jumlah pelanggan yang berkurangan dengan ketara sejak peraturan baru larangan merokok ini.

Larangan merokok dan ilmu pelaris

Di Johor Bahru, kedai makan India Muslim (juga dikenali sebagai kedai mamak) pula menghadapi tekanan berganda. Di samping larangan merokok, mereka juga menghadapi krisis kepercayaan pelanggan beragama Islam ekoran serbuan pihak berkuasa yang mendapati ada kedai mamak menggunakan ilmu hitam (yang boleh menjurus kepada syirik) untuk tujuan melaris kedai menggunakan barangan kesaktian dalam botol, bekas, bingkai gambar bertulisan jawi dan sebagainya.

Gambar hiasan

Malah seorang pegawai yang turut sama dalam satu serbuan, serta memahami amalan ilmu hitam seperti ini menyatakan ada di kalangan kedai makan yang menggunakan bahan-bahan tertentu termasuk seluar dalam dan coli wanita terpakai dan tidak dibasuh. Setelah dijampi serapah oleh bomoh yang ditugaskan, bahan-bahan itu dicampur gaul dengan kuah kari yang sedang menggelegak di dalam periuk besar di atas dapur masak bagi menghasilkan "kelazatan kari yang fantastik". Pegawai yang enggan namanya didedahkan menjelaskan beliau bercakap atas kapasiti peribadi.

5 juta perokok di Malaysia

Berdasarkan kaji selidik yang dibuat oleh National Health and Morbidity Survey (NHMS) dianggarkan terdapat 5 juta orang perokok di Malaysia dalam tahun 2016 atau 22.8 peratus dari keseluruhan jumlah penduduk.


50 peratus adalah perokok berusia lebih 30 tahun, 40 peratus berusia lebih 19 tahun, 10 peratus lagi berusia 19 tahun dan ke bawah. Jika jumlah  5 juta perokok dari kaji selidik ini merujuk kepada warganegara Malaysia, 90 peratus atau 4.5 juta orang perokok mempunyai kelayakan sebagai pengundi di pilihanraya dalam tahun 2019. Jumlah ini bukan kecil. Mengikut statistik dikeluarkan SPR, terdapat 15,066,371 pengundi berdaftar setakat suku ketiga 2018.

34% pengundi adalah perokok

Ini bermakna, sekiranya semua perokok yang layak mendaftar sebagai pengundi, perokok mewakili 34 peratus dari keseluruhan jumlah pengundi. Walaubagaimanapun kadar sebenar pengundi yang merokok mungkin lebih rendah dari 34 peratus mengambil kira bukan semua daripada mereka telah mendaftar dengan SPR.

Penulis Hasmi Hashim

Hasmi Hashim, juga dikenali sebagai Budi Hekayat yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi (Bangsar), menulis tentang kaitan merokok dan keputusan pilihanraya kecil di Cameron Highlands. Dua tulisan beliau disiarkan Malaysiakini pada 25 dan 29 Januari 2019.

Memanglah tulisan Hasmi Hashim hanya bersifat pandangan peribadi dan tidak disokong fakta. Tetapi ini tidak bermakna ia harus diabaikan begitu sahaja. Antara pandangan beliau yang wajar diberi perhatian dan mungkin ada kebenarannya adalah seperti berikut:

(1) Menteri Kesihatan syok sendiri. Semua perkara seolah-olah hanya boleh ditangani dengan peraturan tanpa mengambil kira nilai budaya. Di tangan menteri ada belantan untuk memukul rakyat.

Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan

(2) Di awal kemerdekaan, perdana menteri dan ramai menteri merokok di khalayak ramai. Menariknya, tiada kedengaran mereka terlibat dengan rasuah. Kebanyakan perasuah di negara ini di kalangan mereka yang tidak merokok.

(3) Seorang bapa menghembus asap rokok ke muka anak adalah kes terpencil dan lebih bersifat fitnah. Lagipun apa kaitan larangan merokok di kedai makan?  Perokok juga boleh melakukannya di rumah.

(4) Perokok dilayan seperti  atau lebih hina dari pelacur, dalam masa sama  kerajaan merembat cukai yang tinggi dari perokok. Mungkin hasil kutipan cukai itu turut dinikmati bukan perokok, termasuk membayar gaji menteri kesihatan.

(5) Perokok dan bukan perokok ada tolak ansur di kedai mamak atau kedai makan. Tidak pernah menimbulkan masalah besar apa lagi peperangan.

(6) Bantahan senyap perokok adalah lebih bahaya dari isu perkauman yang ditiupkan Umno, Pas dan DAP.

(7) Sejuta kali pun Najib keluar masuk mahkamah perokok sudah tidak ambil peduli. Di hati semua perokok  sudah bulat, "PH mesti diajar".

(8) Hasmi Hashim bagaimanapun akur dan menasihatkan perokok supaya patuh pada peraturan larangan merokok. Beliau mencadangkan perokok menggunakan saluran lain bagi menyatakan bantahan iaitu kuasa undi.

(9) Pihak kerajaan telah mencabul hak asasi manusia (perokok) kerana hanya tahu melarang tetapi tidak menyediakan ruang merokok yang teratur.

(10) Amalan merokok melangkaui kaum. Semua kaum ada golongan perokok.

Itulah antara perkara yang diutarakan penulis lirik Hasmi Hashim atau Budi Hekayat. Pembaca boleh menilai sendiri.

Dalam satu perkembangan berkaitan, diberitakan pengusaha kantin pemandu teksi di KLIA memberi kebenaran kepada pelanggannya merokok di dalam kantin tersebut. Pengusaha berkenaan menyedari perniagaan mereka akan terjejas teruk jika tidak memberi kelonggaran tersebut.

Perdana menteri yang "turun takhta" pada 10 Mei tahun lalu dalam satu hantaran di Facebook, melahirkan simpati terhadap nasib perokok. Najib Razak bertanya adakah jarak 3 meter dari kedai makan yang ditetapkan bermakna perokok terpaksa merokok di tengah jalan.

Mohd Najib Abdul Razak,
mantan perdana menteri

Tidak rasmi, kutipan cukai rokok
RM7.665 billion setahun

Dari segi kutipan cukai rokok pula, setakat ini kementerian kewangan belum mendedahkan perinciannya. Berdasarkan jumlah lima juta perokok diandaikan 60% atau 3 juta daripada mereka membeli rokok sah bercukai, manakala 40% lagi membeli rokok seludup atau rokok tanpa cukai. Dengan harga sekotak rokok 20 batang antara RM12 dan RM17.40 sekotak, purata pembelian sekotak sehari, purata cukai RM7 sekotak, dianggarkan  kerajaan mengutip cukai rokok sebanyak RM21 juta sehari atau RM7.665 billion setahun. Jumlah yang besar ini sudah tentu menjadi penghalang utama kepada pengharaman rokok.

Penguatkuasaan lemah

Mengenai menteri kesihatan syok sendiri, mungkin ada benarnya. Keghairahan larangan merokok dijangka akan menjadi satu lagi episod hangat-hangat tahi ayam bersiri. Sebelum ini pun ada peraturan yang hanya tinggal peraturan. Sebagai contoh, peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar penumpang di tempat duduk belakang dalam kereta. Apa sudah jadi sekarang? Penumpang dan pemandu tempat duduk hadapan pun ramai yang tidak memakainya.

Dari segi logiknya kita tahu penguatkuasaan peraturan amat sukar dilaksanakan mengambil kira jumlah penguatkuasa yang sangat terhad. Tiada tanda-tanda kerajaan akan menambah jumlah penguatkuasa sedia ada. Apatah lagi perdana menteri dan menteri kewangan berulang kali mengeluh kerajaan tiada duit. Menteri Kesihatan pernah menyatakan sesiapa yang mengambil gambar orang yang merokok di kedai makan untuk dilaporkan, tidak akan menerima apa-apa ganjaran.

Di beberapa kedai makan di bahagian luar sudah mula kelihatan asap berkepul. Kelibat penguatkuasa tidak pernah kelihatan. Tauke kedai memilih untuk berpura-pura tidak nampak kerana bimbang kehilangan pelanggan. Pelanggan bukan perokok pula tidak terdorong langsung untuk mengambil gambar orang-orang yang merokok.

Wal hasil balik asal

Di pentas karaoke di sebuah kedai makan, kelihatan juruacara menjemput seorang pelanggan tetap yang bersuara mirip Jamal Abdillah untuk menyanyikan lagu Wal Hasil Balik Asal.

Sedang menteri kesihatan tenggelam ditaburi glamour larangan merokok, beliau sebenarnya belum melakukan apa-apa yang signifikan untuk diatasi. Ketirisan di banyak hospital kerajaan. Kualiti ubat-ubatan. Kecekapan perkhidmatan.

Dalam satu tinjauan di dua klinik kesihatan (KK) kerajaan, KK Putrajaya Precint 9 menyediakan pemeriksaan mata (fundus) berjadual dan pemeriksaan ECG untuk jantung 6 bulan atau setahun sekali sebagai langkah pencegahan. Di KĶ Larkin, Johor Bahru pula, seorang doktor menjawab, "Bukan tak nak buat, tak terbuat."

Sebagai kesimpulannya, peraturan larangan merokok dikenalpasti sebagai satu faktor penyumbang penting kekalahan teruk PH, BN menang dengan majoriti 3,238 undi, pertambahan 1,731 undi berbanding PRU14. Walau apapun, PH tidak perlu terlalu kecewa kerana Cameron Highlands memang disandang dan kubu kuat BN sebelum ini.





Oleh Fauzi Kadir
Permadu Harmony/Permadu Malaysia
2019 Hak Cipta Fauzi Kadir

Hubungi Kami
+60 11 1185 9874
permadu@gmail.com

Semua gambar susunan
Zafiyah Hussain



Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!