Sedang Guan Eng puji Anthony Loke beri peruntukan besar kepada Pulau Pinang, Sabah kecil hati
![]() |
| Masih banyak kawasan di Sabah tidak dilengkapi dengan sistem jalan raya yang sempurna, kata MalaysiaNow. |
Sabah bukan anak tiri, Anwar diingatkan ketika Guan Eng raikan projek berbilion ringgit untuk Pulau Pinang
Kenyataan penasihat DAP Lim Guan Eng memuji setiausaha agung partinya yang menawarkan peletakan jawatan Kabinet baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai sikap Putrajaya dalam mengimbangi pembangunan infrastruktur kerajaan pusat.
Portal berita pro-pembangkang MalaysiaNow melaporkan seorang pemimpin pembangkang Sabah mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa negeri itu terus berdepan masalah jalan raya dan jaringan perhubungan yang mundur, keadaan yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, kubu kuat DAP selama hampir dua dekad yang menyaksikan projek pengangkutan bernilai berbilion ringgit.
Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, menuntut kerajaan menjelaskan mengapa ia boleh memperuntukkan RM21 bilion untuk projek infrastruktur di Pulau Pinang sedangkan rakyat Sabah masih bergelut dengan masalah asas seperti jalan raya, di samping Lebuh Raya Pan Borneo yang masih belum siap.
“Sabah tidak meminta layanan istimewa. Sabah menuntut keadilan pembangunan,” kata Mustaman.
Menurutnya, pihaknya tidak mempertikai hak Pulau Pinang menerima pembangunan, tetapi kerajaan persekutuan perlu memastikan belanjawan infrastruktur negeri itu setimpal dengan keperluan dan kedudukannya dalam Malaysia.
Beliau berkata Sabah, dengan keluasan tanah kira-kira 70 kali ganda lebih besar daripada Pulau Pinang dan jaringan jalan raya lebih 1,500km di bawah bidang kuasa persekutuan, hanya menerima dana penyelenggaraan sebanyak RM341.7 juta tahun lepas.
Katanya, walaupun Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM200 juta untuk 178 projek penyelenggaraan jalan persekutuan di Sabah, termasuk kerja naik taraf berkala, timbul persoalan sama ada jumlah itu mencukupi.
“Adakah peruntukan tersebut memadai untuk menampung keperluan sebenar sebuah negeri yang mempunyai jaringan jalan yang luas serta bentuk muka bumi dan taburan penduduk yang mencabar?” soal Mustaman.
Minggu lalu, Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, memuji Anthony Loke sambil berkata tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pengangkutan telah menyaksikan Pulau Pinang menerima pelaburan infrastruktur daripada kerajaan persekutuan bernilai lebih RM21 bilion.
Lim menyenaraikan projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion, projek pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM1.55 bilion, Pelabuhan Pulau Pinang bernilai RM2.2 bilion, Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier bernilai RM500 juta dan naik taraf stesen kereta api KTM bernilai RM30 juta.
Lim berkata Loke “mungkin merupakan antara menteri pengangkutan paling berkesan yang telah melakukan paling banyak untuk Pulau Pinang”.
“1.8 juta rakyat Pulau Pinang menghargai pengorbanan Loke yang melepaskan jawatan menteri demi prinsip dan pastinya akan berterima kasih kepada Loke atas sumbangan besar beliau kepada Pulau Pinang,” tambahnya, merujuk kepada pengumuman Loke menawarkan peletakan jawatan daripada Kabinet sebagai tanda bantahan DAP terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengenai bekas perdana menteri, Najib Razak.
Baru-baru ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang turut dianggotai menteri dari DAP, Hannah Yeoh, membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kedaulatan undang-undang dan layanan saksama terhadap banduan.
Mustaman berkata walaupun peruntukan sebanyak RM1.67 bilion sudah disalurkan tahun ini untuk Lebuh Raya Pan Borneo yang melalui negeri Sabah, projek tersebut masih belum disempurnakan.
“Rakyat Sabah masih menunggu penyempurnaan keseluruhan projek tersebut, sedangkan Pan Borneo merupakan antara projek infrastruktur paling penting untuk menghubungkan daerah-daerah Sabah dan merancakkan kegiatan ekonomi negeri.”
Beliau berkata perbezaan yang dilihat di Pulau Pinang menunjukkan kurangnya perhatian yang adil terhadap keperluan infrastruktur Sabah, sambil menambah ukuran sebenar bukan semata-mata angka yang diumumkan dalam belanjawan tetapi jumlah jalan yang sudah dibaiki, projek yang sudah siap dan tempoh menunggu untuk menikmati jaringan pengangkutan yang baik.
Mustaman berkata pentadbiran Anwar mempunyai tanggungjawab membuktikan bahawa Sabah rakan dalam persekutuan yang sama taraf dan “bukan sekadar negeri yang disebut ketika pilihan raya atau ketika memerlukan sokongan politik”.
“Sabah mesti dilihat sebagai rakan dalam persekutuan yang berhak menikmati pembangunan infrastruktur setara dengan sumbangan dan kedudukannya kepada negara,” katanya.
“Usah hanya bercakap tentang Malaysia Madani dan merapatkan kesenjangan namun demikian hasilnya pula masih bersifat retorik. Rakyat Sabah mahu ia diterjemah dalam bentuk pelaksanaan, bukan sekadar slogan penyedap mulut.
“Perlu ditegaskan bahawa Sabah bukan anak tiri Kerajaan Madani sebaliknya Sabah ialah sebahagian daripada Malaysia yang berhak mendapat pembangunan yang adil, pantas dan setimpal dengan keperluannya.”
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Kenapa PAS Sabah tidak lancarkan tabung Tin Milo untuk turap jalan berlubang. Bukankah TANGAN YANG DI ATAS ITU LEBIH BAIK DARI TANGAN YANG MENGEMIS DI BAWAH.
ReplyDeleteSabah adalah negeri yang kaya dengan sumber hasil. Namun sebahagian besar kekayaan tersebut jatuh ke tangan elit pemegang kuasa. Sejak berdekad yang lalu Ketua Menteri Sabah semuanya berjaya mengumpul biliyun biliyun kata Nuwar. Rakyat ditinggalkan miskin.