Taktik buat pendedahan tanpa bukti melalui video boleh menimbulkan keresahan awam
Penulis politik pro-Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mempersoalkan tindakan polis yang dianggapnya nampak songsang.
Katanya, isu asal ialah dakwaan serius berkaitan rasuah dalam video terbongkar Sofia Rini iaitu proksi Setiausaha kanan PMX Perdana Menteri Ke-Sepuluh) termasuk dakwaan PMX arahkan proksinya songlap besar dan wang dilarikan ke Afrika atau Turkiye.
Tetapi katanya, apabila media lapor isu itu sebagai perkara berkepentingan awam, beberapa media pula yang dipanggil untuk siasatan, bukan Sofia, PMX atau proksinya.
Penulis itu, pemegang akaun Facebook Eric See-To -Lim Sian See memetik, ketika media disoal siasat, antara 57 soalan ditanya polis termasuk: "Bagaimana laporan mereka boleh menjejaskan maruah PM?"
"Dakwaan songlap berbilion, wang dilarikan ke Afrika/Turkiya, tak mahu siasat?
"Atau kemungkinan Sofia Rini lakukan fitnah jenayah ke atas PMX atau proksinya, tak ambil penting?
"Yang paling penting pula ialah maruah PMX?" soal penulis politik itu.
Terdahulu, portal berita Malaysiakini melaporkan seorang peguam berpandangan siasatan polis terhadap beberapa organisasi media terkait laporan mereka mengenai ahli perniagaan, Sofia Rini Buyong, adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai tekanan terhadap kebebasan media.
Menurut Encik Rajesh Nagarajan, siasatan ke atas media yang melaporkan isu itu boleh menjejaskan peranan mereka sebagai “kuasa keempat” dalam sistem demokrasi.
Sofia sebelum ini menjadi perhatian selepas satu video yang dimuat naik oleh Ketua Penerangan PAS Encik Ahmad Fadhli Shaari pada 22 April tular di media sosial.
Dalam video itu, Sofia dilihat berbual dengan seorang individu yang dipercayai ahli perniagaan kontroversi, Encik Albert Tei, dan mendakwa seseorang bernama “Anwar” telah mengarahkan individu lain bernama “Farhash” untuk mencuri wang, yang kemudiannya didakwa dihantar ke Afrika.
Rajesh berkata dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa beberapa organisasi media termasuk dipanggil untuk siasatan berhubung laporan mengenai dakwaan tersebut.
Menurut Rajesh, dia mengetahui perkara itu ketika menemani anak guamnya, iaitu editor MalaysiaNow, Encik Abdar Rahman Koya, yang dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 2 petang kelmarin.
“Pihak berkuasa tidak memanggil mereka yang membuat laporan polis, tetapi sebaliknya memanggil media yang menyiarkan laporan berita mengenainya dan itu langsung tidak masuk akal.
“Ini tidak boleh diterima. Media ialah kuasa keempat dalam demokrasi, masyarakat memerlukan media yang bebas untuk memastikan kerajaan berfungsi dengan baik.
“Jika media tidak bebas, keseluruhan sistem akan runtuh kerana tiada semak dan imbang, rakyat tidak akan tahu apa yang berlaku, dan pihak yang melakukan kesalahan tidak boleh dipersoalkan.
“Pemburuan terhadap media ini sangat-sangat salah,” katanya.
Laksanakan tanggungjawab perlembagaan
Rajesh turut berkata sesi soal siasat terhadap Abdar Rahman adalah singkat, hanya sekitar 30 minit dengan 57 soalan diajukan, termasuk satu soalan berkaitan bagaimana laporan beritanya boleh menjejaskan maruah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rajesh menambah anak guamnya memberikan respons terhadap semua soalan polis itu dengan menyatakan dia akan menjawabnya di mahkamah.
“Anak guam saya disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Rahman memberi kerjasama sangat baik. Beliau hadir selepas menerima notis. Beliau hanya menjalankan tanggungjawab perlembagaan semasa sesi soal siasat hari ini (kelmarin),” katanya.
Pada 24 April lalu, Anwar menepis dakwaan bahawa bekas pembantunya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, diarahkan mencuri wang dan menyembunyikannya di Afrika.
Anwar juga dilaporkan meminta pihak media tidak melayan tuduhan tersebut dan menegaskan mereka yang membuat dakwaan sedemikian perlu mengemukakan bukti.
Sofia menjadi perhatian pada tahun lalu apabila satu video yang memaparkan dia bercakap dengan Tei mengenai dakwaan rasuah melibatkan bekas setiausaha politik Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Akibat kontroversi itu, Shamsul Iskandar meletakkan jawatannya dan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang dia secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.
Farhash turut dilaporkan menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan kegiatan mencuri serta pengubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit ke luar negara.
Menurut Farhash, dakwaan itu tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah yang bertujuan mencemarkan reputasi dan integritinya, selain memberi kesan kepada kehidupan peribadi serta urusan perniagaan.
Dalam pada itu, Farhash turut menafikan dakwaan dia memiliki kewarganegaraan Turkiye, selain menegaskan dia tidak mempunyai sebarang akaun bank di negara berkenaan.
Farhash berkata, satu laporan polis telah dibuat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain tokoh kontroversi Encik Albert Tei mendakwa dia dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk dirakam keterangan.
Tei dalam kenyataannya berkata dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa Farhash telah membuat laporan polis pada malam 5 Mei berhubung dakwaan dalam video Sofia Rini.
“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa saya lebih awal daripada dia yang membuat laporan polis berhubung perkara tersebut iaitu pada pagi 5 Mei lalu di IPD Dang Wangi.
“Kejadian itu berlaku sejak 22 April lalu, tetapi saya membuat laporan polis dua minggu kemudian.
"Saya rasa sangat pelik kerana Farhash yang didakwa terlibat dengan pelbagai salah laku di dalam video itu, namun dia hanya membuat laporan polis selepas saya mengadukannya kepada pihak polis.
“Walaupun begitu, pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan saya, sebaliknya mereka memandang serius terhadap laporan polis yang dibuat oleh Farhash.
“Saya yang mengadukan perkara tersebut kepada pihak polis, tetapi sekarang saya yang disiasat sekarang. Inilah namanya penguatkuasaan dua darjat, orang yang berprofil tinggi diberikan layanan istimewa,” katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment