Jawapan teka-teki Rafizi Ahad 17 Mei — Anwar bakal diguling dari dalam PKR?

Seperti kata sebuah portal berita terkenal hari ini, hala tuju politik baharu Datuk Seri Rafizi Ramli yang menjadi tanda tanya selepas beliau tidak lagi sehaluan dengan kerajaan Madani khususnya PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terjawab pada Ahad nanti.

Pengumuman bekas Timbalan Presiden PKR itu sudah pasti dinanti-nantikan ramai orang, khususnya dalam kalangan penyokong ahli parlimen yang berpengaruh terbabit serta pemerhati.

Apatah lagi kebanyakan orang sudah memahami bahawa Rafizi selalunya bertindak berdasarkan pertimbangan yang cermat serta diperkirakan dengan baik.

Memetik laporan Sin Chew Daily sebelum ini, Rafizi ada menyatakan terdapat "empat tidak", yang membawa maksud beliau: (1) tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada; (2) tidak akan menyertai 'kuasa ketiga'; (3) tidak akan menubuhkan parti baharu; dan (4) tidak akan bekerjasama dengan bekas Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar. 

Kalau semua tidak, apa agaknya keputusan Rafizi dan rakan-rakannya dalam PKR?

Permadu Malaysia berpandangan ada kemungkinan Rafizi akan membuat reset bersama para penyokongnya di dalam PKR ala Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat dari Bersatu. Bezanya mereka masih berada di dalam PKR.

Selepas itu, tanpa mengganggu Parlimen, mereka akan melakukan secara demokratik mengumumkan hilang kepercayaan kepada Anwar selaku presiden parti itu, seterusnya mengumumkan sokongan kepada Rafizi sebagai presiden yang baharu parti itu.

Dari segi perlembagaan parti, kedudukan Anwar sebagai Presiden PKR mungkin tidak terjejas sama sekali. Namun, dari segi moral, ia akan memberi tekanan yang sangat dahsyat, selain malu, kepada Anwar. Biasanya dalam keadaan begini, pemimpin bermaruah akan meletak jawatan.

Apabila Anwar tidak lagi memegang jawatan presiden PKR, dari segi konvensyen, dia menjadi hilang kelayakan untuk terus menjawat pemimpin eksekutif tertinggi negara kerana hilang sokongan daripada partinya sendiri.

Bagaimanapun, Anwar masih boleh terus menjadi Perdana Menteri selagi mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Bagaimana Rafizi boleh melakukan ini? Mungkin ramai terlepas pandang Rafizi dan pasukannya mempunyai ramai penyokong senyap di kalangan ketua-ketua cabang PKR dan akar umbi yang masih menjiwai dengan mendalam semangat reformasi asal yang diperjuangkan parti itu.

Kalangan penyokong senyap ini dipercayai kecewa dengan kegagalan perlaksanaan reformasi walaupun Pakatan Harapan sudah lebih tiga tahun menjadi kerajaan.

Keadaan bertambah mendukacitakan apabila timbul isu Tan Sri Azam Baki, mafia korporat melibatkan SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti. Tidak kurang menambah ketidakpuasanhati, munculnya bekas pembantu Anwar sebagai orang mahakaya segera. Isu-isu ini masih belum terjawab dari pihak kerajaan.

DAP yang sebelum ini lantang memperjuangkan integriti kini menjadi bisu, dipercayai berada dalam keadaan serba-salah.

Perkembangan menunjukkan PKR adalah sebuah parti yang sangat lemah sekarang. Rafizi dan rakan-rakan tidak mustahil akan mengambil kesempatan ini untuk menggulingkan presiden dari dalam parti sendiri.

Sementara itu, portal berita terkenal berkenaan, Malaysiakini telah mendapatkan pandangan dari beberapa orang tokoh akademik dan penganalisis berkaitan apa yang dijangka pengumuman hala tuju baharu Rafizi dan rakan-rakannya pada Ahad 17 Mei ini, yakni lusa.

Menurut portal berita itu, penganalisis politik berpandangan, dengan perkembangan semasa adalah mustahil untuk Rafizi kekal bersama PKR, sekali gus hampir pasti Ahli Parlimen Pandan itu akan mengambil haluan berbeza.

Mohd Yusri Ibrahim

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, mengenali karekter Rafizi, dia tidak menjangka tokoh itu akan menyertai parti besar sedia ada sama ada PN atau BN.

Hal itu kerana, jelasnya, dalam keadaan sekarang bekas Menteri Ekonomi tersebut bukan lagi ingin menjadi pengikut, sebaliknya menunjukkan dia ingin berperanan sebagai ketua penggerak.

“Kini hanya ada dua pilihan politik paling munasabah untuk Rafizi, sama ada tubuh parti baru; atau menyertai parti kecil sedia ada sekali gus mengetuai parti tersebut.

“Banyak ura-ura timbul, namun kita semua tidak akan pasti selagi dia tidak umumkan secara rasmi – yang dijangka pada 17 Mei ini.

“Sama ada tubuhkan parti baru atau mengetuai parti kecil sedia ada, ia akan menjadi kuasa ketiga baru dalam PRU ke-16 nanti,” katanya.

Namun ketua penyelidik Ilham Centre itu berpandangan kedua-dua pilihan tersebut sedikit sebanyak berisiko memberi kesan kepada PH.

“Kerana sehingga kini, segmen yang memberi reaksi terhadap gerakannya adalah segmen sama dengan penyokong PH. Sehingga kini belum nampak secara ketara segmen yang menyokong Rafizi adalah segmen lain.

“Jika dia mampu 'mencuri' penyokong sedia ada PH dalam jumlah yang signifikan, sudah tentu PH akan berdepan masalah, apatah lagi dengan persaingan sangat sengit dan marginal di beberapa kawasan pilihan raya sekarang,” kata Mohd Yusri.

Terdahulu, Rafizi mengesahkan bakal membuat satu pengumuman "luar biasa" berhubung hala tuju baru politiknya pada Ahad ini. Turut akan diketahui ialah percaturan bekas Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Encik Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pengumuman mereka dijadualkan berlangsung dalam satu acara terbuka di Petaling Jaya, bermula jam 2 hingga 5 petang.

Menariknya, pengumuman itu dijadual pada hari berlangsungnya Konvensyen PH yang diadakan di Johor. Semua pemimpin tertinggi parti kerajaan itu dijangka berkumpul di program berkenaan.

Susah jika suam-suam kuku

Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam, Rafizi berkata, keputusan mengadakan pengumuman secara terbuka itu membuktikan perkara yang bakal dibawanya mempunyai kepentingan yang besar dan berbeza daripada kenyataan yang biasa dikeluarkan melalui platform media sosial.

Ditanya mengenai spekulasi sesetengah pihak bahawa dia tidak akan meninggalkan PKR pula, Rafizi berkata, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.

Malah, dia menyifatkan ia sebagai kelebihan ahli politik sepertinya bagi memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya mengenai langkah seterus yang akan diambil sehingga tiba hari pengumuman itu.

Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini meletakkan jawatan dalam kabinet, masing-masing sebagai menteri ekonomi dan menteri sumber asli dan kelestarian alam pada tahun lalu selepas gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR.

Mohd Yusri berkata, wujud persoalan di sebalik pilihan Rafizi nanti, iaitu adakah segmen yang dilihat memberi sokongan kepadanya buat masa ini akan diterjemah kepada undi dalam pilihan raya, atau mereka hanya menyokong kerana selesa dengan apa yang diutarakannya.

Justeru, ujar Mohd Yusri, jika Rafizi berupaya membentuk gelombang dan momentum yang kuat serta meyakinkan, dia berpotensi untuk mendapat dukungan dalam bentuk undi.

“Namun jika (sokongan) sekadar suam-suam kuku, susah untuk pengundi terjemahkan kepada undi.

“Ini kerana secara umumnya psikologi pengundi, mereka hanya akan memberi undi kepada parti yang mereka yakin akan menang.

“Walaupun setuju dengan idealisme sesuatu kuasa ketiga, payah mereka nak undi jika mereka tak yakin boleh menang,” katanya.

Bagaimanapun tambah Mohd Yusri lagi, gerakan Rafizi berpotensi untuk memberi kesan kepada PH kerana kedua-dua kumpulan masih berebut segmen sokongan yang sama, iaitu kelompok progresif.

Jejas kekuatan akar umbi

Namun, katanya, sejauh mana impak tersebut akan berlaku bakal dapat diukur apabila Rafizi mula bergerak secara rasmi nanti.

Hussain Yusri Zawawi

Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza), Prof Madya Dr Hussain Yusri Zawawi, pula berpendapat pengumuman hala tuju Rafizi dijangka menjadi detik penting dalam menentukan dinamika politik negara.

Menurutnya, kedudukan Rafizi bukan sekadar sebagai individu dalam parti, tetapi antara tokoh utama dalam PH yang membawa naratif reformasi dan kepercayaan rakyat terhadap perubahan politik.

“Sejauh mana pengumuman tersebut memberi kesan kepada PH dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangat bergantung kepada bentuk keputusan yang akan diumumkan.

“Jika (berlaku) penubuhan parti baru, (ia) berpotensi menyebabkan perpecahan sokongan dalam PKR. Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri, khususnya dalam kalangan penyokong reformasi dan generasi muda.

“Jika sebahagian penyokong atau ahli parti beralih kepada parti baru, PKR akan berdepan dengan pengurangan kekuatan akar umbi dan kelemahan struktur organisasi.

“Ini boleh menjejaskan keupayaan PKR untuk bergerak secara efektif dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut dari perspektif gabungan politik, beliau berkata, langkah tersebut boleh melemahkan kedudukan PH secara keseluruhan.

Katanya dalam sistem politik berbilang parti seperti Malaysia, perpecahan dalam sesuatu komponen utama akan memberi kesan secara langsung kepada kestabilan gabungan.

“Parti baru yang mungkin ditubuhkan akan bersaing dengan PH dalam kawasan yang sama, sekali gus memecahkan undi penyokong yang sebelum ini berpihak kepada gabungan tersebut.

“Ini boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan lain dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Tambah Hussain Yusri lagi, dalam konteks politik Malaysia hari ini rakyat semakin pragmatik dan pengundi cenderung menilai keberkesanan kerajaan berdasarkan hasil dasar dan kestabilan negara, bukannya semata-mata dinamika dalaman parti.

Pada masa sama, beliau mengingatkan, walaupun pengumuman Rafizi boleh mencetuskan gelombang perbincangan politik serta memberi ‘gegaran’ kepada imej PH, ia belum tentu cukup kuat untuk menggugat dominasi Anwar secara fundamental.

Katanya pengumuman hala tuju politik Rafizi berpotensi memberi tamparan persepsi terhadap PH dan Anwar sekiranya ia membawa mesej kritikal.

“Namun, kesan jangka panjang tetap bergantung kepada bagaimana kepimpinan kerajaan mengurus naratif tersebut, tahap solidariti dalaman PKR, serta kemampuan kerajaan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi dan kestabilan nasional,” jelasnya.


End©Permadu

Kunjungi blog Permadu Malaysia di permadumalaysia.blogspot.com

Oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Nazura Othman


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.

 Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Australian political analyst says Malaysian PM's political party, PKR is in collapse

MAHATHIR MAY REJOIN UMNO

Ketua Pemuda UMNO ajak Ahli MKT UMNO bertumbuk

Isu Stadium Shah Alam, suami Hannah Yeoh dapat kontrak, parkir, terkini babi — faktor penyumbang PH kalah di PRN akan datang

OVERCONCENTRATION OF A MALAY POPULATION MAKES SHAH ALAM A GHOST CITY, SAYS ANALYST

It happens everywhere—Not only in our country

Pengisytiharan Pengurniaan Gelaran Tengku Puan Bendahara

Sama juga dengan awak semasa menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM dulu

If PN chairmanship is for PAS, Hadi is the most suitable candidate, not Samsuri

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim